Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Selangor peruntuk RM5 juta cegah denggi

SHAH ALAM, 9 DIS: Sejumlah RM5 juta diperuntuk pada tahun depan bagi mencegah denggi di Selangor, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif tersebut memudahkan usaha petugas kesihatan untuk melaksanakan aktiviti pencegahan dan kawalan di seluruh negeri.

“Sekurang-kurangnya 34 nyawa hilang sehingga 23 Ogos tahun ini akibat denggi dan Kerajaan Negeri memandang serius hal ini.

“Selain itu laporan terkini mengatakan terdapat penurunan kes denggi di negeri ini sebanyak 36.1 peratus (24,385 kes) dengan 152 kawasan wabak dikesan,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Beliau turut meminta warga Selangor meluangkan masa hanya 10 minit dalam tempoh seminggu untuk memusnahkan tempat pembiakan Aedes.

“Kita kena pastikan semua takungan air yang tidak digunakan dimusnahkan atau gunakan ubat pembunuh jentik-jentik,” katanya.

Semalam, Pengarah Kesihatan Selangor berkata kes denggi di Selangor menurun kepada 43,215 setakat minggu ke-49 tahun ini berbanding 67,600 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Menurut Dato’ Dr Sha’ari Ngadiman lima daerah yang merekod kes denggi paling tinggi ialah Petaling dengan 15,040 kes, Hulu Langat (9,442 kes), Klang (6,814 kes), Gombak (6,390 kes) dan Sepang (2,353 kes).

Categories
EXCO SELANGOR

PKP: Gotong-royong bersihkan rumah, cegah denggi di Selangor

SHAH ALAM, 6 APRIL: Penduduk tetap Selangor dijemput sertai kajian ringkas berkaitan kebersihan rumah semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maklum EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata kajian itu bagi membantu Jabatan Kesihatan Selangor dalam mencegah penularan denggi.

“Objektif kajian untuk melihat kesan PKP dan gotong-royong kendiri di rumah dengan situasi kes denggi di Selangor, sekali gus membantu perencanaan mengawal jangkitan demam itu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Orang ramai boleh melayari https://forms.gle/qn94amW7kdMGf5sS9 untuk sertai kajian ini.

Baru-baru ini, Dr Siti Mariah memaklumkan kes denggi di Selangor menurun dan tiada kematian dilaporkan sehingga bulan lalu.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan masyarakat menggunakan masa terluang sepanjang tempoh PKP untuk membersihkan halaman rumah masing-masing.

Categories
PBT SELANGOR

Masyarakat, pihak berkuasa digalak banteras denggi

OLEH UMIRAH IZRIN MOHAMAD SAID

SEMENYIH, 14 APR: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menyarankan kerjasama antara masyrakat, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha membasmi wabak denggi.

Yang Dipertuanya, Dato’ Rosli Othman berkata, masyarakat seharusnya sedar bahawa kawalan terhadap wabak Aedes bukan hanya terletak di bahu pihak berkuasa tempatan (PBT) atau kerajaan, tetapi semua pihak termasuk penduduk perlu memastikan makhluk pembunuh itu tiada tempat untuk membiak.

“Menerusi gotong-royong dijalankan, kaedah ini adalah yang paling berkesan bagi
mengurangkan tempat pembiakan Aedes terutama dalam tin kosong, tayar buruk dan bekas minuman.

“Justeru, program gabungan pihak universiti tempatan, agensi kerajaan dan NGO akan dilaksanakan secara berkala oleh PBT bagi mengurangkan bilangan kes denggi di Hulu Langat amnya dan Selangor khususnya,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Gotong Royong Perdana Basmi Denggi anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersama MPKj, di Padang Awam Seksyen 2 Bandar Rinching, di sini, hari ini.

Untuk rekod, Hulu Langat mencatatkan bilangan ketiga tertinggi di Selangor iaitu sebanyak 3,915 kes dengan enam kematian.

Manakala, Semenyih mencatatkan mukim keempat tertinggi di Hulu Langat sebanyak 317 kes denggi dengan satu kematian setakat ini.