Categories
SELANGOR

Tourism Selangor promosi pelancongan di ATM2019

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 6 MEI: Tourism Selangor terus mempromosikan produk dan kemudahan pelancongannya di Arabian Travel Market (ATM) 2019 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Dubai dari 28 April hingga 1 Mei.

EXCO Kebudayaan, Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Dato’ Abdul Rashid Asari berkata, ATM merupakan salah satu tonggak penting untuk mempromosikan destinasi pelancongan dinamik di Selangor.

Katanya, menerusinya, Kerajaan Negeri dapat membuka pintu pertumbuhan ekonomi menerusi sektor pelancongan yang mampan pada masa hadapan.

“Ia juga akan memberi tumpuan dalam memperkukuhkan jenama pelancongan negara dan mempromosikannya sebagai destinasi leisure, perubatan, Golf dan Perniagaan (M.I.C.E) untuk pasaran Timur Tengah.

“Produk pelancongan pelbagai Selangor merangkumi suasana dan reputasi kosmopolitan yang bergaya untuk hotel atau resort mewah.

“Ia termasuk taman tema dan lokasi hiburan, landskap eko kecantikan semulajadi yang menakjubkan; bandar pintar dan warisan seni bina,” katanya.

Untuk rekod, Selangor mencatatkan kedatangan 7.23 juta pelancong pada 2018 dan lebih 185,000 dari Timur Tengah.

Sejumlah RM5.5 bilion turut dicatatkan menerusi industri itu dan dijangka meningkat 2 hingga 3 peratus dengan jumlah 7.7 juta pelancong domestik dan antarabangsa pada tahun ini.

Justeru, Abdul Rashid komited sasaran itu mampu dicapai dengan sokongan daripada semua pihak termasuk agensi pelancongan, swasta dan badan bukan kerajaan.

“Antara tempat yang menarik perhatian pelancong dari negara itu ialah Sunway Lagoon, Sunway Pyramid, Taman Hutan Eco Kanching, Avani Sepang Goldcoast, i-City Shah Alam, One Utama Shopping Centre, The Curve Damansara dan Litar Antarabangsa Sepang,” katanya.

Categories
SELANGOR

Tourism Selangor sasar tarik 400,000 pelancong Arab

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 24 APR: Tourism Selangor mensasarkan menarik 400,000 pelancong Arab ke Selangor tahun ini menerusi Arabian Travel Market (ATM) 2018.

Pengurus Besarnya, Noorul Ashikin Mohd Din berkata, pihaknya yakin sasaran itu mampu capai berdasarkan statistik 2017 yang menyaksikan 360,749 pelancong dari Timur Tengah itu menjejakkan kaki ke Selangor.

Katanya, ATM 2018 yang sedang berlangsung 22 hingga 25 April di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Dubai itu menjadi landasan terbaik pihaknya mempromosikan Selangor sebagai destinasi pelancongan paling utama.

“Antara lain, ATM 2018 juga bertujuan mengukuhkan aktiviti pemasaran serta menyebarkan kempen #Discover Selangor, #TakeMeAnywhere secara komprehensif di Timur Tengah.

“Peluang bertukar pandangan dengan rakan dari negara lain merupakan satu perkara yang amat bagus di samping membantu menjana lebih banyak pasaran masuk ke negeri ini,” katanya dalam kenyataan.

Noorul berkata, ATM 2018 menyediakan peluang terbaik buat Selangor mewujudkan rangkaian hubungan lebih luas selain menjalin perkongsian pintar dan kerjasama dengan syarikat penerbangan antarabangsa serta pengendali pelancongan tempatan.

“Selain Tourism Selangor, delegasi dari Selangor seperti Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) dan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) turut terlibat dalam ATM 2018.

“Penglibatan MDHS dan MDKL tahun ini ingin mempromosikan daya tarikan utama iaitu Eco-Adventures seperti aktiviti Paragliding, White Water Rafting dan Bird Watching,” katanya.

Manakala, Noorul berkata, Tourism Selangor turut mempromosi Pesta Kesenian Antarabangsa (SIIAF 2018) yang terus menjadi tangga teratas dalam tentatif buat pelancong Arab.

“Selain itu, Tourism Selangor akan melancarkan ‘Buku Pelancongan Pelancong Arab Selangor 2018’ versi Arab semasa taklimat produk dan media di Pavilion Tourism Malaysia.

“Direktori perjalanan informatif dan interaktif dalam bahasa Arab membolehkan pelancong dari Timur Tengah mencari maklumat mengenai destinasi pelancongan di Selangor,” katanya.

Sementara itu, Sunway Lagoon, Sunway Resort Hotel and Spa, Hotel Concorde Shah Alam dan Istana Golden Horses turut hadir ke ATM 2018 bagi mempromosikan beberapa tarikan serta destinasi terkini negeri untuk membeli-belah, keseronokan keluarga, eko-adventure, golf, bulan madu dan percutian mewah.