Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO kesihatan minta jangan sebar berita lama babit bantuan RM1,000

SHAH ALAM, 2 SEPT: EXCO kesihatan awam meminta orang ramai berhenti menyebarkan berita lama mengenai bantuan RM1,000 kepada pesakit atau waris Covid-19 di negeri ini.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata penularan berita bertarikh 22 Julai 2020 itu menyebabkan seorang lelaki datang ke pejabatnya untuk bertanyakan mengenai bantuan berkenaan.

“Kami beritahu bantuan yang dinyatakan dalam berita di atas ialah bantuan pada tahun 2020 dan sudah pun ditutup hujung Disember 2020.

“Jika anda nampak mesej tular tentang berita ini, mohon jangan di ‘forward’ ke individu atau ‘group’ lain,” katanya menerusi Facebook.

Jelas Dr. Siti Mariah bantuan berkenaan telah digantikan dengan bantuan khairat kematian RM1,000 kepada waris mangsa Covid-19 yang boleh dimohon melalui www.selangorprihatin.com.

Pada tahun lalu pesakit Covid-19 menerima bantuan RM1,000 tetapi kini waris menerima jumlah yang sama bagi khairat kematian.

Bantuan untuk pesakit diumumkan dalam pakej Selangor Prihatin fasa satu yang sudah tamat tempoh permohonan tetapi pakej Kita Selangor 2.0 mengekalkan jumlah itu kepada keluarga.

Dr itu menjelaskan kekeliruan di media sosial apabila keratan akhbar lama disebarkan semula, seolah-olah bantuan untuk pesakit masih ada.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Lebih 400 waris mangsa Covid-19 mohon bantuan khairat kematian

SHAH ALAM, 17 JULAI: Sebanyak 413 permohonan khairat kematian akibat Covid-19 telah dipohon setakat semalam.

EXCO kesihatan awam berkata dari jumlah terbabit 12 permohonan yang dibuat keluarga atau waris mangsa telah diluluskan.

“Bantuan akan dikreditkan terus ke akaun bank waris dalam tempoh 14 hari bekerja dari tarikh kelulusan. Pemohon diminta menyediakan maklumat lengkap,” kata Dr Siti Mariah Mahmud kepada SelangorKini.

Sejak Isnin lalu, waris atau keluarga mangsa Covid-19 boleh memohon bantuan khairat kematian sebanyak RM1,000 yang dibuka sehingga 12 Ogos ini menerusi laman sesawang http://www.selangorprihatin.com.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan bantuan berkenaan untuk pesakit wabak yang meninggal dunia membabitkan peruntukan RM1.5 juta.

Peruntukan terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta bagi membantu rakyat terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Syarat permohonan seperti berikut:

1. Warganegara Malaysia
2. Pemohon (waris terdekat) dan yang meninggal dunia (si mati) merupakan anak kelahiran Selangor serta menetap di Selangor atau bermastautin di Selangor lebih 10 tahun
3. Disahkan meninggal dunia berpunca daripada Covid-19 oleh hospital/klinik kesihatan kerajaan atau pusat perubatan berdaftar dan dinyatakan secara jelas dalam surat kematian
4. Meninggal dunia di Selangor
5. Meninggal dunia pada 2021 dan ke atas sahaja
6. Terhad satu permohonan bagi satu keluarga

Categories
EXCO SELANGOR

Kembalikan bantuan khairat kematian, kebajikan rakyat diutamakan

SHAH ALAM, 1 NOV: Bantuan khairat kematian yang diberikan semula adalah tanda keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap keperluan rakyat.

EXCO kebajikan masyarakat berkata pemberian menerusi Skim Mesra Usia Emas (SMUE) itu jelas mengutamakan orang ramai yang mahu ia dikembalikan malah mampu meringankan beban ketika penularan Covid-19.

“Saya mengalu-alukan berita baik ini apabila Dato Menteri Besar mengumumkan bantuan khairat kematian diwujudkan semula. Pengekalan program baucar hari lahir yang sebelum ini menggantikan bantuan tersebut juga dihargai,” kata V Ganabatirau kepada SelangorKini.

Program bantuan khairat kematian menyasarkan warga emas yang layak dan berdaftar tanpa mengira jantina, kaum dan agama.

Jumaat lalu, ketika pembentangan Belanjawan Selangor 2021, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan program bantuan terbabit menerusi SMUE yang diberhentikan pada Mei 2019 akan disambung semula mulai tahun hadapan.

Justeru, sejumlah RM7.5 juta disediakan bagi melayakkan waris berdaftar dengan Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) untuk menerima bantuan RM500 seorang.