Categories
AGENDA NASIONAL

Macau Scam: Warga emas berputih mata, rugi lebih RM1 juta

KUALA LUMPUR, 27 JULAI: Berputih mata, itulah yang berlaku pada seorang warga emas di Petaling Jaya yang menjadi mangsa sindiket penipuan ‘Macau scam’ selepas mengalami kerugian lebih RM1 juta.

Wanita berusia 71 tahun itu, menerima panggilan daripada sebuah syarikat penghantaran mengatakan terdapat bungkusan dihantar dari Kepong ke Kota Kinabalu, Sabah yang menggunakan kad pengenalan dan kad bank atas namanya pada 25 Mei lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata panggilan mangsa kemudiannya disambungkan kepada seorang lelaki bernama Sarjan Chong Sin Han yang mendakwa dirinya seorang anggota polis dari balai polis di Sabah.

“Mangsa diberitahu yang dia terbabit dengan sindiket kegiatan pengubahan wang haram dan butiran peribadinya dipercayai digunakan seorang lelaki yang juga bekas pengurus bank yang telah ditangkap.

“Oleh sebab takut ditahan, mangsa terpaksa mengikuti segala arahan suspek dengan memindahkan wang simpanannya ke 10 akaun syarikat yang berbeza berjumlah RM1,069,800 secara berperingkat pada 15 Jun hingga 23 Julai lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata usaha mengesan saki-baki suspek terlibat sedang diburu manakala sindiket ini menggunakan modus operandi dengan menyasarkan golongan warga emas yang kurang pendedahan mengenai maklumat mengenai jenayah siber.

“Polis nasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tipu helah dan ugutan yang diterima mana-mana pihak dan segera menghubungi polis jika menerima panggilan-panggilan telefon sebegini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lima lelaki ditahan memandu di bawah pengaruh alkohol

KUALA LUMPUR, 21 JUN: Lima lelaki ditahan selepas didapati memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Mabuk yang dilaksanakan di sekitar Petaling Jaya malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata kesemua suspek berumur lingkungan 30 hingga 49 tahun itu ditahan kerana didapati positif memandu di bawah pengaruh alkohol dan melebihi kadar yang ditetapkan.

Beliau berkata mereka ditahan dalam operasi bermula pada 11 malam bagi mencegah pengguna jalan raya yang memandu atau menunggang kenderaan di bawah pengaruh alkohol.

“Polis turut mengeluarkan 22 saman terhadap pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan lalu lintas dalam Op Mabuk di daerah itu,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata seramai 501 pengguna jalan raya dan 467 kenderaan diperiksa dalam operasi yang berakhir pada 3 pagi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Suspek kes pecah rumah ditahan selepas ‘kantoi’ langgar sekatan

PETALING JAYA, 13 JUN: Seorang lelaki warga tempatan disyaki terlibat dalam beberapa siri kes pecah rumah dan curi kenderaan di Lembah Klang berjaya ditahan polis selepas ‘kantoi’ melanggar satu sekatan jalan raya menggunakan kenderaan curi jenis Proton X70.

Rentetan insiden berkenaan di Shah Alam kira-kira 1 pagi Isnin lepas, polis berjaya menahan suspek kira-kira sembilan jam kemudian di tempat letak kereta, sebuah apartment di kawasan Bukit Prima Pelangi, di sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata hasil siasatan di rumah suspek, beberapa barang berharga dipercayai dicuri ditemukan, antaranya sebuah kereta jenis Mercedes Benz C200 yang dilaporkan hilang, sebuah telefon bimbit dan dompet dengan beberapa kad kredit di dalamnya.

Hasil semakan polis, suspek mempunyai 24 rekod jenayah lampau dengan kesemua melibatkan kes samun dan pecah rumah, menurutnya.

Nik Ezanee berkata pihaknya juga kini sedang mengesan rakan sejenayah suspek dikenali sebagai Spiky atau nama sebenarnya Ong Chong En berumur 42 tahun dipercayai masih giat melakukan kegiatan kes pecah rumah dan mencuri kenderaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tahan 46 individu ingkar PKPB di pusat hiburan

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Seramai 46 individu ditahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika berkunjung ke sebuah pusat hiburan di Kota Damansara, dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata dalam serbuan jam 8.45 malam, kesemua individu berusia 18 hingga 47 tahun itu dikenakan kompaun RM1,000 selaras Seksyen 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Selain mereka, katanya, seorang lelaki warga tempatan berusia 43 tahun turut ditahan dalam serbuan itu kerana mengupah pekerja warga asing tanpa permit kerja yang sah, selain pihaknya turut merampas resit dan wang tunai berjumlah RM3,550.

“Lapan warga asing berusia 21 hingga 38 tahun yang berada dalam premis turut ditahan kerana melanggar syarat visa lawatan dan disyaki bekerja di premis itu. Mereka ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/633 dan Seksyen 39(b) Peraturan- Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan lain, empat lelaki berusia 25 hingga 54 tahun ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Mabuk dan Pencegahan Jenayah di daerah Petaling Jaya, awal pagi ini.

Nik Ezanee berkata pihaknya turut mengeluarkan lapan saman atas pelbagai kesalahan trafik dan kesemua mereka yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 45(A)1 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam perkembangan berasingan, Nik Ezanee berkata polis berjaya menumpaskan sindiket curi dalam bangunan dengan menahan tujuh lelaki tempatan di Bangunan Tropicana Grande dekat sini, petang semalam.

Menurutnya, suspek berusia lingkungan 16 hingga 53 tahun ditahan kira-kira 3.30 petang dan berjaya merampas pelbagai hasil curian barangan rumah antaranya sofa, televisyen, peti sejuk dan kerusi serta meja.

“Kesemua suspek ditahan reman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

– BERNAMA