Categories
PBT SELANGOR

2,200 sertai Ampang Jaya Night Run

AMPANG, 21 SEPT : Seramai 2,200 peserta menyertai Ampang Jaya Night Run 2019 anjuran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Melawati Mall, di sini, malam ini.

Setiausaha MPAJ, Hasrolnizam Shaari berkata, acara larian itu diadakan bagi menggalakkan gaya hidup sihat selain mengeratkan hubungan sesama masyarakat.

Setiausaha MPAJ, Hasrolnizam Shaari memberi ucapan sempena Perasmian Program Ampang Jaya Night Run 2019 MPAJ di hadapan Melawati Mall, pada 21 September 2019. – Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Peserta bersemangat dan tetap mahu meneruskan larian walaupun keadaan cuaca jerebu. Terima kasih di atas sambutan yang diberikan.

“Selain itu, larian ini juga diadakan bagi meningkatkan kerjasama antara pihak swasta dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat bersama Pihak Berkuasa Tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Ampang Jaya Night Run 2019, di sini.

Turut hadir Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang, Saari Sungib menyempurnakan upacara flag-off sekitar jam 10 malam.

Upacara ‘flag off’ Ampang Jaya Night Run 2019 disempurnakan oleh Adun Hulu Kelang, Saari Sungib. – Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Berikutan keadaan cuaca berjerebu, Hasrolnizam berkata, acara larian 12 kilometer (km) terpaksa dibatalkan dan acara berkenaan hanya dihadkan kepada larian sejauh 5km.

Ampang Jaya Night Run 2019 kali keempat itu menawarkan hadiah wang tunai RM500 bagi johan kategori terbuka lelaki, wanita, veteran lelaki dan wanita.

Manakala, tempat kedua menerima RM400, tempat ketiga RM300 dan tempat keempat hingga sepuluh RM100 berserta plak.

Masyarakat berbilang bangsa mengambil bahagian dalam Ampang Jaya Night Run 2019 MPAJ dihadapan Melawati Mall, pada 21 September 2019. – Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Menariknya, 40 cabutan bertuah turut diadakan antaranya dua televisyen jenama Samsung berukuran 43’ inci, satu jam tangan jenama Suunto, telefon bimbit dan hamper.

Larian itu turut mendapat sokongan daripada rakan kongsi Smart Selangor Mampan, iaitu Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) berjumlah RM50,000, IJM Land (RM5,000), Sport Direct.com, F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, Fitness First dan Sime Darby CapitaLand.

Categories
PBT SELANGOR

Ampang Jaya Night Run 2019 kembali bagi edisi keempat

AMPANG, 4 SEPT: Larian Ampang Jaya Night Run 2019 edisi keempat, bermula di hadapan Melawati Mall kembali menemui peminat sukan larian, pada 21 September ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Dato’ Abd Hamid Hussain berkata, larian yang menarik 2,000 peserta itu menawarkan dua kategori sejauh lima dan 12 kilometer (km), yang akan dilepaskan pada 9.45 malam dan 10 malam.

“Pihak kami menyasarkan hanya 2,200 peserta sahaja untuk mengambil bahagian dan menawarkan cabutan bertuah iaitu tiga buah televisyen jenama Samsung berukuran 42’ inci, telefon bimbit dan hamper,” katanya pada sidang media larian itu di Menara MPAJ, di sini.

Katanya, MPAJ turut menawarkan diskaun RM20 kepada 100 penyertaan terawal, khusus buat penduduk di sekitar Taman Melawati, dengan peserta hanya perlu membayar RM27 bagi kategori 5km dan RM39 bagi kategori 10km.

Dato’ Abd. Hamid Hussain (lima, kanan) bergambar bersama wakil penaja selepas sesi sidang media Ampang Jaya Night Run 2019 di Menara MPAJ, hari ini. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Pemberian diskaun ini bertujuan memberi pendidikan dan kesedaran berhubung gaya hidup sihat kepada penduduk,” katanya.

Ampang Jaya Night Run 2019 menawarkan hadiah wang tunai RM500 bagi johan kategori terbuka lelaki, wanita, veteran lelaki dan wanita bagi kategori 12 km.

Manakala, tempat kedua menerima RM400, tempat ketiga RM300 dan tempat keempat hingga sepuluh RM100 berserta plak.

Larian itu turut mendapat sokongan daripada rakan kongsi Smart Selangor Mampan, iaitu Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) berjumlah RM50,000, IJM Land (RM5,000), Sport Direct.com, F&N Beverages Marketing Sdn Bhd dan Sime Darby CapitaLand.

Lebih 3,000 parkir turut disediakan termasuk di ruang parkir Melawati Mall.