Categories
AGENDA NASIONAL

Perlindungan takaful, insurans ringan beban pemilik ketika musibah

SHAH ALAM, 9 FEB: Perlindungan takaful dan insurans bencana rumah serta kenderaan penting bagi memastikan masyarakat tidak terbeban jika ditimpa musibah.

Inisiatif itu juga menjimatkan kos pengguna untuk membaiki semula harta benda yang rosak, kata
pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Antarabangsa Majlis Perancang Kewangan Malaysia.

“Kita tidak tahu bila bencana berlaku. Macam kejadian banjir baru-baru ini, kali terakhir pada 1970-an. Jadi bila ditimpa musibah dan kebetulan masa itu tiada wang, kita tidak perlu risau.

“Kena ambil insurans sebagai persediaan. Kos perlindungan tidak mahal pun. Kalau kita mampu beli barangan mahal, kena ada rasa tanggungjawab terhadap barang kita. Kena terapkan pengurusan risiko untuk mudahkan diri,” kata Anuar Shuib.

Beliau bercakap dalam program Bual Bicara bertajuk Insurans Bencana Alam: Pilihan atau Wajib? yang disiarkan di YouTube SelangorTV dan Facebook Media Selangor malam tadi.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menganggarkan kerugian sekitar RM1.4 bilion susulan bencana itu termasuk kos baik pulih infrastruktur kira-kira RM400 juta.

Jumlah itu dikira secara kasar melibatkan 100,000 rumah atau keluarga yang terjejas dengan anggaran kerosakan paling minimum RM10,000.