Categories
AGENDA NASIONAL

Bapa tempuh perjalanan 60km, bawa anak jalani saringan percuma

SUBANG JAYA, 1 MAC: Seorang bapa sanggup menempuh perjalanan sejauh 60 kilometer dari Rawang demi membawa anaknya menjalani saringan Covid-19 percuma di sini semalam.

Abdul Hamid Abd Halim, 53, berkata beliau berbuat demikian kerana anak tunggalnya akan kembali ke asrama di Sekolah Menengah Islam Al-Haj Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh hari ini.

Abdul Hamid Abd Halim

Menurutnya, beliau terpaksa merentas daerah dengan perjalanan lebih sejam demi memastikan Nor Atika Abdul Hamid, 21, menjalani saringan sebelum sesi persekolahan bermula.

“Ketika melalui dua sekatan jalan raya, saya memaklumkan kepada anggota polis bertugas untuk menghantar anak membuat saringan dan mereka beri kebenaran,” katanya pada program Saringan Komuniti Bersasar secara percuma di Dewan MPSJ Puchong Indah, Puchong.

Abdul Hamid menjelaskan pengurusan sekolah mewajibkan semua pelajar membuat saringan dan secara kebetulan beliau ternampak poster ujian tersebut di Facebook.

“Saya bersyukur kerana tiada bayaran dikenakan untuk saringan ini yang sedikit sebanyak menjimatkan kos. Saya pula bekerja sebagai buruh binaan, sudah tentu kalau buat di klinik swasta harganya mahal dan membebankan,” katanya.

Seorang lagi peserta, Norafifah Salleh, 23, berkata beliau mengetahui mengenai ujian tersebut di Twitter Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) selain menyedari tanggungjawab untuk bersama-sama memutuskan penularan wabak.

Norafifah Salleh

Katanya, langkah itu diambil memandangkan beliau menyewa dengan beberapa individu dan masing-masing bekerja di tempat berbeza yang tidak diketahui sama ada dijangkiti Covid-19 atau sebaliknya.

“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Selangor kerana menyediakan insentif ini. Meskipun saya bukan lahir di negeri ini tetapi saya juga layak untuk buat secara percuma,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tidak perlu surat polis rentas daerah, negeri hantar anak sekolah

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Ibu bapa yang perlu merentas daerah atau negeri bagi menghantar anak-anak ke sekolah tidak perlu mendapatkan surat kebenaran daripada polis.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sebaliknya, mereka hanya perlu menunjukkan surat yang dikeluarkan pihak sekolah semasa melalui sekatan jalan raya.

“Sebagai contoh jika ke asrama, pihak guru boleh mengeluarkan surat kebenaran untuk rentas daerah atau negeri,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.

Ismail Sabri berkata perkara itu dibincangkan bersama pegawai tertinggi PDRM dan ia juga dimaklumkan kepada pihak polis seluruh negara.

Sementara itu Ismail Sabri berkata kerajaan menerima rayuan pemuzik jalanan atau ‘buskers’ sepenuh masa yang bergantung hidup dengan melakukan persembahan di restoran dan gerai makan.

Katanya, setelah melakukan penilaian, kerajaan membenarkan golongan itu untuk menjalankan aktiviti di kedai makan atau restoran di kawasan PKP dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan, termasuk pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal antara mereka yang membuat persembahan.

Beliau berkata kerajaan turut membenarkan aktiviti mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (Mice) dan mesyuarat bersemuka di kawasan PKP bermula 5 Mac ini, dengan kehadiran 25 peratus daripada kapasiti premis atau maksimum 250 orang.

Katanya, hasil pembentangan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mendapati industri Mice pada tahun lepas menurun kepada RM2.25 bilion iaitu berkurangan sehingga 90 peratus, berbanding RM9.25 bilion pada 2019 selain lebih 5,000 pekerja industri itu hilang pekerjaan.

Mengenai perkhidmatan tata rias kuku tangan dan kaki (manicure & pedicure), beliau berkata perkara itu telah dibincangkan dengan Kementerian Kesihatan (KKM), dan kementerian berkenaan turut meminta diberikan masa menjalankan penilaian risiko kerana aktiviti tata rias kuku melibatkan sentuhan.

“KKM ingin melihat secara menyeluruh perkara itu kerana kalau kita benarkan manicure dan pedicure atau facial (rawatan muka), maka kita juga perlu mempertimbangkan permohonan seperti spa dan urutan kerana ia juga melibatkan sentuhan,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Darau-Awek, Kampung Padang Baloh dan Kampung Lepan Kejor, Pasir Akar, Besut, Terengganu ditamatkan pada 27 Feb (Sabtu) seperti yang dijadualkan setelah penilaian risiko dilakukan mendapati baki kes aktif Covid-19 di lokaliti berkenaan menunjukkan trend penurunan.

-BERNAMA