Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir Pantai Timur, pindaan akta cegah penyakit berjangkit tumpuan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 1 MAC: Isu berhubung pengurusan bencana banjir yang baru melanda negara di Pantai Timur dijangka menjadi tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman sesawang Parlimen, pertanyaan itu diajukan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) kepada Perdana Menteri pada Waktu Pertanyaan Menteri.

Wan Hassan turut meminta Perdana Menteri menyatakan langkah-langkah drastik yang diambil oleh kerajaan dalam menangani musibah banjir yang melanda negeri-negeri Pantai Timur pada waktu ini.

Pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) bertanya kepada Menteri Kanan Kerja Raya mengenai pelaksanaan kemudahan pembayaran tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di semua tol tertutup di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2).

Beliau juga mengajukan pertanyaan sama ada RFID mampu mengatasi masalah kesesakan di plaza tol selain menyentuh mengenai penggunaan Touch ‘n Go dan SmartTAG di Lebuh Raya PLUS dan LPT 2.

Pada sesi sama, Perdana Menteri turut diminta menyatakan mengapa masih berlaku kelemahan di dalam sistem pelaksanaan dan penyampaian kerajaan.

Soalan itu diajukan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) yang turut ingin tahu langkah-langkah yang boleh diambil oleh kerajaan untuk mengatasinya.

Turut dijangka menjadi tumpuan adalah sesi bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 selepas dibentang bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Disember tahun lepas.

Pindaan yang dibentang oleh Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali itu antara lain bagi menaikkan kadar maksimum kompaun terhadap individu yang melakukan kesalahan di bawah RUU berkenaan dan mengikut RUU itu, individu yang melakukan kesalahan boleh dikompaun sehingga RM10,000 berbanding RM1,000 ketika ini.

Pindaan terhadap Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) itu juga mencadangkan pertubuhan perbadanan yang melakukan kesalahan di bawah peraturan ditetapkan boleh dikompaun sehingga maksimum RM1 juta.

Selain itu, RUU Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2021 juga dijangka akan dibentang bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat.

Dewan Rakyat bersidang hingga 24 Mac ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir di Terengganu, Kelantan bertambah buruk

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Keadaan banjir di Terengganu dan Kelantan semakin buruk dengan menyaksikan peningkatan mendadak mangsa dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan petang ini, manakala Pahang dan Johor, beransur pulih dengan jumlah mangsa terus berkurangan.

Di TERENGGANU, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Lt Kol (PA) Che Adam A. Rahman memaklumkan jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 8,138 orang setakat 3 petang ini berbanding 5,243 orang pada 8 pagi tadi.

“Empat daerah dilanda banjir ketika ini iaitu Kemaman yang menempatkan mangsa paling ramai dengan 6,711 orang diikuti Dungun (1,159); Hulu Terengganu (174) dan Besut (94),” katanya kepada pemberita hari ini.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melaporkan stesen bacaan enam sungai di empat daerah melepasi paras bahaya iaitu Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman setinggi 6.81 m (paras bahaya 4 m) dan Sungai Tebak di Kampung Tebak setinggi 18.61 m (paras bahaya 18.5 m).

Sungai-sungai lain yang turut mencatat bacaan melebihi paras bahaya ialah Sungai Telemong di Kuala Ping setinggi 19.86 m (bahaya 19.7 m); Sungai Berang di Menerong (24.61 m/bahaya 24.5 m); Sungai Besut di Jambatan Keruak (36.36 m/bahaya 35 m); dan Sungai Dungun di Pasir Raja (37.51 m/bahaya 37.5 m).

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir membabitkan lima jajahan di negeri itu semakin meningkat petang ini apabila seramai 5,896 mangsa daripada 1,520 keluarga ditempatkan di 74 pusat pemindahan berbanding 4,829 mangsa daripada 1,287 keluarga pagi tadi.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jajahan Kuala Krai merekodkan penduduk yang terjejas teruk seramai 2,611 orang daripada 639 keluarga ditempatkan di 37 pusat pemindahan, manakala di Jeli seramai 1,060 orang daripada 288 keluarga dan di Tanah Merah 488 mangsa daripada 131 keluarga.

Mereka yang dipindahkan di Pasir Mas pula ialah 896 orang daripada 276 keluarga dan di Gua Musang seramai 841 orang daripada 186 keluarga.

Di PAHANG, negeri yang terjejas teruk dalam bencana kali ini menyaksikan pengurangan jumlah mangsa di pusat-pusat pemindahan petang ini iaitu seramai 23,105 orang daripada 6,267 keluarga masih berada di 278 pusat pemindahan, berbanding 24,257 orang di 281 pusat pemindahan pagi tadi.

Situasi sama turut berlaku di JOHOR apabila jumlah mangsa banjir terus menunjukkan penurunan dengan merekodkan seramai 2,260 orang daripada 559 keluarga petang ini, berbanding 2,313 daripada 575 keluarga pagi tadi.

Di PERAK pula, sejumlah 448 mangsa banjir daripada 131 keluarga melibatkan tiga daerah masih ditempatkan di lima pusat pemindahan setakat pukul 2 petang ini iaitu di daerah Hilir Perak 409 orang; Kampar (23 orang); dan daerah Hulu Perak (16 orang).

Di SABAH, banjir di Beaufort menyaksikan 35 orang dipindahkan ke pusat pemindahan di Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir di Beaufort petang ini, bertambah seorang berbanding pagi tadi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah mangsa banjir di Terengganu, Kelantan terus meningkat

KUALA LUMPUR, 20 DIS: Jumlah mangsa banjir di pantai timur Semenanjung melibatkan Terengganu dan Kelantan semakin meningkat setakat pukul 5 petang tadi, dengan beberapa sungai dilaporkan melepasi paras bahaya.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 7,403 orang daripada 1,786 keluarga setakat pukul 4 petang, berbanding 6,305 orang daripada 1,663 keluarga pada pukul 8 pagi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, ketika ini terdapat 47 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah iaitu 28 di Kemaman, Dungun (15), Hulu Terengganu (tiga) dan Setiu (satu).

“Daerah yang paling teruk terjejas iaitu Kemaman terus merekod pertambahan jumlah mangsa kepada 6,623 orang daripada 1,572 keluarga berbanding 5,108 orang daripada 1,238 keluarga pagi tadi, sementara Dungun pula, jumlah mangsa bertambah kepada 663 orang daripada 186 keluarga berbanding 381 orang daripada 104 keluarga sebelum ini,” katanya kepada pemberita.

Bagaimanapun, situasi banjir di Hulu Terengganu bertambah baik, apabila mangsa berkurangan kepada 106 orang daripada 25 keluarga, berbanding 806 orang daripada 318 keluarga pagi tadi, manakala di Setiu jumlah mangsa kekal 11 orang daripada tiga keluarga di satu PPS.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui portal http://infobanjir.water.gov.my melaporkan, tiga sungai di dua daerah di Terengganu masih melepasi paras bahaya setakat pukul 4 petang ini.

Dua sungai di Kemaman yang terlibat adalah Sungai Tebak dengan paras air di Jambatan Tebak setinggi 18.96 meter (m) melebihi paras bahaya 18.5m dan Sungai Kemaman di Kampung Paman setinggi 5.6m (bahaya 4.5m), sementara di Dungun, Sungai Dungun di Jambatan Jerangau mencatat paras setinggi 13.06m (bahaya 12.5m).

Sebahagian penduduk terpaksa meredah air menggunakan kenderaan berikutan limpahan air Sungai Golok di sekitar Pekan Rantau Panjang ketika tinjauan hari ini. Foto BERNAMA

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir semakin meningkat mencecah 1,214 orang daripada 402 keluarga dipindahkan setakat pukul 5 petang, berbanding 1,003 orang pada pagi tadi.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), penduduk jajahan Pasir Mas kekal terjejas teruk, iaitu seramai 913 orang dipindahkan di 12 PPS sementara di Tanah Merah, seramai 143 mangsa daripada 39 keluarga ditempatkan di lima PPS, manakala di Kuala Krai seramai 153 mangsa daripada 43 keluarga di tempatkan di lima PPS.

PPS di jajahan Gua Musang yang dibuka pada malam semalam yang menempatkan 13 mangsa telah ditutup.

Sementara itu mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, tiga sungai di Kelantan mencatatkan bacaan melepasi paras bahaya.

Sungai Lebir Tualang di Kuala Krai merekodkan bacaan 36.95m (bahaya 35m), Sungai Kelantan di Kuala Krai 25.08m (bahaya 25m) dan Sungai Golok di Rantau Panjang 10.42m (bahaya 9m).

Dalam pada itu, empat sungai mencatatkan bacaan melebihi paras amaran iaitu Sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang 57.93m (amaran 57.50m), Sungai Kelantan di Kusial Tanah Merah 15.93 (amaran 14m), Sungai Golok di Jenob Tanah Merah 23.24m (amaran 22.50m) dan Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat 2.42m (amaran 2.15m).

Selain itu, tiga sungai mencatatkan bacaan melebihi paras waspada iaitu Sungai Kelantan di Jeti Kastam Kota Bharu 3.79m (waspada 3m), Sungai Galas di Dabong 33.62m (waspada 32.00m) dan Sungai Pergau di Air Bol Jeli 72.86m (waspada 71.30m).

Cuaca di seluruh Kelantan ketika ini masih hujan dengan sesekali lebat.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Pulau Tempurung, Kemaman Terengganu Mohd Azam Ismail berkata keengganan beberapa penduduk terutama warga emas berpindah, menimbulkan kesukaran kepada pasukan penyelamat.

“Pukul 3 pagi tadi MPKK dan polis telah berusaha pujuk sepasang warga emas untuk pindah tapi ada yang degil. Tiba-tiba pukul 12 tengah hari dapat panggilan telefon minta bantuan dari ahli keluarga mereka kerana si isteri yang menghidap kencing manis, telah mengalami simptom hipoglesemia.

“Ada sepasang lagi warga emas pun begitu. Akhirnya minta pertolongan bawa keluar suami yang lumpuh untuk pergi ke rumah anaknya, kerana laluan ke kawasan rumah mereka telah dinaiki air pada tengah hari tadi,” katanya.

Beliau berkata antara alasan yang diberikan warga emas terbabit termasuklah haiwan ternakan yang dibela mereka dicuri, jika mereka pindah ke PPS.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

DPPM kumpul RM40,300 untuk mangsa banjir

KUALA LUMPUR 7 DIS : Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) mengumpulkan RM40,300 duit kutipan hasil sumbangan masyarakat prihatin terhadap musibah banjir yang berlaku di Pahang, Terengganu dan Johor.

Ketuanya, Suhaizan Kaiat, berkata hasil sumbangan orang ramai itu terus meningkat setiap hari membuktikan keprihatinan rakyat Malaysia membantu mangs abanjir berkenaan.

Suhaizan-KaiatKatanya, hasil daripada misi pertama pasukan Jabatan Amal Malaysia (AMAL) di dua daerah yang teruk dilanda musibah itu, kerja misi pengagihan bantuan sedang giat dijalankan.

Memetik laporan Harakah Daily, Suhaizan berkata, di daerah Kemaman, pasukan AMAL bersama 70 orang daripada Alternative Riding Club (ARC) bertungkus lumus mengagihkan bantuan berbentuk makanan dan peralatan termasuk pakaian, ubat, selimut serta bantal di pusat pemindahan banjir di stadium, sekolah juga masjid.

Beliau berkata, bilik gerakan juga dibuka 24 jam untuk membantu kawasan terjejas teruk seperti Air Puteh, Chukai, dan Kemasek.

“Dalam beberapa jam kebelakangan ini, sudah ada tanda hujan semakin reda dan ada mangsa yang suah kembali ke rumah, manakala misi menghantar bantuan ke rumah juga dilakukan pasukan AMAL,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, anggota Jabatan AMAL dari seluruh negara juga akan berkampung di sana untuk melakukan kerja pembersihan, pada 8 Disember ini.

Katanya, pasukan amal seramai 30 orang tempatan berganding bahu membantu menyelamatkan mangsa ke pusat pemindahan banjir yang berdekatan, selain misi mengagihkan bantuan 24 jam melalui sumbangan orang ramai di pusat pemindahan dan rumah yang tidak terjejas.

Suhaizan berkata, pihak DPMM ketika ini, memohon masyarakat sama ada individu, badan bukan kerajaan, persatuan atau parti politik turut sama membantu menghulurkan bantuan bagi meringankan bebanan dan kesukaran yang dialami mangsa banjir.

DPPM juga masih menerima sumbangan daripada pelbagai pihak untuk disalurkan kepada keluarga yang terbabit melalui Tabung Kemanusiaan Pemuda melalui akaun Maybank: 564025400100 atau hubungi Yusapiza Ya’acob di talian 017-2692944.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Sumbangan tersekat ekoran beberapa kawasan lumpuh akibat banjir buruk

Oleh : Norhayati Umor

GOMBAK 7 DIS : Kerajaan negeri dalam usaha mendapatkan lori daripada Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Kerja Raya dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk kerja penghantaran bahan keperluan kepada mangsa banjir di Pantai Timur.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan, Iskandar Samad berkata, setakat ini banyak sumbangan orang ramai dihantar ke balai raya, pejabat, surau dan masjid.

yb iskandar 3 editKatanya, sumbangan itu masih belum dapat dilaksanakan ekoran banyak kawasan sekitar negeri lumpuh ekoran banjir buruk yang melanda beberapa kawasan.

“Kita sedang berbincang dengan Menteri Besar untuk mendapatkan lori daripada pihak tertentu supaya bahan keperluan seperti makanan yang sudah terlalu banyak dapat segera dihantar dan berharap perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin.

“Saya berterima kasih kepada rakyat Selangor yang prihatin dengan menghantar sumbangan ini,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Flag Off bantuan banjir, di sini, hari ini.

Dalam konvoi kumpulan pertama PAS Selangor itu, lebih 50 kereta dan empat lori mula bertolak ke negeri Pahang dan Terengganu dengan bahan makanan untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

Iskandar yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor berkata, konvoi itu turut disertai 100 kereta, 30 lori dan sebuah kontena yang sudah bergerak ke negeri terbabit, malam semalam.

“Kira-kira 200 petugas ditugaskan di Pahang dan Terengganu dan kita menjangkakan 80 hingga 100 tan bahan keperluan dapat dihantar ke sana, bahkan akan menambah keperluan jika masih belum mencukupi,” katanya.

-NFN-