Categories
AGAMA GLOBAL

Jemaah haji bebas penyakit berjangkit di Arafah

MINA 20 OGOS: Menteri Kesihatan Arab Saudi, Tawfiq al-Rabiah berkata tiada tanda-tanda sebarang penularan wabak penyakit berlaku ketika hampir 2 juta jemaah haji dari seluruh dunia berdepan hujan lebat sejak semalam, untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Hujan lebat dan ribut petir memaksa jemaah haji berlindung di khemah-khemah dan mengharung air dengan amaran pertahanan awam mengatakan kemungkinan banjir akan berterusan sepanjang malam.

Semua jemaah dijangka tiba di Gunung Arafah pagi ini untuk wukuf dengan sambutan menjelang Aidiladha atau Hari Raya Korban bermula esok apabila mereka mula keluar untuk upacara melontar selama tiga hari.

Pihak berkuasa sudah bersiap-sedia beberapa bulan lebih awal untuk memastikan keselamatan jemaah, kata al-Rabiah kepada Reuters.

Katanya lebih daripada 30,000 pekerja kesihatan mengendalikan 25 hospital dan menawarkan perkhidmatan perubatan percuma, termasuk prosedur yang kompleks seperti pembedahan jantung.

“Syukur kepada Tuhan, semuanya kini terkawal dan keadaan kesihatan sangat baik,” katanya dalam satu wawancara di Hospital Awam Mina.

Potensi penyebaran penyakit di kalangan jemaah haji, yang menghabiskan masa lima hari di penempatan yang rapat, sering makan di luar dan tidur di atas lantai sering menjadi kebimbangan utama.

Pada masa lalu, perhimpunan umat Islam terbesar di dunia itu menyaksikan beberapa tragedi berdarah seperti rempuhan, kebakaran dan rusuhan, dengan pihak berkuasa kadang-kala berdepan halangan untuk bertindak balas.

Insiden rempuhan pada 2015 mengorbankan hampir 800 jemaah haji, menurut Riyadh, walaupun ada negara terbabit mendakwa ia mencecah 2,000 korban, lebih 400 daripadanya adalah warga Iran.

Musim haji dan umrah menjana pendapatan berbilion dolar setiap tahun kepada Arab Saudi.

Pihak berkuasa menyasarkan untuk meningkatkan angka jemaah umrah dan haji kepada masing-masing 15 juta dan 5 juta menjelang 2020 dan berharap jumlah jemaah umrah meningkat kepada 30 juta menjelang 2030.

SUMBER: REUTERS

Categories
AGAMA NASIONAL

Ribut Arafah: Semua jemaah haji Malaysia selamat

ARAFAH 20 OGOS: Tabung Haji memaklumkan semua jemaah haji Malaysia berada dalam keadaan selamat dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan susulan hujan lebat dan ribut di sini malam tadi.

Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dalam satu kenyataan berkata pemeriksaan menyeluruh dilaksanakan di setiap maktab dan terdapat beberapa khemah jemaah haji Malaysia mengalami kerosakan.

Namun katanya, khemah-khemah berkenaan kini dalam proses baik pulih oleh pihak Muassasah Asia Tenggara,.

“Bekalan eletrik disambung semula secara berperingkat mulai pukul 10:45 malam,” kata beliau.

Ribut di Arafah bermula pukul 6:30 petang sehingga 8 malam (waktu Arab Saudi).

Menurut Syed Saleh, semasa kejadian ribut dan hujan tersebut, pihak bomba telah mengarahkan bekalan elektrik ditutup bagi menjaga keselamatan para jemaah haji yang berada di Arafah.

Justeru katanya, waris dan orang ramai tidak perlu bimbang dengan keadaan jemaah haji Malaysia yang kini berada di Arafah.