Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

CUEPACS gesa keputusan tutup pejabat Tourism ditangguh

OLEH LIZAWTI MADFA

SHAH ALAM, 26 JAN: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menuntut Kerajaan Persekutuan menangguhkan hasrat menutup pejabat Tourism Malaysia di seluruh negara.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, keputusan yang dibuat sebelum ini dilihat agak tergesa-gesa dan memberi kesan kepada moral dan kebajikan pekerja.

Katanya, keputusan tanpa pemberitahuan awal kepada kakitangan terbabit juga amat mengecewakan.

“Pengumuman itu dibuat secara serta-merta tanpa notis dan tiada makluman awal kepada pekerja yang sedang berkhidmat.

presiden cuepacs datuk azih“Sekarang, arahan penutupan serta-merta hanya diketahui menerusi laporan media dan pekerja bingung dengan status mereka,” katanya dalam sidang media di Wisma Ceupacs, semalam.

Beliau juga menuntut kajian terperinci berkenaan cadangan penutupan pejabat Tourism itu diadakan sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Ini kerana pejabat memainkan peranan penting dalam mempromosi dan menggalakkan produk pelancongan Malaysia. Takkan sebab nak jimat RM6 juta, tak fikirkan kebajikan pekerja.

“Saya merayu perdana menteri beri ruang kepada pekerja ini gambaran jelas berkenaan penempatan baru mereka,” katanya.

Pada 23 Januari lalu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz mengumumkan penutupan semua pejabat Tourism Malaysia kerana didakwa terdapat pertindihan tugasan dengan pejabat pelancongan negeri.

Seramai 232 kakitangan pejabat Tourism Malaysia seluruh negara termasuk 39 berstatus kontrak dijangka terjejas dengan keputusan berkenaan.

-NFN-