Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

LRT bertembung: Penumpang terpelanting, impak perlanggaran kuat

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya yang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lagi tren berdekatan Stesen LRT KLCC di sini awal malam tadi, dipercayai berhenti selama 15 minit dan bergerak semula selama beberapa saat sebelum berlanggar.

Menceritakan kejadian mencemaskan itu, Afiq Luqman Mohd Baharudin, 27, berkata perlanggaran tersebut mengakibatkan para penumpang terpelanting dan terjatuh.

“Sewaktu kejadian, tren menghampiri KLCC dan saya nak ke Ara Damansara.

Kerosakan gerabak paling hadapan Tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya yang terbabit dalam kemalangan. Foto Facebook Bernama Radio

“Kemalangan berlaku di laluan bawah tanah berhampiran KLCC dan impaknya sangat kuat, mengakibatkan ramai penumpang yang sedang duduk dan berdiri terpelanting,” katanya ketika dihubungi malam tadi.

Afiq Luqman berkata sebelum kejadian, tren berkenaan berhenti selama 15 minit sebelum bergerak semula.

“Tidak sampai 10 saat bergerak berlaku pelanggaran,” katanya, menambah kejadian itu menyebabkan dia mengalami kecederaan di kepala, kaki kiri dan dada.

Menurutnya, tidak lama selepas kejadian, pasukan keselamatan tiba dan mengeluarkan kesemua penumpang termasuk dirinya yang kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, pemerhatian Bernama mendapati beberapa mangsa berkongsi detik cemas insiden berkenaan menerusi laman media sosial.

Antaranya pengguna Twitter Lim Mahfudz yang berkongsi video dan gambar kemalangan yang dirakamnya sendiri.

“Keseluruhan video ini saya rekod sendiri dan saya baik-baik saja, tidak mengalami sebarang kecederaan. Syukur kepada Tuhan kerana melindungi saya. Bagi saya, kejadian ini adalah satu tragedi dan satu mimpi ngeri yang benar-benar berlaku dalam hidup saya,” kongsi Lim Mahfudz.

Katanya ada penumpang cedera akibat terkena serpihan cermin tingkap tren yang pecah dan ada yang terpelanting selepas tren itu berhenti secara mengejut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua laluan baharu bas perantara ke LRT Sri Petaling, Bandar Puteri Puchong

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Bermula hari ini, Rapid KL memperkenalkan dua laluan bas perantara baharu ke stesen LRT Sri Petaling dan Bandar Puteri Puchong.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd Muhammad Yazurin Sallij Muhammad Yasin berkata usaha itu merupakan kerjasama antara Rapid Rail dan Rapid Bus yang akan menghubungkan kawasan komuniti di sekitar Sri Petaling dan Bandar Puteri Puchong.

“Kini komuniti di sekitar kawasan Sri Petaling dan Bandar Puteri mempunyai pilihan penjimatan dari segi kos bahan api, tol serta bayaran parkir apabila menggunakan perkhidmatan bas perantara baharu yang melalui kawasan perumahan utama dengan tambang serendah RM1,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Laluan baharu bas perantara (T582) ke Stesen LRT Sri Petaling merangkumi kawasan utama Bandar Baru Sri Petaling, Taman Bukit Intan dan Stadium Hoki Bukit Jalil.

Bagi laluan baharu bas perantara (T605) ke Stesen LRT Bandar Puteri Puchong pula, perkhidmatan merangkumi jajaran kawasan Bandar Puteri Puchong, Puchong Hartamas, Kampung Pasir Puchong dan Puteri 11.

Melalui perkhidmatan ini, penduduk mempunyai pilihan tambahan untuk ke atau dari stesen LRT yang terlibat dengan kekerapan bas setiap 20 minit selain menikmati tambang perjalanan sehala yang lebih ekonomi serendah RM1.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd Abdul Hadi Amran berharap perkhidmatan laluan baharu bas perantara itu dapat memudahkan perjalanan komuniti setempat, di samping memberikan penjimatan kepada mereka untuk ke rangkaian rel Rapid KL.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

15 laluan baharu Bas Perantara LRT merah jambu bermula 18 Feb

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Rapid Bus Sdn Bhd, anak syarikat Prasana Malaysia Berhad (Prasarana) akan memperluas perkhidmatan Bas Perantara LRT berwarna merah jambu kepada 15 laluan tambahan bermula 18 Feb ini, berikutan sambutan menggalakkan daripada pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Muhammad Yazurin Sallij berkata inisiatif tersebut adalah kesinambungan kepada projek perintis pada 3 Sept tahun lepas melibatkan penambahbaikan perkhidmatan Bas Perantara LRT di sepanjang 10 laluan sedia ada antaranya ke Stesen LRT Gombak, Taman Melati dan Sri Rampai.

Beliau berkata pihaknya menerima maklum balas positif menerusi program tersebut dengan 81 peratus daripada 1,000 responden menyatakan mutu perkhidmatan telah meningkat seperti lebih senang dicam, pematuhan jadual, kekerapan dan ketersediaan bas.

“Ia adalah sebahagian daripada usaha berterusan pihak kami untuk meningkatkan mutu perkhidmatan. Dengan penampilan baharu ini, kami mendapati bahawa pelanggan dan orang ramai lebih senang membezakan di antara bas Perantara LRT dan bas Rapid KL biasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Yazurin berkata hasil kaji selidik yang dijalankan bulan lepas itu juga mendapati 92 peratus responden mengesyorkan perkhidmatan tersebut kepada orang ramai.

Sehubungan itu, Rapid Bus akan membahagikan pelaksanaannya kepada beberapa peringkat yang akan melibatkan penyusunan semula operasi bas, penjadualan dan kekerapan menurut permintaan bagi perluasan perkhidmatan bas Perantara LRT berwajah baharu ini, katanya.

Berikut adalah 15 laluan baharu Bas Perantara LRT:

1. T180 Taman Dato’ Senu – LRT Sentul
2. 822 LRT Bangsar – Bangsar Shopping Centre
3. 541 Putra Permai – LRT BK 5
4. T603 LRT Puchong Prima – Taman Mas Sepang
5. T640 Stesen LRT Taman Jaya – Taman Sri Sentosa
6. T600 Stesen LRT IOI Puchong – Taman Wawasan
7. T757 Stesen LRT Alam Megah – Sek 27 Shah Alam
8. T778 Stesen LRT USJ 21 – One City
9. T781 Stesen LRT Kelana Jaya – Kelana Centre Point
10. T782 Stesen LRT Lembah Subang – Ara Damansara
11. T783 LRT Taman Bahagia – SS 6
12. T785 LRT Taman Paramount – Kg Baiduri
13. T786 LRT Asia Jaya – Universiti Mahsa
14. T787 Stesen LRT Asia Jaya – Seksyen 14 & 17
15. T791 Stesen LRT Kerinchi – Pantai Hill Park

– BERNAMA