SHAH ALAM 21 MAC : Exco Kerajaan Negeri Selangor, Yaakob Sapari yang menawarkan diri untuk proses urusan balik Nazatul Fardiana hari ini menyangkal dakwaan yang dibuat oleh dua buah akhbar hari ini yang melaporkan perjalanan pulang Nazatul ditangguhkan oleh pihak ketiga adalah tidak benar sama sekali.
Yaakob memberitahu bahawa ibu Nazatul meminta bantuan Pejabat Adun Kota Anggerik untuk menguruskan urusan balik Nazatul dan pihak Adun bersetuju untuk menguruskan perjalanan tersebut melalui jalan udara atas sebab-sebab keselamatan.
“Ini kerana pihak kerajaan pusat hanya mempunyai peruntukan untuk membawa pulang Nazatul melalui jalan darat sahaja.
“Maka, pihak kami telah menghantar dua orang pegawai bersama ibu Nazatul sendiri iaitu Azura Roski ke Bangkok pada Jumaat lalu dengan Air Asia bagi menjemput Nazatul pulang,” jelas Yaakob yang juga Adun Kota Anggerik.
Bagaimanapun, menurut Yaakob, usaha membawa Nazatul pulang melalui jalan udara tertangguh disebabkan paspotnya tercatit perjalanan harus melalui jalan darat.
“Maka perjalanan pulang Nazatul telah ditangguh hingga ke hari Isnin, 19 Mac bagi membolehkan urusan syarat dokumentasi diubah ke jalan udara,” ujar Yaakob di sidang media ketika mesyuarat dewan undangan negeri berhenti rehat.
Nazatul dan rombongan yang menjemputnya dilaporkan selamat tiba di Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT), Sepang pada Isnin lepas jam 8.50 malam.