Categories
SUKANKINI

Akademi Merah Kuning sedia kongsi pengalaman bantu AMD

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 7 OKT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menyifatkan kepincangan yang berlaku di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, Pahang sebagai perkara menyedihkan memandangkan ia menelan belanja besar hampir RM85 juta.

Katanya, kelemahan yang berlaku perlu dibaiki segera bagi mengembalikan peluang mencungkil bakat berpotensi untuk arena sukan bola sepak negara.

Beliau berkata, pengurusan AMD boleh menjadikan Akademi Merah Kuning yang dimiliki Selangor sebagai contoh memandangkan mereka kini mempunyai hampir 900 pelajar.

“Satu perkara yang sangat menyedihkan apabila kita sudah berbelanja lebih RM80 juta untuk pembangunan bola sepak.

“Kita ada Akademi Merah Kuning yang tidak sebesar atau semewah AMD tapi saya kira kelengkapan dan padang latihan kita berada dalam keadaan baik.

“Kita mempunyai hampir 900 pelajar dan ada beberapa pasukan elit yang sudah dibentuk,” katanya yang ditemui ketika meninjau proses pemilihan KEADILAN, di Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengadakan lawatan ke AMD dan melahirkan kekecewaann apabila institusi itu dilihat gagal menepati tujuan pembinaannya sebagai pusat latihan dalam melahirkan bakal pelapis Mokhtar Dahari, di negara ini.

Beliau meluangkan masa lebih dua jam melawat akademi itu selepas mendapat maklum balas pada sesi dialog bersama beberapa peminat bola sepak tanah air, di Kuala Lumpur yang memintanya membuat audit berkenaan peruntukan untuk Program Pembangunan Bola Sepak Negara.

Syed Saddiq berkata, faktor ketirisan juga dikesan berlaku di akademi berkenaan menyebabkan misi melahirkan pelapis negara gagal mencapai sasaran.

Categories
SELANGOR SUKANKINI

Pemain Akademi Merah Kuning hampir cecah 900 pemain

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 2 NOV: Selangor dijangka terus menjadi pengeluar utama pemain pelapis dalam sukan bola sepak negara ekoran perkembangan program pembangunan pemain muda dalam Akademi Merah Kuning yang sangat memberangsangkan.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, sehingga kini hampir 900 pemain muda menyertai akademi yang menempatkan pemain berusia antara tujuh hingga 16 tahun itu.

“Sekarang, kita ada sekitar 800 hingga 900 pemain dan hanya tunggu masa sesuai untuk dirasmikan atau membuat pelancaran Akademi Merah Kuning. Setakat ini, kita ada sembilan pusat latihan dengan setiap daerah ada satu pusat latihan,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, Kerajaan Negeri juga akan mewujudkan liga di peringkat daerah masing-masing bagi mengenal pasti kemampuan dan prestasi pemain yang mengikuti latihan di akademi terbabit.

Amirudin berkata, akademi yang turut disertai beberapa bekas pemain kebangsaan sebagai jurulatih itu turut mempunyai pelan jangka panjang membabitkan peringkat akar umbi hingga ke peringkat persediaan untuk mengisi kekosongan di peringkat senior, di masa hadapan.

“Kepada mereka yang berbakat dan berminat menyertai akademi, boleh hubungi pejabat Majlis Sukan Negeri Selangor atau pejabat di daerah masing-masing atau mereka boleh dapatkan maklumat di facebook Akademi Bola Sepak Merah Kuning,” katanya.

Categories
SUKANKINI

Program bola sepak akar umbi ABMK lancar, lahir bakat baru

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 16 OGOS: Program pembangunan bola sepak akar umbi Akademik Bolasepak Merah Kuning (ABMK) bagi melahirkan bakat baru berjalan lancar di setiap daerah di Selangor.

ABMK menjalankannya dengan mandat Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor serta dikendalikan tenaga pengajar dan jurulatih daripada Persatuan Bekas Pemain Bolasepak Selangor, mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta yang datang dari seluruh Selangor.

“Program dijalankan di setiap daerah mendapat sambutan baik dengan penyertaan ramai peserta dari setiap daerah.

“Dari situ, kita akan membimbing dan menilai prestasi setiap pemain di peringkat daerah untuk dipilih bagi menyertai pertandingan liga dalaman yang dijalankan untuk pemilihan selanjutnya,” kata Malek Rahman yang bertindak selaku salah seorang tenaga jurulatih program berkenaan kepada SelangorKini.

AKADEMIMantan pemain Selangor itu berkata, daripada program dijalankan itu MSN Selangor akan memilih pemain terbaik untuk diserap dan ditempatkan ke dalam sekolah projek yang akan ditentukan kemudian.

Melalui laman sosial Facebooknya, dinyatakan ABMK mencari bakat baru berusia seawal tujuh hingga 17 tahun bagi menyertai pemilihan ke skuadnya dalam program pembangunan akar umbi.

Program secara berterusan itu dijalankan di semua daerah di Selangor dengan maklumat lanjut boleh diperoleh di www.facebook.com/akademibolasepakmerahkuning

=EZY=

Categories
SELANGOR SUKANKINI

Akademi Merah Kuning berjalan lancar

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 17 JULAI: Program pembangunan bola sepak di Akademi Merah Kuning di Puncak Alam, di sini, sudah digerakkan dan berjalan lancar membabitkan peserta program berkenaan.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, program terbabit dilaksanakan Kerajaan Negeri menerusi Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor dan berjalan mengikut perancangan.

Katanya, tindakan itu diambil ekoran kegagalan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) melaksanakannya.

“Dalam tempoh 80 tahun (penubuhan FAS), FAS tidak mampu buat (jalankan program) akademi, bila kita nak buat sekarang baru mereka hendak bertindak.

“Tidak mengapalah, kita lihat apa yang ada dan laksanakan mengikut pelan serta perancangan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Akademi Merah Kuning adalah di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri seperti sukan lain di bawah MSN Selangor.

AMIRUDIN SHARIKatanya, aktiviti akademi itu dijalankan di lima daerah setakat ini dan dijangka akan dilengkapkan ke semua daerah di Selangor, menjelang Ogos ini dengan pemain ditempatkan di akademi berkenaan.

“Di bawah MSN Selangor, kita punya tanggungjawab membangunkan semua sukan termasuk bola sepak, maka kita rancang sebaiknya termasuk berbincang dan ada perjanjian persefahaman (MoU) dengan Ajax Amsterdam juga mengambil jurulatih mereka.

“Kita laksanakan secara tertib dan bukan akademi itu hendak ditunjukkan tetapi bagaimana membentuk akademimampan juga mampu menggilap seterusnya melahirkan bakat pemain Selangor yang ramai,” katanya.

Categories
SUKANKINI

Akademi Merah Kuning lamar 22 bakat muda

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 MEI: Akademi Merah Kuning memulakan pengambilan pertamanya dengan melibatkan 22 pemain selepas berakhirnya peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Kejohanan Bola Sepak Dato’ Mokhtar Dahari, Dato’ Emran Kadir berkata, 22 pemain kategori bawah 18 tahun itu adalah bakat yang dicungkil menerusi kejohanan Piala Dato’ Mokhtar Dahari yang berakhir baru-baru ini.

“Akademi Merah Kuning telah membuat penilaian bermula sejak peringkat suku akhir, separuh akhir dan juga akhir Piala Dato’ Mokhtar Dahari.

Kumpulan Perangsang“Seramai 22 pemain dipilih dan dihantar ke Akademi Merah Kuning. Ramadan ini mereka akan dipanggil dan selepas Aidilfitri latihan pusat bermula dan selepas SPM diserap masuk ke Akademi Merah Kuning.

“Akademi ini ditubuhkan oleh Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor yang berpusat di Puncak Alam. Kemudahan semua sudah ada sejak tahun lepas cuma MSN sedang buat sentuhan terakhir,” kata Emran kepada SelangorKini.

Jelasnya, pengambilan pemain itu dijangka dapat membantu Selangor menyediakan pemain muda berbakat untuk diketengahkan di peringkat lebih senior.

Katanya, sebelum ini terdapat pemain yang dilahirkan kejohanan Piala Dato’ Mokhtar Dahari menerima tawaran menyertai beberapa akademi seperti JDT, akademi di Pahang dan Negeri Sembilan ekoran ketiadaan akademi di Selangor.

“Memandangkan Akademi Merah Kuning sudah diwujudkan maka semuanya dimasukkan ke MSN dan MSN akanserap pasukan ini dan dibekalkan kepada mana-mana team di bawah Kerajaan Negeri,” katanya lagi.