Categories
AGENDA NASIONAL

MB: Bantuan Bank Makanan Selangor diagih dalam masa terdekat

BATU CAVES, 11 SEPT: Golongan miskin bandar di negeri ini yang terkesan susulan Covid-19 bakal menerima bantuan program Bank Makanan Selangor dalam tempoh terdekat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kajian pelaksanaan kini di peringkat akhir bagi memastikan bantuan itu memanfaatkan golongan sasar.

“Perincian mengenainya sedang diteliti, kita sedang kumpul formula atau kaedah terbaik bagi memastikan agihan berjalan lancar dan paling penting sampai kepada sasaran.

“Insya-Allah bantuan dapat disalurkan secepat mungkin bagi meringankan beban keluarga yang terjejas sumber pendapatan,” katanya selepas menghadiri Program Penyerahan Pelitup Muka Percuma kepada sekolah daerah Gombak di Dewan Seri Siantan hari ini.

Pada 30 Julai lalu, Amirudin memaklumkan penyusunan semula program Bank Makanan Selangor susulan penularan Covid-19 yang menjejaskan pendapatan rakyat.

Beliau berkata inisiatif tersebut dirancang sejak tahun lalu namun terhenti berikutan Perintah Kawalan Pergerakan dan kini digerakkan kembali secara lebih menyeluruh.

Program membabitkan peruntukan RM5 juta itu menyasarkan 2,000 keluarga miskin bandar yang tinggal di projek perumahan rakyat.

Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Bank Makanan Selangor bantu miskin bandar terkesan Covid-19

AMPANG, 30 JULAI: Program Bank Makanan Selangor bakal dilaksanakan bermula September bagi membantu keluarga miskin bandar yang terkesan pandemik Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri memperuntuk RM5 juta bagi memastikan bantuan bekalan makanan dan keperluan asas disampaikan kepada golongan sasaran itu.

“Peruntukan RM5 juta ini sebenarnya telah dimasukkan dalam Belanjawan Selangor tahun ini, namun susulan penularan wabak dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita menyemak semula pelaksanaan program.

“Kerajaan Negeri telah mengenal pasti kawasan sasaran dan golongan penerima, kita harap program boleh dimulakan selewat-lewatnya September,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Masyarakat Pangsapuri Berembang Indah, hari ini.

Amirudin berkata negeri ini melakukan sehabis baik bagi menangani impak wabak terutama untuk mengurangkan beban dan kesengsaraan rakyat.

“Cuma kita tidak mungkin dapat puaskan hati semua pihak, untuk penuhi keperluan semua adalah mustahil tetapi Selangor merupakan negeri yang menyediakan pelbagai inisiatif sejak Covid-19 melanda,” katanya.

Selangor negeri paling awal mengumumkan bantuan kepada golongan sasaran menerusi pakej rangsangan ekonomi Selangor Prihatin pada 20 Mac, hari ketiga pelaksanaan PKP.

Ketika Kerajaan Persekutuan dan negeri lain masih membuat kira-kira, Selangor membentang pakej bantuan berjumlah RM127.8 juta.

Pada 1 April, Kerajaan Negeri mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin fasa kedua berjumlah RM272.5 juta diikuti pelan pemulihan ekonomi negeri jangka sederhana yang dibentangkan dalam Sidang Dewan Negeri Selangor pada 13 Julai.

Pelan itu, lanjutan dua fasa pakej rangsangan Selangor Prihatin pada Mac dan April lalu, berasaskan tiga tonggak utama iaitu jaminan bekalan makanan, kemampanan ekonomi dan pembangunan keupayaan. Keseluruhan nilai rancangan tersebut adalah RM55.85 bilion.

Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN

Bank Makanan Selangor diteruskan, bantu rakyat terjejas Covid-19

PETALING JAYA, 4 JULAI: Kerajaan Negeri akan meneruskan program Bank Makanan Selangor bagi membantu rakyat yang terjejas akibat penularan Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata ia dirancang sejak tahun lalu namun terhenti seketika susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kini digerakkan kembali secara lebih menyeluruh di seluruh negeri.

“Saya anggap program ini sebagai salah satu modus operandi Kerajaan Negeri untuk membantu rakyat yang terbeban berikutan wabak tersebut dan kita sedia bekerjasama dengan semua pihak supaya program ini memanfaatkan golongan memerlukan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari selepas Program Team Selangor (TS) Cares di Dewan Majlis Bandaraya Petaling Jaya di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Negeri Kota Damansara, Shatiri Mansor dan Pegawai Penyelaras TS, Ahmad Bakrin Sofawi Abu Bakar.

Pada 1 November lalu, Amirudin mengumumkan 2,000 keluarga miskin bandar di Selangor bakal menerima manfaat dalam Bank Makanan Selangor dilancarkan dengan dana permulaan RM5 juta.

Usaha kerajaan Negeri itu akan dilaksanakan di kawasan projek perumahan rakyat (PPR) serta dikhususkan kepada keluarga dalam golongan miskin bandar.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dana Bank Makanan Selangor: RM5 juta bantu miskin bandar

SHAH ALAM, 1 NOV: Program Bank Makanan Selangor dilaksanakan di kawasan projek perumahan rakyat (PPR) bermula 2020 dengan mengkhususkan bantuan kepada keluarga dari miskin bandar.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata dana permulaan RM5 juta akan dilancarkan bagi membantu golongan miskin bandar di Selangor.

“Program ini akan memberi manfaat kepada hampir 2,000 keluarga di seluruh negeri dan akan dilaksanakan dengan kerjasama Penggerak Belia Tempatan (PeBT), sukarelawan Team Selangor, Pejabat Khidmat Masyarakat DUN serta pejabat parlimen,” katanya.

Bagi program miskin bandar ataupun Program Blueprint Pembasmian Kemiskinan menerima RM2.5 juta, Amirudin berkata peruntukan bertambah RM500,000 berbanding tahun lalu.

Beliau berkata program itu dapat meningkatkan taraf ekonomi individu yang berpendapatan bawah RM1,500 sebulan atau pendapatan seisi rumah bawah RM3,000 terutama melibatkan peniaga kecil.

Katanya, pemberian bantuan berbentuk peralatan atau mesin berdasarkan perusahaan yang sedang dijalankan dan hanya diberi kepada pemohon yang berkelayakan sahaja.

“Kesinambungan ini dilakukan bagi memberdayakan warga miskin bandar, dan sebagai tanda kepedulian dan keprihatinan berterusan dalam membantu meringankan bebanan rakyat miskin dalam menghadapi tekanan ekonomi yang tidak menentu.

“Kerajaan Negeri sentiasa mempelbagaikan inisiatif dalam mengupayakan rakyat untuk keluar daripada kitaran kemiskinan,” katanya.