Categories
BERITA UTAMA

Malaysia kekal waspada walaupun KDNK suku kedua kukuh – Azmin

KUALA LUMPUR, 18 OGOS: Malaysia akan terus mengamalkan pendekatan berhati-hati walaupun mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih kukuh bagi suku kedua tahun ini.

Ketika menegaskan perkara itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata data KDNK turut menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan walaupun terdedah kepada ketidaktentuan global.

“Malaysia dapat mengetepikan aliran serantau pada suku kedua tersebut apabila ekonomi negara mencatat pertumbuhan lebih kukuh pada 4.9 peratus, disokong oleh permintaan domestik yang mantap khususnya perbelanjaan swasta serta peningkatan pengeluaran sektor perlombongan dan kuari.

“Namun, kita akan terus kekal berwaspada terhadap sebarang cabaran mendatang dan mengekalkan disiplin fiskal ketika berusaha melakukan yang terbaik untuk melonjakkan lagi pertumbuhan,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis perasmian Kongres Statistik Sedunia Institut Statistik Antarabangsa (ISI WSC 2019) ke-62 di sini, hari ini.

Acara itu dirasmikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut menyampaikan ucap tama.

Mohamed Azmin turut menekankan kepentingan peranan statistik yang tepat, relevan dan kena pada masanya sebagai asas pembentukan dasar dan keputusan selain menjadi panduan untuk kerajaan melaras semula dasar tidak tepat.

“Kita tidak boleh terlalu menekankan kepentingan data semata-mata kerana sebaliknya apa yang lebih utama adalah integriti dalam pelaksanaan dasar tersebut,” katanya.

Menurutnya, sekiranya Malaysia memiliki dasar terbaik yang dirangka berasaskan statistik tepat, namun tanpa integriti, ketelusan dan kebertanggungjawaban, objektif akhir itu tidak mungkin dapat dicapai.

“Oleh itu, walaupun statistik menjadi mata pentadbiran negara ini, namun tadbir urus yang baik masih menjadi teras bagi memenuhi jangkaan rakyat,” katanya.

Beliau turut memuji kepakaran Jabatan Perangkaan Malaysia yang memberi bantuan teknikal dalam bidang-bidang utama kepada negara-negara lain selain turut meraih manfaat menerusi perkongsian kemahiran dan pengetahuan tersebut.

Mohamed Azmin juga berkongsi data perangkaan penduduk bandar Malaysia yang meningkat daripada 28.4 peratus pada 1970 kepada 76.2 peratus tahun ini manakala ekonomi pula berkembang kepada RM1.36 trilion daripada RM11.82 bilion, sebelum ini.

Selain itu, purata pendapatan bulanan isi rumah meningkat pada kadar 7.1 peratus setahun kepada RM6,958 pada 2016 berbanding RM264 pada 1970, katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Prestasi ekonomi suku kedua negara berkembang 4.9 peratus

SHAH ALAM, 16 OGOS: Ekonomi negara bagi suku kedua 2019 mencatatkan pertumbuhan
lebih baik iaitu pada kadar 4.9 peratus berbanding 4.5 peratus pada suku pertama.

Dato’ Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pertumbuhan ini didorong oleh aktiviti penggunaan swasta yang rancak.

“Asas ekonomi negara kukuh dan struktur ekonomi yang pelbagai serta tidak bergantung kepada mana-mana komoditi, sektor atau pasaran eksport turut menyokong pertumbuhan ini.

“Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi suku kedua negara mencatatkan prestasi lebih baik berbanding pertumbuhan KDNK bagi negara Asia terpilih,” katanya dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Mohamed Azmin berkata, persekitaran luaran dijangka lebih mencabar berikutan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang semakin meruncing pada separuh kedua tahun ini.

Justeru kata beliau, Malaysia perlu meraih peluang daripada konflik perdagangan ini dengan menggalakkan eksport produk yang terkesan daripada tarif yang dikenakan oleh AS dan China, seperti produk pengganti bagi pertanian, produk elektrik dan elektronik terpilih.

Mohamed Azmin berkata, pada masa yang sama, kerajaan turut menggalakkan pelaburan swasta berikutan pertumbuhan KDNK akan terus dipacu permintaan domestik.

Katanya, bagi merancakkan lagi pelaburan swasta dan memudahcara perniagaan, kerajaan antara lain mengambil langkah memendekkan tempoh proses kelulusan permit pembinaan daripada 360 hari kepada 90 hari.

“Kerajaan juga akan mengambil langkah mempergiatkan lagi aktiviti pelaburan awam memandangkan hampir 60 peratus peruntukan pembangunan akan dibelanjakan pada separuh kedua 2019 bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.