BATU CAVES, 21 APRIL: Calon PKR DUN Batu Caves, Amiruddin Shari menyifatkan tindakan pimpinan BN selama ini yang sering menaikkan harga barangan secara senyap sebagai ‘daripada pencuri kepada toyol’.
Ini kerana pimpinan BN tidak berani berhadapan rakyat untuk mengumumkan sebarang bentuk perubahan polisi secara terbuka sebaliknya mendiamkannya terlebih dahulu dan kemudiannya baru diketahui rakyat.
Sebagai contoh katanya, beberapa tindakan menaikkan harga minyak sebelum ini hanya diketahui selepas mereka keluar mengisi bahan api petrol dan diesel.
Ini kerana kerajaan BN tidak mengamalkan sikap bertanggungjawab dalam menyelesaikan perkara asas yang menjadi keperluan rakyat.
“Pengagihan yang adil mampu jimat RM500 hingga RM600 sebulan. Boleh simpan
“Kita tidak ambil jalan pintas untuk rakyat lupa, beri RM500 (BR1M). Selepas itu tidak mengapa diam-diam esok pagi jam 2.30 (pagi) minyak naik 10sen.
“Dulu mereka curi siang-siang. Menteri buat pengumuman. Daripada pencuri mereka dah jadi toyol sebab diam-diam tiba-tiba minyak kita naik (harga) tanpa sedar sebab tidak mahu bertanggungjawab beritahu rakyat bahawa minyak akan naik atau turun ekoran kegagalan pentadbiran Umno-BN,” katanya dalam ucapan Amanat Calon DUN Batu Caves dan Parlimen Gombak.
Jelasnya lagi, BN hanya mampu untuk mencedok idea yang dilakukan pimpinan PR sejak lima tahun lalu demi mendapatkan sokongan sedangkan mereka dahulunya begitu lantang mengkritik cadangan program yang dibentangkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12).
“Masa cadang Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) pemimpin Umno kata semua tak logik dan muflis.
“Alhamdulillah, lepas belanja lebih RM800 juta dan pembangunan, kita tidak muflis. Rizab simpanan dari RM400 juta sekarang ada RM2.6 bilion
“Dalam tempoh lima tahun pentadbiran, RM49.7 bilion jumlah pelaburan masuk serta membuka peluang pekerjaan,” katanya lagi.
Tegasnya sekali lagi, rakyat perlu bangkit merubah sistem pentadbiran pimpinan negara yang lebih baik selain mengekalkan pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor agar kekayaan hasil negeri terus dinikmati bersama.
Dalam PRU-13, Amirudin selaku penyandang DUN Batu Caves bakal dicabar melalui pertembungan tiga penjuru diantara calon BN, Rawisandran Narayan dan calon bebas Suman a/l Gopal.
Pada tahun 2008, beliau turut berhadapan saingan tiga penjuru dan berjaya memenangi kerusi DUN Batu Caves dengan majoriti 3,639 undi.