Categories
PELANCONGAN SELANGOR

MWM terima peserta maraton wanita paling ramai di Malaysia

OLEH NADIAH ZAMLUS

PETALING JAYA, 3 MAC: Malaysia Women Marathon (MWM) 2019 menerima peserta maraton wanita paling ramai di Malaysia sehingga mencecah hampir 7,000 orang.

Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din berkata, acara kali ketujuh itu turut menyaksikan jumlah penyertaan dari kaum wanita meningkat saban tahun dengan 1,000 peserta pada kali pertama penganjurannya.

Katanya, pihaknya juga bersedia untuk mencatatkan sejarah berkenaan melalui Malaysia Book of Records sekiranya penyertaan itu terus meningkat untuk MWM pada 2020.

“Untuk pengetahuan semua, acara ini adalah yang keempat di dunia menerima peserta wanita paling ramai dan sudah tentunya ia yang pertama di Malaysia.

“Kejayaan ini menunjukkan simbolik semangat kaum wanita yang berterusan mengejar kejayaan dalam kehidupan masing-masing,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika Acara MWM 2019 edisi ketujuh di Padang Timur, di sini, hari ini.

Hadir sama, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Masdiana Muhamad; EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Mohd Khairudddin Othman dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing, R Rajiv.

Pada MWM 2019 ini, sebanyak empat kategori dipertandingkan iaitu larian 42kilometer (km), 21km, 10km dan 5km.

Noorul Ashikin berkata, penganjuran acara larian itu juga sebagai usaha untuk mempromosikan Selangor sebagai salah sebuah destinasi pelancongan dengan pelbagai kemudahan disediakan.

Katanya, ‘sports tourism’ juga dapat dipertingkatkan dan memberi kesan positif terhadap ekonomi negara khususnya perniagaan hospitaliti.

“Selain itu kita mahu golongan wanita menjadikan acara ini sebagai landasan untuk memulakan gaya hidup sihat,” katanya.

Categories
SELANGOR

Selangor raih ‘Destination of The Year’ MTC 2018

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 15 NOV: Selangor berjaya meraih ‘Destination Of TheYear’ pada Anugerah Emas Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) 2018 di Palace of The Golden Horses, Sri Kembangan, baru-baru ini.

Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din berkata, pihaknya gembira apabila Selangor diiktiraf menerima anugerah berkenaan oleh MTC.

“Ini adalah hasil komitmen semua untuk menjadikan Selangor sebagai destinasi utama pelancongan yang unggul ditambah pula pelbagai tawaran unik.

“Malah, jumlah pelancong ke Selangor semakin meningkat setiap tahun, sekali gus membolehkan negeri ini mendapat pendedahan lebih besar bagi tahun ini,” katanya dalam kenyataan.

Noorul Ashikin berkata, anugerah itu sekali gus mempamerkan beberapa contoh terbaik Kerajaan Negeri yang banyak memberi tumpuan terutama daripada segi meningkatkan pelancongan mampan.

Katanya, juri turut menilai daripada segi promosi pelancongan, statistik tahunan kedatangan pelancong, bukti kepuasan pelancong dan pelarasan aktiviti yang memberi kepuasan terhadap pelancong.

Tahun lalu, Selangor berjaya menyumbang 7.4 juta pelancong domestik dan antarabangsa dengan hasil RM5.4 bilion.

Terdahulu, pada acara berprestij itu, lebih daripada 80 anugerah diberikan kepada syarikat dan individu termasuk Anugerah Emas ‘Tourism Icon of the Year’ untuk Hotel lima Bintang.

Categories
RENCANA SELANGOR

Kepelbagaian rona pilihan pasar malam

SELANGOR sudah sinonim dengan Batu Caves, Bukit Jugra dan Dataran Kemerdekaan Shah Alam yang sangat dikenali umum.

Tapi tahukah anda bahawa Selangor juga mempunyai lokasi yang wajib anda kunjungi iaitu pasar malam.

Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din berkata, Pasar Malam dan Uptown mempunyai kepelbagaian rona pilihan dijadikan kawasan tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.

“Kita amat menggalakkan penjenamaan semula pasar malam bakal menjadi contoh terbaik bagi menarik kunjungan pelancong asing dan tempatan selain menjadi tempat tarikan pengunjung.

“Kini, peniaga pasar malam tempatan perlu memainkan peranan penting kerana perniagaan itu menjadi tarikan utama di Selangor dengan kunjungan pelancong.

“Mereka ini cukup memberi sumbangan dalam menggalak serta menjadi salah satu elemen penting dalam memacu sektor pelancongan di Negeri Selangor” katanya.

Disini terdapat beberapa senarai pasar malam di Selangor yang wajib anda kunjungi jika berkelapangan!

Pasar Tani Shah Alam

Terletak di tapak lapang Stadium Shah Alam Seksyen 13.

Rata-rata penduduk Selangor pasti mengetahui kewujudan Pasar Tani Seksyen 13 yang ada pada setiap hari Ahad setiap minggu.

Bagi yang masih belum mengetahui, kami sarankan anda menambah lokasi ini sebagai destinasi baharu anda sekeluarga untuk dijadikan aktiviti hujung minggu, aktiviti berjalan atau membeli-belah di pasar dan sebagainya.

Terdapat pasar karat juga yang amat sinonim dengan jualan barangan antik dan ‘rare’.

Tarikan utama Pasar Tani adalah makanan dan barangan ‘vintage’. Diamana ianya terkenal dengan ‘Syurga Makanan’ kerana mempunyai pelbagai jenis gerai jualan makanan tidak kira makanan berat mahupun makanan ringan seperti kambing bakar, nasi lemak stadium, pelbagai jenis aneka sup, buah-buahan segar dan banyak lagi.

Malah barang basah seperti ikan, daging juga ada jual disini seawal jam 5 pagi. Seterusnya, Pasar Tani atau Pasar Karat juga terkenal dengan barangan perhiasan rumah seperti alas meja, perhiasan bunga, perkakas dapur dan pelbagai jenis perhiasan yang pastinya akan membuatkan anda rambang mata uintuk memilih.

Pasar ini mula beroperasi seawal jam 7.00 pagi sehingga jam 2.00 petang pada setiap hari ahad.

Pasar Malam Setia Alam

Dibuka pada setiap hari sabtu bermula jam 6.00 petang sehingga 11.00 malam. Pasar ini telah terkenal dengan gelaran pasar malam yang terpanjang di Malaysia dimana menempatkan lebih beberapa buah khemah jualan sepanjang 2.2 km dari pintu masuk pasar sehingga hujung pasar malam itu.

Jejaknya kaki anda kesini, tentunya membuatkan anda akan berasa kagum dengan kepanjangan pasar malam yang menempatkan lebih 30 buah khemah jualan daripada pelbagai jenis makanan yang terdiri daripada makanan Melayu, Cina dan juga India.

Bukan itu sahaja, pasar malam ini juga ada menjual beberapa jenis barangan seperti sayur-sayuran, perkakas dapur, pakaian dan banyak lagi yang sememangnya membuatkan anda merasa ghairah membeli semua barangan dan membuatkan anda rambang mata untuk membeli setiap makanan yang ada di situ.

Pasar malam terpanjang sudah pasti akan membingungkan para pelanggan dimana untuk parkir kenderaan.

Jangan risau, kerana kawasan ini memiliki tapak meletakkan kenderaan yang strategik dan lokasinya yang selamat. Sediakan wang dan jom mulakan langkah terokai pasar malam terpanjang di Malaysia.

Pasar Malam SS2 Subang

Terletak di Subang Jaya yang dibuka pada setiap hari isnin merupakan salah satu pasar malam yang terkenal di Lembah Klang.

Pasar malam ini juga boleh dikategorikan sebagai “Night Foods Heaven” buat pemburu makanan yang unik kerana terdapat pelabagai jenis makanan yang pasti menaikkan ghairah si pembeli.

Antara makanan yang wajib dibeli di Pasar Malam SS2 adalah Okonomiyaki (Makanan Jepun), Kueh Mueh Tradisional, Boa Cendawan, Cheese Fruit Tart, Taiwanese Sausage, Peanut Soup, Mat Nga Tong (sejenis madu), Thai Prawn Salad, Colourful Dim Sum, Apam Balik, Coconut Ice Cream, Popia Sambal dan banyak lagi jenis makanan yang boleh anda temui.

Uptown Seksyen 24 Shah Alam

Satu lokasi menarik apabila menjelang waktu malam yang wajib di kunjungi jika berada di Shah Alam.

Pasar malam atau lebih dikenali sebagai Uptown Shah Alam yang mempunyai lebih 450 tapak perniagaan ini terletak di Kompleks Muhibbah Shah Alam Seksyen 24 yang diuruskan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Berbanding uptown lain yang ada di Malaysia, Uptown Shah Alam Seksyen 24 adalah Uptown yang paling ramai pengunjungnya tidak kira didalam negeri mahupun di luar Selangor khususnya apabila lewat malam dan tiba musim perayaan.

Jika dilihat dari sudut luar, Uptown Seksyen 24 Shah Alam ini kelihatan agak sunyi dan kecil.

Tetapi, apabila anda menjejakkan kaki ke dalam anda boleh merasai keriuhan suasana membeli belah ditambah pula dengan persembahan daripada “live band” dan karaoke daripada pengunjung.

Suasana dan lokasi di Kompleks Muhibbah ini sememangnya selesa dengan adanya susunan kedai yang sistematik dan cahaya lampu yang terang akan membuatkan anda berasa selamat berjalan dan membeli-belah bersama keluarga.

Selain itu, Uptown Shah Alam menyediakan pelbagai fasiliti kemudahan awam seperti tandas awam, surau, tapak hiburan kanak-kanak, tapak meletakkan kenderaan dan pelbagai pilihan kedai makanan dan minuman di sekitar kompleks.

Pelbagai jenis barangan yang boleh anda miliki seperti pakaian, makanan, barangan vintage, koleksi permainan, barangan kecantikan dan pelbagai lagi.

Uptown Damansara

Terletak di Damansara Utama, Petaling Jaya yang menawarkan pelbagai barangan jualan yang menempatkan sebanyak 300 tapak perniagaan.

Di bangunkan dengan wajah yang baharu dan lebih sistematik kini Uptown Damansara menerima peningkatan jumlah pengunjung hari demi hari.

Uptown Damansara sememangnya terkenal dengan penjualan barang-barangan murah dengan kualiti yang memuaskan dan berkemampuan, sudah tentu lokasi ini menjadi pilihan kedua selepas pusat membeli belah utama di sekitarnya.

Pelbagai barangan yang boleh anda miliki seperti pakaian, kosmetik, barang telekomunikasi dan banyak lagi.Malah bukan itu sahaja, antara keistimewaan Uptown Damansara adalah pengunjung boleh menjamu selera dan melepaskan dahaga selepas penat mencuci mata dan membeli belah.

Pilih sahaja jenis makanan yang digemari semuanya sudah tersedia didepan mata seperti burger bakar, makanan laut, rojak, sup dan bermacam makanan dan minuman yang ada.

 

Categories
PELANCONGAN SELANGOR

Selangor destinasi pelancongan pilihan keluarga

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 2 OGOS: Selangor adalah destinasi pelancongan pilihan keluarga paling popular di Malaysia, kata Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din.

Katanya, tidak dinafikan negeri itu mempunyai pelbagai tarikan sehingga ada yang menyifatkan melancong ke Selangor ibarat melancong ke seluruh negara.

Antara destinasi pilihan keluarga ialah Sunway Lagoon, Wet World, Bangi Wonderland, Kidzania Kuala Lumpur, Jumpstreet Asia dan District 21.

“Sebut sahaja Sunway Lagoon, semua sudah kenal. Di sana mereka mempunyai pelbagai tarikan menarik, termasuk laluan ‘flying fox’ terpanjang di Asia, malah ia juga tempat paling sesuai untuk bersantai dengan golongan tua dan muda.

“Sementara itu, jika orang ramai berkunjung ke Wet World yang terletak di pinggir Tasik Shah Alam, ia adalah lokasi paling sesuai kerana berdekatan dengan Bukit Cherakah.

“Di samping itu, pengunjung juga dapat melihat flora dan fauna di Taman Botani Shah Alam,” katanya kepada SelangorKini.

Noorul Ashikin berkata, District 21 menjadi pilihan buat ahli keluarga yang menggemari sukan lasak.

Pada masa sama, katanya, kempen Discover Selangor, #TakeMeAnywhere pada tahun ini juga memberi penekanan kepada pelancong domestik dan antarabangsa untuk melawati tempat menarik, di Selangor.

“Aktiviti lasak biasanya dikaitkan dengan kawasan hutan, namun sekarang tidak perlu ke hutan lagi kerana taman tema pengembaraan, District 21 dibuka di IOI City Mall Putrajaya.

“Dapat disimpulkan, Selangor bukan sahaja mempunyai masyarakat yang berbilang kaum dan bangsa tetapi pada masa sama, memiliki pelbagai tempat indah serta menarik untuk aktiviti keluarga,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Kempen ‘Clean & Green’ terima reaksi positif

OLEH AFIX REDZUAN

RAWANG, 20 JUL: Kempen Cabutan Bertuah ‘Clean and Green’ menerima reaksi positif dengan penyertaan lebih 350 peserta sejak dimulakan pada Februari 2018.

Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din bekata, cetusan idea ini dilaksanakan di Taman Eko Rimba Kanching sebagai projek perintis bagi melihat reaksi pengunjung sebelum diperluaskan ke pusat rekreasi lain sekitar Selangor.

“Kita ingin memupuk pengunjung supaya menjaga kebersihan alam sekitar dan menggalakkan mereka membawa sampah di atas ke bawah.

“Sampah dibawa pengunjung dari atas akan ditimbang di bawah dan jika memenuhi berat ditetapkan, mereka layak untuk isi borang penyertaan bagi siri cabutan bertuah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media sejurus selesai majlis pelancaran yang disempurkan EXCO Pelancongan, Kebudayaan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari.

Menurutnya, Tourism Selangor turut berterima kasih atas penyertaan beberapa agensi pelancongan di sekitar Selangor yang sudi bekerjasama menaja hadiah cabutan bertuah buat pemenang.

Syarikat penerbangan Firefly Sdn Bhd yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Ignstius Ong bertindak selaku penaja utama kempen ini sambil disokong 15 agensi lain termasuk Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Sunway Lagoon Malaysia.

Noorul Ashikin berkata, beliau percaya kempen yang akan berakhir pada Februari 2019 akan mendapat reaksi lebih baik selepas ini untuk dikembangkan kerana Selangor mempunyai pusat tarikan pelancongan menarik seperti hutan simpan, lokasi perkelahan dan pantai.

Pengunjung Taman Eko Rimba Kanching juga berpeluang menaiki skuter elektrik mini Velocifero yang turut disediakan bagi memudahkan mereka bersiar-siar di kawasan sekitar.

Dalam majlis sama, Abdul Rashid selaku EXCO Pelancongan menyambut baik kempen yang dilaksanakan Tourism Selangor bagi memupuk kesedaran menjaga kebersihan pusat pelancongan dalam kalangan pengunjung.
Katanya, Kerajaan Negeri akan terus memajukan Selangor sebagai destinasi pelancongan dan budaya bertaraf dunia.

“Kolabarasi bersama pelbagai agensi yang bertindak selaku penaja ini tepat pada masanya.

“Kita sedar hutan kekal sebegini perlu dilindungi baginmenjaga kelestarian biologi hutan dan menggalakkan sektor pelancongan dari dalam serta luar negara,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Tourism Selangor sertai ‘International Travel Award 2018’

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 13 JUL: Tourism Selangor terus melebarkan sayapnya ke peringkat global apabila tersenarai dalam pencalonan ‘International Travel Award 2018’, yang mengiktiraf syarikat dan agensi pelancongan terbaik dunia.

Penyertaan sulungnya sekali gus membuktikan, pemain utama sektor pelancongan tempatan itu berada pada landasan tepat bagi memperkenalkan produk menarik di Selangor secara lebih inklusif.

Pengurus Besarnya, Noorul Ashikin Mohd Din berkata, pencalonan untuk turut serta dalam pertandingan itu dijalankan sendiri pihak penganjur yang kini bertapak di Eropah.

“Pada awalnya mereka menghantar surat jemputan kepada kami dengan meminta beberapa senarai diperlukan sehingga melayakkan kami bertanding.

“Ia termasuk perkara membabitkan inisiatif dan produk baru diperkenalkan Tourism Selangor bagi menjayakan lagi industri pelancongan. Kami tersenarai untuk pencalonan itu,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri ‘Riang Raya Retro’ Tourism Selangor, di Grand Ballroom, Hotel Concorde, di sini, semalam.

Turut hadir dalam majlis itu, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; Exco Kebudayaan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Dato’ Abdul Rashid Asari serta Ahli Dewan Negeri Bukit Lanjan, Elizabeth Wong.

Pada masa sama, Ashikin berkata, besar harapan pihaknya memenangi anugerah berprestij itu yang diyakini mampu memberi perkembangan positif terhadap industri pelancongan negeri.

“Komitmen dan sokongan orang ramai terutama seluruh rakyat negeri ini diperlukan supaya kami boleh memenangi anugerah itu tahun ini,” katanya.

Sebanyak tiga kategori dipertandingkan antaranya, ‘World’s Best High Tech Destination’, ‘World’s Best Heritage Destination’ dan ‘World’s Best Family Friendly Destination’.

Justeru, orang ramai boleh membuat undian secara atas talian di https://internationaltravelawards.org/vote.php?vote_id=f2hyoScpWTMx atau melayari laman sesawang www.tourismselangor.my.

 

Categories
SELANGOR

Sabak Bernam, Sepang dan Kuala Selangor, lokasi homestay paling popular

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 25 MEI: Sabak Bernam, Sepang dan Kuala Selangor menjadi lokasi penginapan homestay paling popular dalam kalangan pelancong di negeri ini.

Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din berkata, ia termasuk Homestay Papitusulem (Sabak Bernam), Homestay Sungai Haji Dorani (Sabak Bernam), Homestay Air Manis (Sabak Bernam), Homestay Banghuris (Sepang) dan Homestay Sungai Sireh (Kuala Selangor).

Katanya, homestay berkenaan menjadi tarikan kepada pelancong tempatan dan juga luar negara kerana suasana pemandangan sawah padi, malah kedudukannya terletak hanya beberapa jam sahaja daripada pusat bandar.

“Setiap homestay ini mempunyai keistimewaan tersendiri, namun terdapat persamaan diantara kesemuanya iaitu suasana kekeluargaan yang mesra diantara tetamu homestay dan juga tuan rumah.

“Aktiviti diberikan kepada tetamu seperti menanam serta menuai padi, memetik buah, menanam pokok, menoreh getah, serta pelbagai aktiviti berasaskan pertanian lain.

“Selain itu, terdapat juga pertunjukan kebudayaan pada waktu petang dan para tetamu berpeluang melawat kilang Industri Kecil dan Sederhana (IKS) untuk melihat produk tempatan dihasilkan serta mencuba hidangan tempatan,” katanya kepada SelangorKini.

Noorul Ashikin berkata, homestay di Selangor dipilih dengan teliti serta perlu memenuhi kriteria ditetapkan sebelum dipromosikan oleh Tourism Selangor.

“Terbaru, RM398,000 diperuntukkan bagi menyediakan latihan dan bimbingan untuk komuniti setempat menguruskan aktiviti homestay serta pelancongan yang lebih baik.

“Tourism Selangor akan memastikan pelancongan homestay ini menjadi sebahagian daripada industri pelancongan, ia akan terus dibangunkan dan dipromosikan untuk mencapai potensi sebenar,” katanya.

Categories
SELANGOR

Tourism Selangor-ECTAA kolaborasi tarik pelancong Eropah

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SUBANG JAYA, 16 MEI: Tourism Selangor menganjurkan Majlis Makan Malam Perangkaian bersama The European Travel Agents and Tour Operators Associations (ECTAA) bagi menarik lebih ramai pelancong Eropah ke Selangor.

Majlis dianjurkan sempena mesyuarat Tahunan ECTAA dengan kerjasama Tourism Malaysia di Surf Beach Sunway Lagoon, baru-baru ini.

Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din berkata, majlis itu sebagai landasan pihaknya mengeratkan lagi hubungan dengan memperkenalkan produk serta tawaran pelancongan terkini selain membina rangkaian yang kukuh dengan ejen pelancongan ECTAA.

“Ia bertujuan untuk menarik dan memperhebatkan lagi kehadiran pelancong Eropah ke Selangor.

“Tahun lalu kita menerima lebih 400,000 pelancong dari Eropah iaitu peningkatan 2.02 peratus berbanding 2016,” katanya dalam kenyataan.

Ashikin berkata, program itu akan menyaksikan satu kolaborasi baru dengan ejen pelancongan terbesar di Eropah terutama dari ECTAA.

Majlis turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Noraini Roslan, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab dan Pengarah ECTAA, Pawel Niewiadomski.

Terdahulu, Mirza berkata, Tourism Malaysia menyasarkan 1.5 juta pelancong Eropah akan melawat Malaysia tahun ini, meningkat kira-kira setengah juta pelancong berbanding tahun lalu.

Categories
SELANGOR

Tourism Selangor sasar tarik 400,000 pelancong Arab

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 24 APR: Tourism Selangor mensasarkan menarik 400,000 pelancong Arab ke Selangor tahun ini menerusi Arabian Travel Market (ATM) 2018.

Pengurus Besarnya, Noorul Ashikin Mohd Din berkata, pihaknya yakin sasaran itu mampu capai berdasarkan statistik 2017 yang menyaksikan 360,749 pelancong dari Timur Tengah itu menjejakkan kaki ke Selangor.

Katanya, ATM 2018 yang sedang berlangsung 22 hingga 25 April di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Dubai itu menjadi landasan terbaik pihaknya mempromosikan Selangor sebagai destinasi pelancongan paling utama.

“Antara lain, ATM 2018 juga bertujuan mengukuhkan aktiviti pemasaran serta menyebarkan kempen #Discover Selangor, #TakeMeAnywhere secara komprehensif di Timur Tengah.

“Peluang bertukar pandangan dengan rakan dari negara lain merupakan satu perkara yang amat bagus di samping membantu menjana lebih banyak pasaran masuk ke negeri ini,” katanya dalam kenyataan.

Noorul berkata, ATM 2018 menyediakan peluang terbaik buat Selangor mewujudkan rangkaian hubungan lebih luas selain menjalin perkongsian pintar dan kerjasama dengan syarikat penerbangan antarabangsa serta pengendali pelancongan tempatan.

“Selain Tourism Selangor, delegasi dari Selangor seperti Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) dan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) turut terlibat dalam ATM 2018.

“Penglibatan MDHS dan MDKL tahun ini ingin mempromosikan daya tarikan utama iaitu Eco-Adventures seperti aktiviti Paragliding, White Water Rafting dan Bird Watching,” katanya.

Manakala, Noorul berkata, Tourism Selangor turut mempromosi Pesta Kesenian Antarabangsa (SIIAF 2018) yang terus menjadi tangga teratas dalam tentatif buat pelancong Arab.

“Selain itu, Tourism Selangor akan melancarkan ‘Buku Pelancongan Pelancong Arab Selangor 2018’ versi Arab semasa taklimat produk dan media di Pavilion Tourism Malaysia.

“Direktori perjalanan informatif dan interaktif dalam bahasa Arab membolehkan pelancong dari Timur Tengah mencari maklumat mengenai destinasi pelancongan di Selangor,” katanya.

Sementara itu, Sunway Lagoon, Sunway Resort Hotel and Spa, Hotel Concorde Shah Alam dan Istana Golden Horses turut hadir ke ATM 2018 bagi mempromosikan beberapa tarikan serta destinasi terkini negeri untuk membeli-belah, keseronokan keluarga, eko-adventure, golf, bulan madu dan percutian mewah.

 

 

 

Categories
SELANGOR

Tourism Selangor lancar #TakeMeAnyWhere

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 4 JAN : Inisiatif memperkenalkan produk pelancongan negeri diteruskan menerusi pelancaran kempen #TakeMeAnyWhere yang dijayakan Tourism Selangor.

Pengurus Besarnya, Noorul Ashikin Mohd Din berkata, pelancaran kempen berkenaan seiring pelaksanaan promosi digital di media sosial #DiscoverSelangor dan Heart of Malaysia sebelum ini.

Beliau berkata, ia dijayakan secara komprehansif bagi memastikan sasaran 7.6 kemasukan pelancong tempatan dan antarabangsa untuk tempoh 2018 dapat direalisasikan.

“#TakeMeAnywhere merupakan sebahagian daripada kempen promosi untuk tahun ini menerusi kepelbagaian program promosi pelancongan, pameran, acara pelancongan dan banyak lagi.

“Kempen ini diteruskan menerusi kaedah promosi digital menggunakan media sosial seperti Youtube dan pengiklanan di Google Display.

“Pada masa sama, pelancong yang berkunjung ke Selangor boleh menggunakan #TakeMeAnyWhere dalam bentuk video untuk merakamkan pengalaman percutian menarik di Selangor,” katanya dalam kenyataan kepada SelangorKini.

Terdahulu, perkembangan industri pelancongan Selangor terus mengalami kemajuan dengan pelbagai aktiviti dan produk baru bagi menarik minat pelancong domestik serta luar.

Ia antara lain dilaksanakan secara menyeluruh di peringkat Kerajaan Negeri menerusi kaedah program pelancongan luar negara.

Categories
PELANCONGAN SELANGOR

Terokai percutian hijau Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 12 SEPT: Selangor mengalu-alukan kedatangan pelancong antarabangsa dan tempatan untuk merasai pengalaman sebenar percutian hijau di negeri itu.

Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din berkata, faktor iklim tropika negeri mampu menarik pelancong untuk meneroka keindahan bumi Selangor.

“Jika anda merancang untuk bercuti dan ingin menempah tiket yang mahal ke destinasi jauh, tunggu dulu, kerana iklim tropika di Selangor bakal mengubah pandangan anda.

“Selangor dipenuhi dengan keajaiban alam semula jadi yang menakjubkan dan mampu membuatkan pencinta alam semula jadi sukar untuk membuat keputusan mengenai pengembaran luar mereka yang seterusnya,” katanya.

Taman Botani1Beliau berkata, keindahan flora dan fauna hutan negeri kini amat popular dan kerap menjadi destinasi pilihan bagi tujuan destinasi eko-pelancongan.

“Eko dan alam semula jadi merupaakan antara tarikan utama pelancongan Selangor kerana bukit dan gunungnya yang mempamerkan personaliti berbeza.

“Antaranya FRIM, Taman Botani Negara Shah Alam, Hulu Selangor dan Hulu Langat yang popular kerana keindahan semula jadi di smping kekayaan flora dan fauna,” katanya.

Tahun lalu, Selangor tampil dengan kempen Discover Selangor dengan tagline ‘Heart of Malaysia’ sebagai landasan dalam usaha mempromosi Selangor di peringkat global.

Kempen berkenaan memberi tumpuan kepada kekuatan Selangor dalam ‘lifestyle spot’, peluang perniagaan, perkhidmatan sektor MICE (Meetings, Incentives, Conferencing, Exhibitions), sukan dan kesihatan.

Keberkesanan kempen itu menyaksikan jumlah kedatangan pelancong tempatan dan asing ke Selangor meningkat 1.5 peratus kepada 4.3 juta bagi tempoh Januari hingga September, tahun lalu.

Jumlah itu mengambil kira tempoh sama tahun 2015 lalu melebihi sasaran pengunjung 7.1 juta.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Tourism Selangor fokus tarik pelancong Taiwan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 11 MEI: Tourism Selangor julung kalinya mengambil bahagian dalam pameran pelancongan terbesar di Expo Pelancongan Taipei 2017, Taiwan yang berlangsung 5 hingga 8 Mei baru-baru ini.

Pengurus Besarnya, Noorul Ashikin Mohd Din berkata, expo terbabit bertujuan meningkatkan bidang tumpuan baru khususnya Taiwan yang menjadi destinasi terkenal bagi rakyat Malaysia.

Katanya, pihaknya memberi penekanan kepada tiga elemen utama iaitu perubatan, Eco dan Sukan serta MICE (Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran).

“Kita memperkenalkan tempat menarik antaranya Kampung Kuantan, Kuala Selangor yang terkenal dengan kelip-kelip hingga ke pusat membeli belah bertaraf dunia, hiburan dan taman tema terbaik di Asia.

TOURISM SELANGOR - TAIWAN (1)“Tourism Selangor juga memberi penekanan kepada beberapa produk baru yang muncul dengan pesat. Produk-produk ini seperti Sky Mirror di Kuala Selangor, Bangi Wonderland di Bangi dan juga beberapa pusat membeli-belah mesra pelancong terbarunya diramalkan untuk menjadi hit untuk pelancong Taiwan,” katanya dalam kenyataan.

Noorul berkata, Tourism mengalu-alukan pelancong dari Taiwan ke negeri itu yang menawarkan siri tarikan pelancongan menarik serta pengalaman baru ekoran jumlah pelancong yang mencecah 51,480 menjadikan Taiwan di kedudukan ke 9 daripada 10 negara Asia Timur.

Katanya, dengan gabungan sejarah dan budaya menggabungkan kehidupan bandar serta kampung, infrastruktur moden, Selangor adalah destinasi pilihan pelancong luar dan dalam negara.

“Populariti Selangor dalam kalangan pelancong Taiwan diharap dapat meningkat daripada 3 hingga 5 peratus. Kami di Tourism Selangor juga ingin mengukuhkan lagi hubungan bersama dengan Biro Pelancongan Taiwan dan bekerja bersama-sama di luar 2017.

“China adalah pasaran terbesar pengunjung Selangor. Ia semakin berkembang dan menyaksikan pertumbuhan yang mampan dalam ketibaan pelancong China ke Selangor dalam tempoh lima tahun lalu,” katanya.

Tourism (1)Beliau berkata kapasiti penerbangan dari dua syarikat penerbangan antaranya Malindo Air dan Air Asia serta agensi pelancongan baru turut membantu meningkatkan jumlah pelancong.

“Discover Selangor merupakan tanda aras Tourism mempromosikan produk baru dan lama yang belum mendapat perhatian, sekali gus menonjolkan dan menggalakkan pasaran pelancongan.

“The ‘Heart of Malaysia’ turut digunakan sebagai slogan mengukuhkan kempen promosi semasa, selain menunjukkan Selangor sebagai hab bagi pengangkutan, pembangunan, pelaburan, perniagaan, pendidikan dan perubatan,” katanya.