Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Lengkap dos vaksin, buruh binaan teruja boleh kerja semula

AMPANG, 23 OGOS: Seorang buruh binaan dari Jawa Timur, Indonesia teruja untuk kembali bekerja selepas lengkap menerima dos vaksin semalam.

Muhammad Fawaid, 27, yang menerima suntikan melalui Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti tidak sabar meneruskan perkhidmatan setelah dua bulan hilang punca pendapatan.

“Sebelum ini saya kerja seperti biasa tetapi terpaksa dihentikan sementara kerana tidak dibenarkan memasuki kawasan perumahan sekiranya belum menerima dua dos vaksin atas arahan majikan.

Muhammad Fawaid (kanan) dan isteri Dzurrotun Matin

“Alhamdulillah, sekarang rasa lega dan selamat untuk bekerja. Majikan memang menunggu saya lengkap dua dos memandangkan tiga pekerja yang lain sudah berbuat demikian,” katanya ditemui di pusat pemberian vaksin Dewan Serbaguna MPAJ AU5 di sini.

Dia yang menetap di Malaysia sejak tahun lalu ditemani isteri Dzurrotun Matin, 25, yang turut menerima suntikan kedua bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa.

Muhamad yang baharu menimang cahaya mata perempuan lima bulan lalu menghargai komitmen Kerajaan Selangor menyediakan inisiatif berkenaan termasuk kepada warga asing.

Katanya, dia dan isteri juga hanya menunggu sehari bagi mengetahui status kelayakan melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Kami pernah daftar di MySejahtera dua bulan lepas tetapi sampai sekarang belum dapat panggilan sehingga dimaklumkan mengenai program ini dan segera memohon.

“Diharap suntikan vaksin dapat melindungi kami termasuk anak yang masih kecil daripada terkena jangkitan Covid-19 dan keadaan pulih seperti sedia kala,” katanya yang menetap di Ukay Perdana.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Sektor ekonomi rekod 177,900 jawatan kosong pada suku pertama 2021

PUTRAJAYA, 10 MEI: Sektor ekonomi merekodkan 177,900 kekosongan jawatan pada suku pertama 2021, meningkat 7.2 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kekosongan jawatan pada suku tersebut adalah selari dengan prestasi ekonomi yang lebih baik.

Beliau berkata nilai jualan perdagangan borong dan runcit mencatatkan pertumbuhan positif tahun ke tahun buat pertama kalinya dengan 9.3 peratus manakala Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) bagi Mac 2021 turut melonjak 9.3 peratus.

“Jika dibandingkan dengan tempoh sebelum krisis (kesihatan), jumlah kekosongan jawatan masih belum mencapai paras normal yang merekodkan secara puratanya 200,000 kekosongan jawatan,” katanya dalam satu kenyataan mengenai Laporan Statistik Guna Tenaga Suku Pertama 2021, yang dikeluarkan hari ini.

Laporan berkenaan berdasarkan Survei Guna Tenaga yang dilaksanakan ke atas perniagaan berdaftar sektor swasta dan statistik permintaan buruh merangkumi jawatan, jawatan yang diisi, kekosongan dan pewujudan jawatan mengikut kategori kemahiran dan aktiviti ekonomi.

Mohd Uzir berkata lebih separuh daripada kekosongan jawatan pada suku pertama tahun ini adalah dalam kategori separuh mahir merangkumi 55.5 peratus atau bersamaan dengan 98,700 kekosongan, diikuti kategori mahir 23.5 peratus (41,800 kekosongan) dan berkemahiran rendah 21.0 peratus (37,400).

Mengikut sektor ekonomi pula, kebanyakan kekosongan jawatan adalah di sektor pembuatan yang mencatatkan 100,900 kekosongan jawatan (56.7 peratus) terutama di subsektor produk elektrik, elektronik dan optikal (30,600 kekosongan) diikuti subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik (18,700 kekosongan).

Sementara itu kekosongan jawatan di sektor pertanian merangkumi 28,500 kekosongan (16.0 peratus) dengan sebahagian besarnya di subsektor tanaman dan ternakan selain terdapat 26,800 kekosongan jawatan (15.1 peratus) di sektor perkhidmatan terutama dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit, katanya.

Mengulas mengenai kedudukan keseluruhan jawatan pada suku pertama 2021, Mohd Uzir berkata bilangan jawatan di sektor ekonomi berkurangan secara berterusan sejak empat suku tahun lepas kepada 8.437 juta jawatan, susut 1.5 peratus tahun ke tahun (ST1 2020: -2.4 peratus).

“Statistik ini menunjukkan bahawa bilangan jawatan masih rendah berbanding sebelum krisis walaupun bilangan kekosongan jawatan meningkat. Kadar pengisian jawatan suku tahun ini kekal pada 97.9 peratus, bersamaan dengan 8.260 juta jawatan diisi,” katanya.

Berdasarkan analisis prestasi tahun ke tahun, bilangan pewujudan jawatan pada suku pertama 2021 menurun sebanyak 4,500 jawatan (ST1 2020: 21,900) dengan kategori mahir masih dalam trend menurun manakala kedua-dua kategori separuh mahir dan berkemahiran rendah mencatatkan pertumbuhan positif, katanya.

Mengenai perincian mengikut sektor ekonomi, beliau berkata sektor pembuatan merekodkan komposisi jawatan terbesar iaitu 42.4 peratus atau 7,400 pekerjaan, diikuti sektor perkhidmatan pada 36.6 peratus (6,400 jawatan).

“Mengambil kira keadaan krisis kesihatan yang sedang berlaku, permintaan buruh di Malaysia menunjukkan momentum pemulihan sederhana pada suku tahun pertama 2021, antaranya berikutan kelonggaran beberapa sekatan yang dikenakan pada peringkat awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai Januari tahun ini,” katanya.

Mohd Uzir bagaimanapun berkata pelbagai insentif dan pakej rangsangan yang dilaksanakan oleh kerajaan dijangka akan mendorong pertumbuhan ekonomi yang lebih baik dan seterusnya menyokong serta memacu pemulihan pasaran buruh.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bapa tempuh perjalanan 60km, bawa anak jalani saringan percuma

SUBANG JAYA, 1 MAC: Seorang bapa sanggup menempuh perjalanan sejauh 60 kilometer dari Rawang demi membawa anaknya menjalani saringan Covid-19 percuma di sini semalam.

Abdul Hamid Abd Halim, 53, berkata beliau berbuat demikian kerana anak tunggalnya akan kembali ke asrama di Sekolah Menengah Islam Al-Haj Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh hari ini.

Abdul Hamid Abd Halim

Menurutnya, beliau terpaksa merentas daerah dengan perjalanan lebih sejam demi memastikan Nor Atika Abdul Hamid, 21, menjalani saringan sebelum sesi persekolahan bermula.

“Ketika melalui dua sekatan jalan raya, saya memaklumkan kepada anggota polis bertugas untuk menghantar anak membuat saringan dan mereka beri kebenaran,” katanya pada program Saringan Komuniti Bersasar secara percuma di Dewan MPSJ Puchong Indah, Puchong.

Abdul Hamid menjelaskan pengurusan sekolah mewajibkan semua pelajar membuat saringan dan secara kebetulan beliau ternampak poster ujian tersebut di Facebook.

“Saya bersyukur kerana tiada bayaran dikenakan untuk saringan ini yang sedikit sebanyak menjimatkan kos. Saya pula bekerja sebagai buruh binaan, sudah tentu kalau buat di klinik swasta harganya mahal dan membebankan,” katanya.

Seorang lagi peserta, Norafifah Salleh, 23, berkata beliau mengetahui mengenai ujian tersebut di Twitter Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) selain menyedari tanggungjawab untuk bersama-sama memutuskan penularan wabak.

Norafifah Salleh

Katanya, langkah itu diambil memandangkan beliau menyewa dengan beberapa individu dan masing-masing bekerja di tempat berbeza yang tidak diketahui sama ada dijangkiti Covid-19 atau sebaliknya.

“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Selangor kerana menyediakan insentif ini. Meskipun saya bukan lahir di negeri ini tetapi saya juga layak untuk buat secara percuma,” katanya.