Categories
NASIONAL

Wan Azizah rumus bajet defisit Najib

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merumuskan Bajet 2018 Kerajaan Persekutuan adalah peruntukan terbesar dalam sejarah belanjawan negara.

Bagaimanapun, katanya, Bajet 2018 menyaksikan nisbah peruntukan pembangunan paling rendah dengan hanya 17 peratus sahaja peruntukan perbekalan yang dicadangkan untuk tujuan pembangunan.

“Dalam pengamatan saya, peruntukan pembangunan yang diumumkan YB Pekan sejak bajet 2010 hingga kini mengalami nisbah peruntukan pembangunan menguncup.

“Untuk rekod, Bajet 2010 mencatatkan nisbah peruntukan pembangunan sebanyak 27.78 peratus. Bagi Bajet 2011 nisbah pembangunan berkurangan kepada 23.9 peratus.

“Selama tiga tahun berikutnya, nisbah pembangunan terus menguncup lagi iaitu bajet 2012 pada kadar 22.0 peratus, bajet 2013 pada 19.8 peratus dan bajet 2014 menguncup kepada 17.6 peratus,” katanya pada sesi Perbahasan Bajet 2018 di Dewan Rakyat, petang ini.

Wan Azizah berkata, walaupun Bajet 2015 dan 2016 nisbah pembangunan menunjukkan peningkatan, namun ia masih di bawah paras 20 peratus.

“Apa kesan dan akibat langsung kepada pembangunan negara dan manfaat rakyat daripada penguncupan ini? Jawapannya mudah, kita jangkakan pembangunan infrastruktur luar bandar untuk kemudahan rakyat akan berkurangan.

“Sejak 2009, bajet yang dibentangkan terus menerus mengalami defisit, malahan untuk rekod, Kerajaan Persekutuan mencatatkan lebihan Budget Surplus iaitu hanya pada 1998 ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan, pada 17 Oktober 1997.

Wan Azizah berkata, pembentangan bajet waktu itu mencatatkan rekod positif yang belum diraih secara konsisten oleh Menteri Kewangan selepas Anwar.

“Jelas bajet perdana menteri adalah satu dendangan janji dan taburan menjelang PRU-14,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2018 mendakwa, kononnya bajet berkenaan bersifat inklusif yang mengambil kira kepentingan rakyat dan lapisan masyarakat.

Bagaimanapun, Bajet 2018 menyaksikan sekitar RM280.25 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan pengurusan perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan.

Categories
SELANGOR

Belanjawan defisit, Mohamed Azmin bidas Abdul Khalid

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 26 NOV: Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali sekali lagi menegaskan pentadbiran Kerajaan Negeri sebelum ini membentangkan bajet defisit.

Mohamed Azmin berkata, belanjawan yang dibentangkan mantan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selama ini bukan belanjawan berimbang seperti didakwanya dan beliau menasihati Abdul Khalid untuk bercakap berdasarkan fakta yang benar.

“Kalau bandingkan anggaran perbelanjaan dengan rezab memang ada lebihan. Jika bentangkan belanjawan, kamu kena bandingkan anggaran perbelanjaan dengan hasil.

dun14“Jadi, kalau hasil lebih besar daripada perbelanjaan bolehlah dipanggil lebihan bajet tetapi jika hasil lebih rendah daripada perbelanjaan keseluruhan bajet, maka itu adalah bajet defisit.

“Kamu tidak boleh bandingkan dengan jumlah rezab, tetapi bandingkan dengan perbelanjaan,” katanya di lobi Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Abdul Khalid yang mendakwa Kerajaan Negeri di bawah pentadbirannya sebelum ini tidak pernah membentangkan bajet defisit, semalam.

Pada 24 November lalu, Mohamed Azmin sewaktu pembentangan bajet pertamanya mendakwa pembentangan bajet defisit adalah sama dengan amalan pentadbiran sebelum ini.

-NFN-