Categories
GLOBAL

Macron tangguh kenaikan cukai bahan api 6 bulan

PARIS 5 DIS: Perdana Menteri Perancis, semalam menggantung cadangan menaikkan cukai bahan api sekurang-kurangnya enam bulan sebagai reaksi kepada bantahan beberapa minggu yang kadang-kadang bertukar ganas.

Pengumuman itu adalah tindakan berpatah paling terbesar pertama dibuat pentadbiran Presiden Emmanuel Macron sejak memegang jawatan itu 18 bulan lalu.

Ketika mengumumkan keputusan itu, Edouard Philippe, berkata cuma individu ‘pekak atau buta’ sahaja yang tidak nampak atau dengar kemarahan orang ramai di jalan raya berhubung dasar yang dipertahankan Macron sebagai penting untuk menangani perubahan iklim.

“Rakyat Perancis yang memakai ves kuning mahu cukai diturunkan, dan bekerja untuk membayarnya.

“Itu juga yang kami mahukan. Jika saya tidak mampu menjelaskannya, jika pemerintah tidak dapat meyakinkan rakyat, sesuatu perlu dilakukan

“Tidak berbaloi membahayakan perpaduan negara kerana cukai,” kata Philippe.

Selain penangguhan kenaikan cukai yang ditetapkan pada Januari ini, Philippe berkata, tempoh itu akan digunakan untuk membincangkan langkah lain membantu pekerja miskin dan kelas pertengahan yang bergantung kepada kenderaan untuk pergi ke tempat kerja dan membeli-belah.

SUMBER: AFP

Categories
KENYATAAN MEDIA

Kerajaan bakal peroleh RM3 bilion hasil GST petrol, diesel

Oleh: RAFIZI RAMLI

Sehingga hari ini, Barisan Nasional masih berdiam diri dan mengelak dari menjawab soalan saya sama ada GST akan dikenakan ke atas pembelian petrol dan diesel oleh rakyat. Semakan ke atas senarai barangan dan perkhidmatan yang dikenakan kadar cukai sifar (zero-rated) dan dikecualikan (exempt) secara jelas menunjukkan bahawa Barisan Nasional akan mengenakan GST ke atas petrol dan diesel.

Ini sudah tentu akan menaikkan lagi harga petrol dan diesel tanpa disedari oleh rakyat, seperti yang saya jelaskan dalam kenyataan akhbar sebelum ini. Satu lagi siri kenaikan harga petrol dan diesel akan melonjakkan lagi inflasi dan membebankan rakyat dengan kenaikan harga barang.

Saya membuat kesimpulan bahawa Barisan Nasional akan mengenakan GST ke atas petrol dan diesel. Oleh yang demikian, Barisan Nasional akan mengutip setiap tahun sekurang-kurangnya RM3.1 bilion dari rakyat dalam bentuk cukai GST yang dikenakan ke atas petrol dan diesel seperti kiraan di bawah:

Bebanan cukai tambahan sejumlah RM3.1 bilion setahun yang dikenakan ke atas rakyat hanya dari pembelian petrol dan diesel adalah satu jumlah yang besar dan mengejut yang semestinya mempunyai kesan berganda ke atas harga barang.

Tindakan mengenakan GST ke atas pembelian petrol dan diesel ini samalah dengan menaikkan harga petrol dan diesel sebanyak 13 sen seliter.

Oleh yang demikian, saya menggesa Dato’ Seri Najib Tun Razak mengumumkan segera bahawa pembelian petrol dan diesel tidak akan dikenakan GST.

Jika beliau enggan mengumumkan pengecualian pembelian petrol dan diesel dari GST, maka beliau perlu menjelaskan segera bagaimanakah Barisan Nasional akan membelanjakan RM3.1 bilion yang dikutip dari rakyat melalui GST ke atas petrol dan diesel.

# Rafizi Ramli adalah Ahli Parlimen Pandan