Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir Pantai Timur, pindaan akta cegah penyakit berjangkit tumpuan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 1 MAC: Isu berhubung pengurusan bencana banjir yang baru melanda negara di Pantai Timur dijangka menjadi tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman sesawang Parlimen, pertanyaan itu diajukan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) kepada Perdana Menteri pada Waktu Pertanyaan Menteri.

Wan Hassan turut meminta Perdana Menteri menyatakan langkah-langkah drastik yang diambil oleh kerajaan dalam menangani musibah banjir yang melanda negeri-negeri Pantai Timur pada waktu ini.

Pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) bertanya kepada Menteri Kanan Kerja Raya mengenai pelaksanaan kemudahan pembayaran tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di semua tol tertutup di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2).

Beliau juga mengajukan pertanyaan sama ada RFID mampu mengatasi masalah kesesakan di plaza tol selain menyentuh mengenai penggunaan Touch ‘n Go dan SmartTAG di Lebuh Raya PLUS dan LPT 2.

Pada sesi sama, Perdana Menteri turut diminta menyatakan mengapa masih berlaku kelemahan di dalam sistem pelaksanaan dan penyampaian kerajaan.

Soalan itu diajukan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) yang turut ingin tahu langkah-langkah yang boleh diambil oleh kerajaan untuk mengatasinya.

Turut dijangka menjadi tumpuan adalah sesi bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 selepas dibentang bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Disember tahun lepas.

Pindaan yang dibentang oleh Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali itu antara lain bagi menaikkan kadar maksimum kompaun terhadap individu yang melakukan kesalahan di bawah RUU berkenaan dan mengikut RUU itu, individu yang melakukan kesalahan boleh dikompaun sehingga RM10,000 berbanding RM1,000 ketika ini.

Pindaan terhadap Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) itu juga mencadangkan pertubuhan perbadanan yang melakukan kesalahan di bawah peraturan ditetapkan boleh dikompaun sehingga maksimum RM1 juta.

Selain itu, RUU Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2021 juga dijangka akan dibentang bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat.

Dewan Rakyat bersidang hingga 24 Mac ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pindaan akta kawalan penyakit berjangkit antara tumpuan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Pindaan terhadap Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) akan menjadi tumpuan pada hari terakhir sidang Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Kedua Penggal Keempat, Parlimen ke-14 hari ini.

Pindaan itu mendapat tentangan sebilangan ahli parlimen dengan alasan denda dan kompaun yang dikenakan mengikut Rang Undang-Undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 itu adalah keterlaluan.

Rang undang-undang itu dibentang bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Selasa lepas antaranya bagi menaikkan kadar maksimum kompaun terhadap individu dan pertubuhan perbadanan yang melakukan kesalahan di bawah rang undang-undang berkenaan.

Mengikut rang undang-undang itu, individu yang melakukan kesalahan boleh dikompaun sehingga RM10,000 berbanding RM1,000 ketika ini, manakala kompaun sehingga maksimum RM1 juta bagi pertubuhan perbadanan.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilapor berkata pindaan berkenaan akan bertindak sebagai ‘senjata’ tambahan dalam menghadapi pandemik Covid-19.

Sementara itu, isu perkahwinan bawah umur juga dijangka dibincangkan pada persidangan.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, perkara itu dibangkitkan P Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) yang ingin tahu usaha kerajaan untuk meningkatkan umur perkahwinan kepada 18 tahun dan langkah-langkah lain bagi membanteras perkahwinan bawah umur pada sesi Waktu-Waktu Pertanyaan Menteri.

Turut menarik perhatian, soalan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) kepada Perdana Menteri mengenai kesediaan kerajaan membuka semula pintu sempadan negara dan unjuran pemulihan ekonomi pada tahun hadapan pada sesi soal jawab lisan.

Sidang Dewan Rakyat berlangsung selama 32 hari bermula 25 Okt lepas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pindaan Akta 342 perlu dilulus segera bendung penularan Covid-19

PUTRAJAYA, 15 DIS: Pindaan terhadap Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) penting untuk diluluskan secepat mungkin bagi memastikan kesinambungan dan meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan bagi membendung penularan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan (KKM) bimbang sekiranya perbahasan di Parlimen berpanjangan, mungkin akan tergendala kesinambungan KKM melaksanakan penguatkuasaan kawalan penyakit berjangkit di negara ini.

“Pada 1988, apabila akta ini digubal, kita tidak mengambil kira tentang pandemik tetapi lebih kepada penularan wabak, kini tiba masanya untuk kita kaji semula dan apa yang lebih penting ialah pencegahan.

“Jika kita hendak melaksanakan Akta 1988, kompaun maksimum RM1,000 terhadap syarikat-syarikat yang besar misalnya, ia tidak akan dapat menghalang atau mencegah kerana mereka tiada masalah dalam soal membayar kompaun.

“Pada saya, jumlah kompaun yang dikenakan tidak boleh sama. Jadi kami membuat keputusan untuk membezakan antara individu dan korporat,” katanya dalam sesi taklimat media mengenai RUU Pindaan Akta 342 di sini semalam.

Di bawah pindaan Seksyen 25 Akta 342, KKM mencadangkan nilai kompaun dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM1 juta bagi sesuatu pertubuhan perbadanan, manakala bagi kesalahan individu pula akan ditentukan suatu jumlah wang yang tidak melebihi RM10,000 berbanding RM1,000 sebelum ini.

“Kita harap (pindaan akta) dapat dibentangkan dan mendapat persetujuan semua Ahli Parlimen, barulah kita boleh laksanakan pindaan 2021 dengan secepat mungkin,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Noor Azmi Ghazali membentangkan RUU Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat semalam.

Sementara itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan yang disiarkan di Facebook miliknya menyatakan Ahli Parlimen tidak akan menyokong pindaan RUU Akta 342 berikutan tidak bersetuju dengan nilai kompaun yang dicadangkan.

Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit KKM Datuk Dr Norhayati Rusli berkata lima pindaan dan lima peruntukan baharu dicadang KKM dalam pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi menambah baik akta itu.

Dalam taklimat media yang sama, beliau berkata cadangan itu membabitkan Bahagian I, Bahagian IV, Bahagian V, dan Bahagian VI, antaranya merangkumi pindaan berkenaan tafsiran pegawai diberi kuasa serta berkaitan kesalahan dan penalti.

Memberi contoh pindaan di bawah Seksyen 10, Dr Norhayati berkata pindaan berkenaan membolehkan pengamal perubatan memberitahu wujudnya apa-apa penyakit berjangkit di mana-mana premis walaupun tanpa pengesahan diagnosa melalui ujian makmal.

“Dicadangkan tiap-tiap pengamal perubatan yang merawat atau mendapat tahu atau mempunyai sebab untuk percaya atau mengesyaki tentang wujudnya apa-apa penyakit berjangkit di mana-mana premis hendaklah memberikan notis tentang wujudnya penyakit berjangkit itu kepada pegawai kesihatan yang paling hampir, seboleh-bolehnya tanpa kelengahan, dalam apa-apa bentuk yang ditentukan oleh Ketua Pengarah,” katanya.

Melalui pindaan Seksyen 25 iaitu pengkompaunan kesalahan, ia membolehkan pegawai dari badan berkanun atau pihak berkuasa tempatan diberi kuasa mengeluarkan kompaun atas kesalahan yang dilakukan, katanya.

Menurut Dr Norhayati cadangan peruntukan baharu adalah dalam Seksyen 14A yang memberi kuasa kepada seseorang pegawai untuk memerintahkan mana-mana individu yang dijangkiti sesuatu penyakit berjangkit untuk menjalani pengasingan (kuarantin).

“Cadangan peruntukan baharu dalam Seksyen 15A pula membolehkan penggunaan teknologi terkini untuk mengawal pergerakan orang yang dijangkiti atau disyaki dijangkiti yang diarahkan menjalani pengasingan atau kuarantin,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: Pembatalan Ordinan Darurat tidak jejas Akta 342

PUTRAJAYA, 30 JULAI: Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelanjutan Kuat Kuasa) (No.2) 2021 (P.U. (A) 313/2021) yang diwartakan pada 21 Julai lepas adalah berbeza dengan Proklamasi Darurat, demikian menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

Menerusi kenyataan hari ini, KKM berkata perintah itu dibuat di bawah subseksyen 11(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang memberi kuasa kepada Menteri Kesihatan untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan sebagai kawasan tempatan jangkitan.

“Perintah itu bertujuan melanjutkan pengisytiharan kawasan tempatan jangkitan yang berkuat kuasa 18 Mac 2020 dan dilanjutkan bagi tempoh 2 Ogos hingga 31 Disember 2021,” menurut kenyataan itu.

KKM berkata melalui perintah itu, pelaksanaan undang-undang boleh diambil melalui arahan pegawai diberi kuasa untuk mencegah dan mengawal penyakit berjangkit.

Perintah itu juga berkuat kuasa bersama dengan peraturan-peraturan di bawah subseksyen 11(2) untuk membolehkan kerajaan menguatkuasakan antaranya Arahan Ketua Pengarah dan Peraturan-Peraturan mengenai Pelan Pemulihan Negara, kata KKM.

Perintah itu dikuat kuasa bagi tempoh 1 April 2021 hingga 1 Ogos 2021 yang menetapkan semua negeri dan Wilayah Persekutuan sebagai kawasan tempatan jangkitan.

Mengenai Proklamasi Darurat pula, KKM berkata ia dibuat di bawah Perkara 150 Perlembagan Persekutuan yang membolehkan Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan suatu darurat besar sedang berlaku di seluruh negara mulai 11 Januari 2021 hingga 1 Ogos 2021.

Menurut KKM, sebarang pembatalan Ordinan Darurat yang dibuat ketika darurat tidak menjejaskan penguatkuasaan Akta 342 sedia ada yang dikuatkuasakan bagi mencegah dan mengawal penyakit berjangkit.

“Semua pihak diminta agar tidak membuat tafsiran sendiri mengenai perintah ini bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” kata KKM.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM kemuka draf pindaan akta kawalan penyakit berjangkit

KOTA BHARU, 31 JAN: Draf pindaan terhadap Akta 342 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau menjelaskan, ini berikutan Akta 342 diwartakan sejak 1988 dan perlu dipinda mengikut keperluan semasa, termasuklah jumlah kompaun maksimum RM1,000 di bawah akta berkenaan.

“Sekarang ini kita akan menggunakan Ordinan Darurat untuk kita buatkan pindaan,” katanya ringkas kepada pemberita selepas melawat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah, di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK) hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, sudah tiba masanya nilai kompaun kerana ingkar dan melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dinaikkan, susulan peningkatan ketara kes COVID-19 di negara ini.

Abdul Hamid turut berkata setiap minggu, ribuan saman dikeluarkan kepada individu yang ingkar dan melanggar SOP PKP, yang kebanyakannya melibatkan kesalahan tiada penjarakan fizikal.

Sementara itu, ditanya mengenai sama ada perubatan Islam atau tradisional boleh digunakan sebagai kaedah alternatif untuk merawat Covid-19, Dr Noor Hisham berkata ia perlu ada bukti serta kajian yang kukuh.

“Kalau kita nak gunakan perubatan Islam ataupun apa-apa perubatan tradisional, kita mesti berdasarkan dalil-dalil yang kukuh dan bukti-bukti, yang kita boleh guna pakai dan kajian-kajian.

“Seperti penggunaan vaksin juga memerlukan kajian fasa klinikal yang ketiga, baru kita boleh lihat kesan sampingan dan keberkesanan vaksin tersebut. Sama juga dengan perubatan tradisonal, jadi kita kena laksanakan kajian terlebih dahulu, sama ada terbukti ataupun tidak,” jelasnya.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan EXCO Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri Kelantan Hilmi Abdullah, yang juga Perawat Persatuan Perubatan Islam DarusSalam Malaysia (DarusSalam) yang mencadangkan, kerajaan mempertimbangkan perubatan secara Islam digunakan sebagai salah satu alternatif merawat pesakit COVID-19, pada 26 Jan lepas.

Hilmi dilaporkan berkata cadangan tersebut dilontarkan untuk bersama-sama membantu Kementerian Kesihatan (KKM), menangani serta merawat pesakit Covid-19 di negara ini yang semakin bertambah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MKN: Isytihar darurat perlu, akta kawalan penyakit berjangkit tidak lagi memadai

KUALA LUMPUR, 17 JAN: Pengisytiharan darurat dalam mengawal penularan Covid-19 di negara ini adalah perlu memandangkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang digunakan selama ini tidak lagi memadai, kata Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurut badan itu, perisytiharan tersebut memberikan kuasa yang lebih besar kepada pihak berkuasa dalam mendapatkan kerjasama pihak swasta memandangkan jangkitan virus tidak lagi terhad kepada lokaliti tertentu.

Tidak dapat dinafikan, walaupun Akta 342 memperuntukkan kuasa tertentu untuk mendapatkan kerjasama daripada pihak swasta, kuasa yang diperuntukkan itu tidak mencukupi, demikian menurut infografik soalan lazim MKN yang dikeluarkan hari ini.

MKN berkata ini kerana kerajaan tidak boleh berlengah dalam membuat perkiraan dengan pihak swasta untuk menggunakan premis perubatan swasta serta sumber utiliti dan aset.

“Selain itu, penguatkuasaan peraturan berkenaan kawalan penularan pandemik boleh disegerakan tanpa urusan birokrasi dan peraturan yang menyukarkan,” demikian menurut infografik tersebut.

Perisytiharan itu juga diperlukan bagi melandaikan keluk jangkitan Covid-19 dengan lebih cepat.

Statistik terkini menunjukkan jumlah jangkitan harian positif Covid-19 dalam negara melepasi angka 4,000, setelah sebanyak 4,029 kes baharu dicatatkan semalam, menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 155,095 kes.

Menurut MKN, sepanjang penguatkuasaan perintah darurat itu, kerajaan berpeluang menumpukan kepada pemulihan ekonomi selain menjamin dan mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam.

Maklumat lanjut mengenai perisytiharan darurat itu boleh dibaca melalui infografik soalan lazim yang dimuat naik MKN melalui platform media sosial rasmi badan berkenaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Akta 342: KKM cadang naikkan kompaun dari RM1,000 kepada RM10,000

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mencadangkan kepada kerajaan untuk menaikkan denda bagi kesalahan kompaun di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) dari kadar semasa RM1,000 kepada RM10,000.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata angka yang dipinda itu telah dikemukakan kepada Parlimen baru-baru ini dan akan mengambil sedikit masa untuk diluluskan.

“Akta itu digubal pada 1988 dan kadar RM1,000 itu adalah munasabah pada ketika itu tetapi sekarang kita perlu menyemaknya semula… Jadi saya serahkan kepada Parlimen untuk membuat keputusan,” katanya semasa dialog khas bertajuk, “Covid-19: Perjalanan Malaysia Ke Arah Melandaikan Keluk” sempena Persidangan Penjagaan Kesihatan Malaysia 2020 di sini semalam.

Pada majlis itu, Dr Noor Hisham menerima pengiktirafan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Ikon Kebangsaan bagi Kepimpinan dalam Kesihatan Awam oleh Institut Strategik KSI untuk Asia Pasifik.

Walaupun Dr Noor Hisham telah menerima beberapa pengiktirafan terhadap sumbangannya memerangi pandemik Covid-19, beliau mengatakan penghargaan itu tidak harus diberikan kepadanya seorang sebaliknya kepada seluruh pasukan terutama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Satu orang tidak boleh membuat kelainan. Jika anda mahu memberi penghargaan, berikan kepada perdana menteri kerana beliau yang membuat keputusan, saya hanya menasihatkan beliau,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai teleperubatan, Dr Noor Hisham berkata Malaysia masih ketinggalan dari segi kesediaan untuk sistem penjagaan kesihatan digital.

“Hanya semasa krisis, kami memperkenalkan MySejahtera dan semua perisian, dan tidak sebelum pandemik.
Sehubungan itu, saya berharap akan datang kita menyiapkan semua pendekatan teleperubatan atau teknologi maklumat sebelum pandemik atau jangkitan.

“Saya berharap inovasi teleperubatan harus dibuat sebelum pandemik. Saya ingin melihat pendekatan proaktif dan bukannya reaktif,” katanya.

– BERNAMA