Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Kerajaan Negeri peka dan prihatin isu pendidikan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 29 NOV: Inisiatif Kerajaan Negeri memberikan Bantuan Pendidikan kepada sekolah memerlukan di Selangor ternyata banyak membantu.

Guru Maahad Tarbiyah Islamiyah Al Ansar, Nasir Hassan berkata, Kerajaan Negeri tidak leka dan sentiasa peka dengan keperluan mendesak pihak sekolah.

“Kami terus konsisten menerima bantuan, lebih mengharukan ketika kejadian bumbung terbang pada 2014, Dato’ Menteri Besar sendiri turun menziarahi kami.

“Peruntukan segera RM100,000 terus diberikan dan ia ternyata memberi kesan besar kepada kami, terima kasih Kerajaan Negeri,” katanya yang juga Pegawai Perhubungan Awam maahad berkenaan.

Beliau merupakan salah seorang wakil 85 sekolah yang menerima Bantuan Pendidikan Fasa 2, di Bangunan Kerajaan Negeri, di sini, hari ini.

Turut bersetuju, guru KAFA Integrasi Al-Mujahideen, Mastori Marsidi juga memuji inisiatif Kerajaan Negeri memperkenal pelbagai inisiatif bagi memperkasa pendidikan di Selangor.

“Ini bukan kali pertama kami terima bantuan pendidikan ini sebaliknya sudah beberapa kali.

“Kami gunakan sumbangan diberikan untuk perbelanjaan baik pulih infrastruktur dan kemudahan sekolah,” katanya yang mengajar di Damansara Utama.

Bagi Yang DiPertua Persatuan Ibu Bapa Guru, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Ladang Highlands, R. Jeganathan, komitmen berterusan Kerajaan Negeri juga wajar dipuji.

“Kita bukan sahaja melihat kepada jumlah yang diterima, tetapi apa lebih penting adalah bantuan ini diberikan secara konsisten.

“Dengan adanya komitmen baik seperti ini, saya yakin pendidikan di Selangor akan terus berada di landasan paling hadapan,” katanya.

Sementara itu, wakil Lembaga Pengelola SJK Cina Wah Lian, Ng Seng Chai berharap, Kerajaan Negeri turut memberi tumpuan bagi menambah keperluan pendidikan khas di Selangor.

“Kita cuma ada tiga sahaja SJKC yang menyediakan pendidikan khas, jadi kami bercadang untuk membina bangunan bagi tujuan itu.

“Ia memerlukan peruntukan sekitar RM1.5 juta dan kami amat berharap ia dapat direalisasikan,” katanya.

=EZY=

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Bantuan Pendidikan: RM1.34 juta diagih kepada 85 sekolah

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 29 NOV: Sejumlah RM1.34 juta lagi diagihkan Kerajaan Negeri kepada 85 sekolah menerusi Bantuan Pendidikan Fasa 2.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia merupakan tambahan kepada Fasa 1 yang diagihkan sebelum ini melibatkan 578 sekolah dengan peruntukan RM19.53 juta.

Katanya, ia bagi menampung menyelesaikan isu infrastruktur di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil serta sekolah rendah agama.

“Konsep agihan sebegini dilakukan untuk memastikan agihan bantuan ini sampai kepada sasaran dan memberi manfaat kepada rakyat, khususnya anak-anak kita.

“Kita juga sudah memperluaskan skop bantuan kepada sekolah mubaligh dan sekolah menengah jenis kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bantuan Pendidikan Fasa 2, di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari.

Pada 2017, Kerajaan Negeri menaikkan peruntukan Bantuan Persekolahan daripada RM16 juta tahun sebelumnya, kepada RM22 juta.

=EZY=

 

Categories
SELANGOR

SETPOL: Awas penyebaran notis palsu bantuan pendidikan

SHAH ALAM, 20 NOV: Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar, Shuhaimi Shafiei berkata, Pejabat Dato’ Menteri Besar menafikan membuat pengumuman menawarkan Bantuan Kewangan Pelajaran Anak-Anak Selangor di beberapa institusi pendidikan tinggi di negeri itu.

Shuhaimi berkata, penyebaran itu sebagai satu cubaan untuk menimbulkan kekecohan terhadap pentadbiran Dato’ Menteri Besar yang baru.

IMG-20141119-WA0035 notisKatanya, walaupun Kerajaan Negeri mengambil perhatian berat dalam isu pendidikan, namun sebarang pengumuman akan dibuat melalui saluran betul dan dihebahkan dalam saluran media massa dan jabatan terbabit.

“Kerajaan Negeri bakal mengumumkan senarai bantuan kepada pelajar institusi pengajian tinggi dalam ucapan Belanjawan 2015 minggu hadapan,” kata Shuhaimi dalam kenyataan media.

Suhaimi berkata, beliau berharap semua rakyat dapat mengambil maklum perkara berkenaan dan menunggu pembentangan belanjawan negeri, pada 24 November ini.

-NFN-