Categories
NASIONAL

AMK: Kekecohan Kerana Provokasi Polis

SHAH ALAM, 30 APR : Kontroversi berhubung perhimpunan BERSIH 3.0 yang berlangsung tempoh hari masih belum surut, malah terus menjadi buah mulut setiap pihak yang rata-ratanya mendakwa ia sebuah ‘perhimpunan kotor’ dan penuh keganasan.

Menyangkal dakwaan itu, Naib Ketua Angkatan Muda PKR, Azmizam Zaman Huri dengan tegas menyifatkan kekecohan yang timbul adalah disebabkan oleh provokasi polis yang bertindak ganas terhadap para peserta.

Menurutnya, tiada kekecohan berlaku semasa perhimpunan itu walaupun anggota polis dan pihak PRU dilihat cuba menghalang laluan peserta.

Bahkan katanya, walaupun jumlah peserta pada ketika itu mencecah 250,000 orang, namun keadaan di sekitar bandaraya Kuala Lumpur masih aman.

“Sebelum pihak polis melepaskan gas pemedih mata, tiada kekecohan berlaku. Walaupun peserta begitu ramai sehingga mencecah 250,000 orang di beberapa kawasan, tetapi keadaan aman dari awal pagi.

Saya sendiri melihat perhimpunan itu tiada kekecohan sehinggalah tercetusnya tembakan (gas pemedih mata) pertama pada pukul 3.30 petang iaitu selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap.

Saya sebenarnya tidak faham mengapa polis begitu marah dengan peserta perhimpunan kerana tiada apa yang berlaku melainkan disebabkan oleh provokasi yang dibuat oleh polis dan FRU,” katanya.

Azmizam dalam pada itu turut melahirkan kekesalan terhadap tindakan anggota polis yang menggunakan kekasaran semasa mengendalikan peserta perhimpunan termasuk mencederakan Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin (chegu Bard) pada ketika itu.

Beliau turut mengecam laporan berat sebelah yang dibuat media pro Umno-BN yang rata-ratanya mendakwa peserta demonstrasi itu tidak mendengar arahan.

“Polis tidak sepatutnya bertindak ganas terhadap para peserta. Semasa kejadian kereta polis diterbalikkan, kita kena selidik dahulu pucanya. Jangan hanya tuduh melulu kerana niat asal BERSIH 3.0 hanya untuk duduk bantah secara aman.

Perhimpunan di tempat lain seperti Pulau Pinang dan seluruh dunia juga berlangsung, tetapi tiada berlaku kekecohan. Di Dataran Merdeka, polis yang melakukan provokasi,” jelasnya.

ends

Categories
NASIONAL SELANGOR

AMK Sokong Kempen SelangorKu Bersih

SHAH ALAM 20 APR : Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor menyambut baik inisiatif Kerajaan Negeri melancarkan Kempen Selangorku Bersih untuk membantu pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia membersihkan daftar pemilih khususnya di Selangor.

Langkah itu menurut Ketua AMK Selangor, Azmizam Zaman Huri merupakan usaha yang tepat dijalankan memandangkan terdapat banyak keraguan dalam senarai daftar pemilih.

“Jika dilihat pada senarai yang dikeluarkan, memang kita boleh simpulkan ia bakal menjadi pilihanraya terkotor dalam sejarah jika tiada usaha bersungguh-sungguh untuk membersihkannya.

“Jadi dengan adanya inisiatif sebegini, kami yakin kita mampu memantau dan mengelakkan ketidaktelusan dalam sistem pilihanraya,” jelas Asmizam yang dihubungi melalui panggilan telefon pagi tadi.

Beliau turut memberi contoh daftar pemilih di kawasan Parlimen Kota Raja yang menyaksikan kehilangan 4, 706 pengundi.

“Sedangkan pada 2008 mereka mengundi di sini tetapi senarai induk terbaru kita kehilangan kesemua mereka tetapi tidak mengapa kita akan cari ke mana pergi kesemua mereka ini.

“Maka, pada 22 April ini Pakatan Rakyat akan jalankan gerakan besar-besaran di Kota Raja menjalankan pemantauan ke daerah yang mencatatkan kehadiran pengundi meragukan,” ujar Azmizam yang juga Ketua Pemuda PKR Kota Raja.

Ditanya mengenai kemungkinan kecelaruan daftar pemilih merupakan sebahagian usaha Umno/BN untuk menawan kembali Selangor, beliau berkata ia sesuatu yang tidak dapat disangkal lagi.

“Jelas sebelum ini Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berikrar untuk merampas Selangor tidak kira dengan cara apa sekalipun.

“Dan kita juga tahu SPR itu salah satu komponen mereka juga yang menjadi alat, jadi ramalan pilihanraya kali ini menjadi seperi drama yang sudah diskripkan memang tidak dapat dinafikan,” tambah Azmizam.

Sehubungan itu, beliau menyeru anak-anak muda terutamanya untuk turun menyertai Bersih 3.0 di Dataran Merdeka pada 28 April ini menuntut pilihanraya yang adil dan bersih.