Categories
AGENDA NASIONAL

80 delegasi luar negara dirai Tourism Selangor

BANGI, 6 OGOS : Kira-kira 80 delegasi yang datang dari beberapa buah negara diraikan Tourism Selangor di Taman Tema Air Bangi Wonderland, semalam. 

Eksekutif Pelancongan Fokus Tourism Selangor, Mohd Haffez Hanip berkata, antara peserta delegasi berkenaan datang dari Korea Selatan, Taiwan, Indonesia, Sri Lanka dan Afrika.

“Kesemua peserta ini adalah diantara peserta yang menyertai Selangor International Indigenous Arts Festival (SIIAF) 2019 di Taman Botani baru-baru ini.

” Tourism Selangor mahu penduduk  luar negara tahu bahawa negeri ini kaya dengan tempat menarik dan mempunyai pelbagai kemudahan,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Menurut Mohd Haffez, selain Taman Tema Air Bangi Wonderland, semua delegasi berkenaan  turut dibawa ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan i-City Shah Alam. 

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Bangi Wonderland, Siti Aimi Dayana Muhamad berkata, pihaknya berbesar hati menerima kunjungan dari delegasi luar negara itu sekali gus ia membuka peluang kepada Tourism Selangor mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Taman Tema Air Bangi Wonderland telah tiga tahun dibuka dan kami  berbangga kerana menerima kunjungan penduduk dari seluruh negara termasuk dalam negara seperti Kelantan, Kedah, Johor dan sebagainya,” kata beliau.

Sent from my iPhone
Categories
BERITA UTAMA PELANCONGAN

Tourism Selangor komited laksana Siri Bengkel Fotografi bantu promosi pelancongan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 27 OGOS : Tourism Selangor dan PCP Publication bekerjasama dengan Taman Botani Negara Shah Alam mengadakan Bengkel Fotografi (Dron) peringkat Selangor, di Taman Botani Negara Shah Alam, di sini, semalam.

Bengkel itu bertujuan memberi pendedahan teknik penggambaran, sekali gus mempromosi kawasan tarikan pelancong, di sekitar Selangor.

Bengkel itu membabitkan penyertaan 30 peserta pelbagai peringkat usia terdiri daripada pelajar sekolah dan institusi awam serta orang ramai.

Bermula seawal jam 8.30 pagi hingga 2 petang, bengkel itu dimulai dengan ucapan aluan dan perasmian oleh Pegawai Komunikasi Korporat Tourism Selangor, Muhamad Nur Nasrullah dan Penolong Pegawai Penerangan, Seksyen Korporat dan Perhubungan Antarabangsa, Taman Botani Negara Shah Alam, Umi Nadia Marjan.

Antara pengisian bengkel, peserta didedahkan dengan teknik yang betul dan tepat dalam mengabadikan kenangan ketika menerbangkan dron supaya mereka dapat menterjemahkan hasil mantap, di dalam sesebuah gambar atau videografi.

Menariknya, turut terdapat penampilan khas daripada Pakar Penggambaran Dron dan Teknikal, Jonathan Kok, dari DJI & ECSM Sdn Bhd dan Ketua Editor PCP Publication, Kim Teoh, selaku tenaga pengajar.

Setiap peserta juga diberikan sijil penyertaan dan cenderahati daripada pihak penganjur pada akhir bengkel terbabit.

Untuk makluman, Tourism Selangor sudah menganjurkan bengkel fotografi itu untuk tahun kedua dengan beberapa siri bengkel dan kali ini adalah siri kedua.

Terdahulu, siri pertama diadakan Bengkel Fotografi (Kebudayaan dan Warisan) dengan kerjasama Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor, di Istana Bandar, Jugra, pada 22 Julai lalu.

Manakala, siri ketiga bengkel itu pula akan diadakan di Selangor Fruit Valley bertemakan ‘Kehijauan Alam Semulajadi’, pada 23 September ini .

Tema itu bertujuan mempamerkan teknik penggambaran melalui suasana persekitaran flora dan fauna kerana ia sudah mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat fotografi, sejak mula dianjurkan.

Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din berkata, Tourism Selangor sentiasa aktif mempromosikan permata baru dan tersembunyi, di negeri itu.

“Tahun demi tahun, kami menambah baik dan menjadi lebih kreatif dalam menarik anak muda tempatan untuk mempromosikan secara tidak langsung tempat dan kawasan tarikan pelancongan selain menelaah ilmu berguna, dalam Siri Bengkel Fotografi ini,” katanya.

Categories
PELANCONGAN SELANGOR

Tourism Selangor jalin kerjasama Sime Darby, lancar ‘THIS IS HOW LIFE SHOULD BE’ Photo Hunt

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 22 OGOS: Tourism Selangor melalui kerjasama Syarikat Pemaju Perbandaran Utama iaitu Sime Darby Property Berhad melancarkan Pertandingan Fotografi The City of Elmina ‘THIS IS HOW LIFE SHOULD BE’ #DiscoverSelangor, di Galeri Jualan Elmina Pavilion, di sini, baru-baru ini.

Seiring dengan peranannya selaku pemain penting industri pelancongan negeri ini, usaha pelaksanaan itu digembleng secara bersama bagi mempamer dan mempromosikan lagi lokasi menarik yang terdapat, di Selangor.

Pengurus Besarnya, Noorul Ashikin Mohd Din berkata, pihaknya sentiasa optimis dalam memastikan sektor pelancongan berjalan rancak terutama dengan memperhebatkan lokasi tumpuan pelancongan tersembunyi sedia ada dan baharu.

“Justeru, setiap tahun kami akan menambah baik dan menjadi lebih kreatif dalam mencuri tumpuan pelancong antarabangsa juga tempatan untuk datang berkunjung ke Selangor.

“Kami amat berterima kasih kerana mempunyai rakan kongsi yang sudi menyokong ke arah merealisasikan hasrat itu seperti Sime Darby Property untuk menjadi tuan rumah untuk edisi kesembilan penganjurannya,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas berhubung pemilihan Bandar Elmina sebagai lokasi penganjuran, Noorul Ashikin berkata, bandar itu adalah perbandaran utama Sime Darby Property yang terdiri daripada perbandaran Denai Alam, Bukit Subang, Elmina Timur dan Elmina West.

“Ia dipilih berdasarkan lokasi dan kedudukannya yang mudah untuk diakses serta persekitaran indah, selain memaparkan ruang hijau Elmina Central Park seluas 300 ekar juga lebih luas berbanding ‘Lake Gardens’, di Kuala Lumpur.

“Selain itu, aspek kebolehcapaiannya juga sangat mudah kerana diakses melalui Lebuhraya Lembah Klang Utara (NKVE), Guthrie Corridor Expressway (GCE), Lebuhraya Persekutuan dan Lebuhraya ELITE.

“Lebuh raya itu turut menghubungkan perbandaran ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA 2 serta pinggir bandar popular, di Lembah Klang seperti Subang Jaya dan Shah Alam,” katanya.

Sementara itu dalam kenyataan sama, Pengurus Besar Sime Darby, Apollo Leong, melahirkan perasaan gembira apabila berpeluang turut serta memainkan peranan dalam mengetengahkan tarikan tempatan, di Selangor.

“Kepelbagaian lokasi menarik dan unik di Selangor amat bertepatan dengan tema Hari Kebangsaan Malaysia tahun ini iaitu ‘Sayangi Malaysiaku’.

“Ia suatu penghargaan untuk kami menjadikan Bandar Elmina sebagai tuan rumah bagi acara penuh bermakna ini.

“Sudah pasti, setiap elemen alam semulajadi, lanskap dan gaya hidup dalam perkembangan ini bakal memberi latar belakang sempurna untuk jurugambar khususnya serta penggemar alam semulajadi amnya,” katanya.

Terdahulu, penganjuran pertandingan yang mendapat sambutan menggalakkan terutama daripada penggemar seni foto itu turut menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM24,500.

Categories
PELANCONGAN SELANGOR

Pelancongan Selangor giat dipromosi di Jepun

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 MAC: Kempen Media Sosial akan dilancarkan secara eksklusif di Jepun, minggu ini dengan menggunakan medium Facebook sebagai platform utama dalam mempromosikan Selangor.

Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din berkata Tourism Selangor turut memanfaatkan tiga segmen membabitkan eko pelancongan, warisan dan pendidikan pelancongan berdasarkan pola kedatangan pelancong negara itu.

Katanya, usaha itu selepas memperlihatkan Selangor menerima sejumlah 212,000 pelancong Jepun pada tahun 2017 dengan ketibaan tertinggi pada bulan Ogos pada 28,000.

“Terdapat peningkatan yang mantap dalam bilangan kedatangan pelancong negara itu ke negeri ini. Kami berharap peningkatan pelancong itu akan membawa pulangan bernilai RM5.49 bilion.

“Untuk mencapai matlamat ini, Tourism Selangor mempunyai beberapa program yang dirancang dengan kempen baru’#takemeanywhere’ yang akan mempromosikan bidang utama tumpuan pelancongan di Selangor,” katanya.

Noorul Ashikin berkata Tourism Selangor juga akan bekerjasama dengan Biro Pelancongan Jepun di Osaka dan Tokyo untuk lawatan Kerajaan ke Kerajaan (G2G) bagi membincangkan lagi kempen promosi masa depan.

Katanya, ‘Selangor Familiarisation Trip’ membabitkan pemain industri dan media serta Lembaga Pendidikan Jepun berpeluang menyertainya yang akan diadakan pada Ogos depan.

Bermula 18 hingga 24 Mac ini, Tourism Selangor menyertai ‘roadshow’ yang pertama diadakan di Osaka, Jepun dengan penyertaan dari Sky Mirror, Kuala Selangor, Cyberview Resort dan Majlis Daerah Kuala Selangor.

Ia merupakan roadshow mengenai Selangor di negara itu dengan rakan rasmi AirAsiaX.

Roadshow itu disertai oleh peserta tempatan dari kedua-dua negara membabitkan pelbagai agensi kerajaan, pengusaha hotel, pengendali kesihatan dan pendidikan.

Tourism Selangor turut mengadakan mesyuarat B2B Persatuan Pelancongan Jepun (JATA) dan Tabikobo Co. Ltd. semasa lawatan pertama di roadshow di Osaka, Jepun.

=EZY=

Categories
PELANCONGAN SELANGOR

Selangor tawar tarikan menarik di MATTA Fair KL 2018

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 14 MAC: Kempen Discover Selangor oleh Tourism Selangor kini diteruskan lagi ke Pameran Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) yang bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selama tiga hari bermula 16 Mac ini.

Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din berkata, kempen itu bertujuan meningkatkan kedatangan pelancong domestik dan antarabangsa secara keseluruhan dengan memperkenalkan produk serta tempat penginapan menarik di Selangor.

“Kami akan terus berusaha memberi tumpuan untuk mempromosikan produk Tourism Selangor untuk pasaran domestik sejajar dengan kempen ‘Discover Selangor’ dan #TakeMeAnywhere’.

“Terdapat beberapa destinasi pelancongan menarik di negeri ini yang berpotensi besar untuk dimasukkan dalam lawatan pakej.

“Tourism Selangor Pavillion edisi Mac MATTA Fair, Kuala Lumpur tahun ini memaparkan tarikan pelancong di Selangor seperti RHR Hotel, Golf & Island Resort Amverton Cove, Kidzania, Wet World Shah Alam, Sky Mirror Tours & Travel, Farm In The City, Skytrex, Jump Street, District 21 dan MinNature Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Noorul Ashikin berkata, kepada mereka yang inginkan suasana hotel mewah dengan harga yang berpatutan, Tourism Selangor memperkenalkan RHR Hotel yang pastinya membuatkan mereka menginap di situ berasa terpesona dan selesa.

“Dengan pemandangan tepi tasik dan landskap yang indah, RHR Hotel adalah destinasi terbaik untuk anda yang mahukan suasana kedamaian.

“Nikmati promosi RM428 dengan pakej Family Petting Zoo untuk dua dewasa dan dua kanak-kanak termasuk sarapan pagi selama tiga hari dua malam,” katanya.

Selain itu, Noorul Ashikin berkata, di MATTA Fair nanti turut ditawarkan pakej menarik kepada mereka yang mahu merakam detik indah perkahwinan, Rumah Rehat Seri Berkat (RRSB) menawarkan pakej ‘Pre & Post Wedding Photoshoot’.

Noorul Ashikin berkata, sebagai agensi bertanggungjawab, Tourism Selangor dan Kerajaan Negeri menyokong usaha pemain industri tempatan untuk membangunkan produk menarik di negeri itu.

“Ia merupakan satu peluang yang baik untuk mempamerkan daya tarikan terbaik Selangor pada masa ini, kerana kebanyakan pelawat akan merancang lawatan keluarga untuk cuti sekolah pada akhir tahun,” katanya.

Pakej percutian itu menawarkan kadar diskaun ketika musim cuti persekolahan sehingga 50 peratus.

MATTA Fair KL 2018, Edisi Mac menjangkakan 110,000 pengunjung untuk pameran tiga hari sehingga 18 Mac ini.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA PELANCONGAN SELANGOR

Tourism Selangor sasar 7.6 juta pelancong tahun ini

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 3 JAN: Tourism Selangor mensasarkan 7.6 juta pelancong akan berkunjung ke Selangor, pada tahun ini.

Pengurus Komunikasi Korporat Tourism Selangor, Nazri Tashriq berkata, jumlah resit pelancongan dijangka mampu mencapai RM5.26 bilion dengan sasaran sedemikian.

“Setakat September tahun lalu, Tourism Selangor sudah mencapai 6.04 juta pelancong dengan jumlah resit RM4.2 bilion.

“Sasaran kami tahun 2017 adalah 7.4 juta dengan jumlah resit pelancongan mampu mencapai RM5.1 bilion dan ia pasti dapat dicapai, menjelang hujung Disember lalu,” katanya dalam kenyataan.

Manakala, Nazri Tashriq berkata, Tourism Selangor akan memperkenalkan produk pelancongan baru bersempena tahun ini.

“Antara produk baru adalah Sky Mirror, Kuala Selangor, Bangi Wonderland, Kajang Heritage Walk, Tanjung Sepat Kuala Langat, Nickelodeon Lost Lagoon Sunway Lagoon dan Empire City Damansara.

“Selain itu, antara produk baru lain adalah Tan’yaa Hotel Cyberjaya, Qliq Hotel Damansara, Geno Hotel Shah Alam, Four Points by Sheraton dan Sheraton Hotel Petaling Jaya,” katanya.

Terdahulu, Selangor paling ramai menerima kunjungan pelancong dari China dengan jumlah 585,725, Singapura (401,726) dan Arab Saudi (201,218).

Manakala, antara pelancong lain yang turut berkunjung ke Selangor adalah dari Indonesia (180,431), Jepun (173,672), India (152,579), Thailand (104,941), Australia (80,621), Filipina (76,373) dan United Kingdom (72,655).

Bagaimanapun, Tourism Selangor memfokuskan kepada segmen pelancongan seperti sukan dan kesihatan, agro pelancongan, perubatan, perniagaan, pelayaran dan warisan, tahun ini.

Antara strategi kempen promosi pelancongan tahun ini, Nazri Tashriq berkata, Tourism Selangor akan mengadakan kempen #DiscoverSelangor #HeartofMalaysia untuk pasaran antarabangsa dan #DiscoverSelangor #TakeMeAnywhere bagi pasaran domestik.

Fokus pelancongan akan tertumpu kepada pemasaran digital dan media sosial, produk pelancongan baru dan segmen 2018, tanggungjawab sosial korporat (CSR), informasi pelancongan, program promosi dalam dan negara, acara pelancongan rasmi Tourism Selangor dan ‘Visit Malaysia 2020’ (MOTAC & TM).

Categories
PELANCONGAN SELANGOR

Enam teras pelan strategik, tingkat industri pelancongan Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM – Pelan pembangunan industri pelancongan negeri dirangka secara efektif bagi memastikan Selangor menjadi sebagai sebuah destinasi pelancongan menarik, di negara ini.

Tourism Selangor dalam kenyataannya memaklumkan, enam teras utama pelan berkenaan akan dijayakan untuk tempoh 2018.

Teras pertama meliputi penjenamaan baru Discover Selangor, Heart of Malaysia dan Discover Selangor #TakeMeAnyWhere.

“Ia adalah kempen untuk meningkatkan pasaran pelancongan dan permintaan terhadap keperluan industri itu, seterusnya menjadi penanda aras untuk menawarkan perkhidmatan pelancongan berkualiti, di Selangor.

“Penjenamaan ini dilihat sebagai salah satu daya strategi pemasaran yang unik dan kreatif supaya pelancong dapat berkongsi pengalaman bercuti, di Selangor,” menurut kenyataan itu.

Pembangunan teras kedua merujuk kepada peningkatan pelancongan permintaan dari China, India dan pasaran pelancongan baru, dari luar negara.

Tourism Selangor berkata, teras ketiga pula agenda pembangunan media kreatif dan media sosial melalui penggunaan teknologi sedia ada untuk menarik kemasukan pelancong.

Seterusnya, teras keempat menekankan kaedah pembangunan pelaburan dan perniagaan pelancongan bersama syarikat tempatan untuk menambah jaringan keperluan pelancongan.

“Strategi ini antara lain turut menjalinkan kerjasama bersamaa Invest Selangor untuk menarik pelabur menceburi industri pelancongan negeri,” kata kenyataan itu.

Teras pembangunan kelima pula menjurus kepada komitmen Tourism Selangor untuk menganjurkan pelbagai seminar dan program pelancongan di lapangan sebagai daya penarik pelancongan negeri.

Sementara teras terakhir memfokuskan kepada progam pelancongan komuniti Community Based Tourism Program (CBT).

“Ia antaranya memberi gambaran terhadap keberkesanan projek pelancongan komuniti yang dijayakan Persatuan Kemajuan Pelancongan Sekinchan, di Sabak Bernam,” jelas kenyataan itu.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

CUEPACS gesa keputusan tutup pejabat Tourism ditangguh

OLEH LIZAWTI MADFA

SHAH ALAM, 26 JAN: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menuntut Kerajaan Persekutuan menangguhkan hasrat menutup pejabat Tourism Malaysia di seluruh negara.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, keputusan yang dibuat sebelum ini dilihat agak tergesa-gesa dan memberi kesan kepada moral dan kebajikan pekerja.

Katanya, keputusan tanpa pemberitahuan awal kepada kakitangan terbabit juga amat mengecewakan.

“Pengumuman itu dibuat secara serta-merta tanpa notis dan tiada makluman awal kepada pekerja yang sedang berkhidmat.

presiden cuepacs datuk azih“Sekarang, arahan penutupan serta-merta hanya diketahui menerusi laporan media dan pekerja bingung dengan status mereka,” katanya dalam sidang media di Wisma Ceupacs, semalam.

Beliau juga menuntut kajian terperinci berkenaan cadangan penutupan pejabat Tourism itu diadakan sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Ini kerana pejabat memainkan peranan penting dalam mempromosi dan menggalakkan produk pelancongan Malaysia. Takkan sebab nak jimat RM6 juta, tak fikirkan kebajikan pekerja.

“Saya merayu perdana menteri beri ruang kepada pekerja ini gambaran jelas berkenaan penempatan baru mereka,” katanya.

Pada 23 Januari lalu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz mengumumkan penutupan semua pejabat Tourism Malaysia kerana didakwa terdapat pertindihan tugasan dengan pejabat pelancongan negeri.

Seramai 232 kakitangan pejabat Tourism Malaysia seluruh negara termasuk 39 berstatus kontrak dijangka terjejas dengan keputusan berkenaan.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA PELANCONGAN SELANGOR

Discover Selangor 2016 promosi pelancongan ke peringkat global

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 26 SEPT: Tourism Selangor tampil dengan kempen Discover Selangor 2016 hasil momentum baik Tahun Melawat Selangor 2016 .

Pengurus Besarnya, Noorul Ashikin Mohd Din berkata, kempen dengan tagline ‘Heart of Malaysia’ itu antara landasan dalam usaha mempromosi Selangor di peringkat global.

“Kempen ini akan memberi tumpuan kepada kekuatan Selangor dalam ‘lifestyle spot’, peluang perniagaan, perkhidmatan sektor MICE (Meetings, Incentives, Conferencing, Exhibitions), sukan dan kesihatan.

“Kita juga menyediakan pelbagai aktiviti menarik sempena Discover Selangor seperti International Indigenous Arts Festival and Bon Odori Festival,” katanya dalam kenyataan.

img_7904Pada 22 September lalu, Ashikin menghadiri ‘JATA Tourism Expo 2016’ yang berlangsung di Tokyo Big Sight di Tokyo, Jepun.

Acara berkenaan menghimpunkan peserta daripada pelbagai agensi pelancongan, agensi kerajaan, pengusaha hotel, pengusaha pusat kesihatan dan pendidikan.

Ashikin berkata, terdapat peningkatan 9.7 peratus pelancong Jepun ke Selangor dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, berbanding tempoh sama pada 2015.

“Industri pelancongan Selangor mempunyai potensi besar untuk diterokai terutama oleh rakan dari Jepun.

“Kita sentiasa menyokong usaha pemain industri tempatan untuk menghasilkan produk tarikan pelancong sama ada berasaskan Eco Tourism, Agro Tourism, homestay juga warisan dan budaya,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Tourism Selangor sasar 5 juta pelancong

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 2 FEB: Kuil Batu Malai Sri Subramaniar menjadi tumpuan utama penganut agama Hindu dan pelancong setiap tahun sempena perayaan Thaipusam.

Mercu tanda Batu Caves ini pernah mencipta sejarah pada 2007 apabila berjaya mencatatkan kehadiran lebih daripada 1.5 juta penganut sekaligus menjadikannya sebagai salah satu perhimpunan terbesar dalam sejarah dunia.

ThaipusmPegawai Perhubungan Awam Tourism Selangor, Fatimah Husna Razalee berkata untuk 2015, Tourism Selangor mensasarkan kehadiran lima juta pelancong.

Katanya, sasaran itu dilihat mampu dicapai dengan mengambil kira kehadiran sempena perayaan Thaipusam.

Selain itu katanya, Tourism Selangor turut membuka kaunter informasi di luar kuil untuk mengedarkan maklumat kepada orang awam terutama pelancong asing mengenai keunikan pusat pelancongan ini.

“Tahun ni kita jangka pengunjung sebanyak lima juta orang. Masa ini media tempatan dan antarabangsa datang untuk membuat liputan.

“Jadi Tourism Selangor turut serta dalam penerangan info pelancongan,” katanya kepada Selangor Kini.

Kuil diuruskan Lembaga Pengurusan Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam menempatkan sebuah patung Dewa Muruga dengan ketinggian 42.7 meter (140 kaki) yang dilancarkan pada Januari 2006.

Mengambil masa tiga tahun untuk dibina, ia adalah patung Tuhan Muruga tertinggi di dunia.

Selain itu, kuil ini mempunyai tiga gua utama yang menempatkan kuil dan tempat suci Hindu dengan pendakian 272 anak tangga curam untuk melihat pemandangan kaki langit pusat bandar.

EZY