Categories
AGENDA NASIONAL

Selamatkah anak-anak naik bas sekolah ketika musim Covid-19?

KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Semalam, anak-anak tahun satu hingga empat memulakan sesi persekolahan dan bagi ibu bapa yang berdepan dengan kekangan untuk menghantar atau mengambil anak mereka dari sekolah, pastinya bas atau van sekolah adalah satu-satunya pilihan yang ada.

Namun, isu kesesakan dan ketiadaan jarakan sosial dalam bas sekolah menjadi kebimbangan ibu bapa yang khuatir dengan risiko jangkitan Covid-19 kepada anak-anak yang masih kecil itu, apatah lagi dengan peningkatan semula kes tersebut dalam negara.

Bagi Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Dr Mohd Ali Hassan, Kementerian Kesihatan (KKM) sewajarnya menyemak kembali tatacara operasi piawai (SOP) bagi pengusaha bas untuk memberi keyakinan kepada ibu bapa bahawa keselamatan anak mereka terjaga secara optimum.

“Apabila melibatkan kanak-kanak, SOP tidak seharusnya dilonggarkan, tetapi diperketatkan termasuklah dalam soal kebersihan dan juga mengelakkan kesesakan… apabila keselamatan murid-murid terjamin, barulah ibu bapa berasa yakin untuk melepaskan anak mereka menaiki bas atau van sekolah,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata adalah penting untuk bilangan kapasiti murid dan penjarakan sosial di dalam bas sekolah difikirkan semula bagi memastikan tidak berlaku kesesakan dalam bas termasuklah ketika naik dan turun dari kenderaan tersebut, sekali gus mengelakkan kemunculan kluster baharu.

“Tentunya kita takut… kita tidak pasti sama ada bas atau van sekolah itu patuhi semua SOP… siapa yang akan pantau kesesakan dalam bas dan juga tahap sanitasi kenderaan… kapal terbang mungkin tidak perlukan jarakan sosial tetapi ini adalah bas sekolah yang tahap kebersihan pastinya tidak sama, malah ia melibatkan kanak-kanak.

“Kita sendiri dipesan agar jangan berada dalam kawasan yang sesak tetapi kanak-kanak pula bersesak di dalam kenderaan sekolah… konsep jarak sosial itu tidak dilaksanakan, malah tahap kebersihan pula tidak dapat dipastikan dan ini bagi saya punca yang akan merebakkan Covid-19 dan ini yang kita takuti,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM) Mohd Rofik Mohd Yusof menegaskan bahawa ibu bapa tidak seharusnya berasa risau untuk membiarkan anak mereka menaiki bas sekolah kerana setiap pengusaha maklum dan perlu mematuhi semua SOP yang telah digariskan oleh KKM.

“Pemandu bas akan memakai penutup hidung dan mulut sepanjang masa bertugas, malah kenderaan akan disanitasi setiap hari iaitu sebelum dan selepas kanak-kanak menaikinya… malah sebagai langkah tambahan, pemandu juga akan pastikan ada cecair pembasmi kuman dalam kenderaan.

“Meskipun kita tidak periksa suhu pelajar, namun sejurus mereka tiba di depan pintu sekolah, guru yang akan melakukannya… bagaimanapun jika ada yang kami nampak tidak sihat, pasti kami tidak akan benarkan mereka naik bas sekolah pada hari itu,” katanya.

Beliau menambah sambutan kepada penggunaan bas sekolah ketika ini amat kurang, sama ada disebabkan terdapat ibu bapa yang enggan membayar penuh yuran bas sekolah kerana hanya menggunakan perkhidmatan untuk beberapa hari sahaja pada bulan ini, atau mungkin anak tidak bersekolah, atau mungkin ibu bapa yang sendiri menghantar anak mereka.

Bagi Presiden Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPBSM) Amali Munif Rahmat pula, ibu bapa sendiri bertanggungjawab untuk memastikan anak mereka benar-benar sihat sebelum menaiki bas sekolah dan tidak bergejala seperti demam, selesema dan batuk.

“Tidak ada apa yang hendak dirisaukan oleh ibu bapa kerana pengusaha bas sekolah kena patuh dengan SOP yang digariskan, maka ibu bapa sendiri kena mainkan peranan dan peka dengan kesihatan anak-anak mereka sebelum naik bas… kalau tidak sihat jangan ke sekolah,” katanya.

Beliau berkata pemandu juga akan sentiasa mengingatkan pelajar untuk tidak ada sentuhan antara satu sama lain atau bergurau senda dan sentiasa duduk, selain sentiasa memakai penutup mulut dan hidung semasa di dalam bas atau van.

“Hari ini baru hari kedua, pengalaman baharu untuk pengusaha maka banyak yang boleh diperbaiki dan menyesuaikan diri… tetapi pastinya apabila tiba di sekolah, kami mesti memastikan mereka turun seorang demi seorang dari bas,” katanya.

Sementara itu, dalam SOP yang dikeluarkan KKM, pemandu juga perlu menjalani saringan gejala sebelum memulakan tugas, selain memakai penutup mulut dan hidung sepanjang masa bertugas, memastikan dan mengarahkan murid sentiasa duduk dan memakai penutup mulut dan hidung semasa di dalam bas atau van, dan tidak diwajibkan untuk menyaring murid semasa naik atau turun kerana beberapa kekangan serta saringan telah dibuat oleh pihak sekolah.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

28 peratus bas sekolah gagal ikut piawaian ditetap Puspakom

SHAH ALAM, 12 JUL: Sebanyak 28 peratus daripada lebih 26,000 bas sekolah yang menjalani pemeriksaan berkala di Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) bagi tempoh 1 Julai 2018 hingga 30 Jun lepas gagal mengikuti piawaian pemeriksaan ditetapkan.

Menurut kenyataan Puspakom hari ini, berdasarkan statistik syarikat tersebut, kegagalan lebih 7,300 bas sekolah mematuhi piawaian ditetapkan itu merangkumi aspek bahagian atas dan bawah kenderaan, brek, sistem gantungan kenderaan, gelincir sisi, asap dan lain-lain yang tertakluk dalam skop pemeriksaan.

“Rekod ini jelas menunjukkan bahawa Puspakom tidak sewenang-wenangnya meluluskan kenderaan yang tidak menepati skop dan piawaian pemeriksaan,” kata kenyataan itu.

Puspakom turut memaklumkan, bas sekolah yang mengakibatkan seorang murid darjah enam di Kelantan maut selepas terjerlus dari lantai tangga kenderaan itu pada 4 Julai lepas, telah melalui pemeriksaan berkala syarikat berkenaan pada Mei lalu.

Jelas kenyataan tersebut, berdasarkan rekod dan gambar-gambar pemeriksaan yang dijalankan, kesemua item pemeriksaan pada bas sekolah itu berada dalam keadaan baik.

“Laporan pemeriksaan bas sekolah selepas kemalangan itu juga telah dihantar kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada petang Rabu lepas.

“Bagaimanapun, Puspakom tidak boleh memberi komen lanjut mengenai laporan tersebut kerana ia dalam siasatan polis. Kami ingin menegaskan bahawa Puspakom tidak sesekali berkompromi terhadap kenderaan yang tidak mengikut piawaian yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, Puspakom menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan andaian tidak berasas yang boleh menambahkan lagi kesedihan keluarga mangsa.

Pada 4 Julai lepas, Wan Muhammed Adam Mohd Suria, 12, murid darjah enam Sekolah Kebangsaan Tok Bok, Machang di Kelantan dilaporkan meninggal dunia serta-merta selepas terjerlus jatuh dari lantai tangga bas yang dinaikinya di Kampung Kandis, Pasir Puteh.

Ketika kejadian, Wan Muhammed Adam dipercayai berdiri bersama-sama rakannya yang lain berhampiran tangga di bahagian depan bas ketika dalam perjalanan menghadiri bengkel Bahasa Inggeris di Bukit Keluang, Terengganu. – BERNAMA

Categories
KENYATAAN MEDIA

Kerajaan digesa bantu pengusaha bas sekolah

Pemuda AMANAH Nasional membantah hasrat Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia untuk menaikkan harga tambang bagi sesi persekolahan tahun hadapan.

Persatuan itu mendakwa, kenaikan tersebut didorong oleh kos penyelenggaraan yang meningkat sehingga 80 peratus disamping faktor harga minyak yang tidak stabil.

Kenaikan tersebut sudah pasti disambut dengan penuh kekecewaan memandangkan ibu bapa murid-murid kini dalam keadaan tertekan dengan peningkatan kos kehidupan yang tidak dapat dikawal termasuklah persiapan persekolahan untuk sesi akan datang.

Kami memahami dilema yang dihadapi oleh ibu bapa dan kami sangat menjiwai bebanan yang dihadapi oleh para pengusaha bas yang sangat terbeban dengan kos semasa disebabkan perlaksanaan cukai GST serta kegagalan kerajaan mengurus ekonomi negara.

Namun, menaikkan kadar tambang bukanlah solusi terbaik yang perlu dilakukan.

Dalam hal ini, kami berharap kerajaan melalui kementerian berkenaan perlu bertanggungjawab serta mengambil perhatian serius seterusnya mencari mekanisme yang terbaik dan realisitik dalam menangani permasalah ini.

Kerajaan perlu mencari alternatif mengurangkan bebanan yang terpaksa ditanggung oleh pengusaha bas di semua peringkat termasuklah memberikan bantuan khususnya mahupun subsidi.

Antara lain, kerajaan sewajarnya mengambil kira tuntutan pengusaha bas yang mengharapkan kerajaan memberikan subsidi minyak diesel kepada kira-kira 18,000 pengusaha bas di seluruh negara seperti yang diterima nelayan.

Ini akan membantu para pengusaha untuk menetapkan kadar tambang yang lebih rendah kepada murid-murid.

Pemuda AMANAH Nasional menggesa kerajaan berbincang secara tuntas dan serius dengan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia untuk mencapai keputusan yang terbaik dengan mengambil kira aspek bebanan semasa yang terpaksa ditanggung oleh ibu bapa murid-murid.

Menggalas Harapan Perubahan
#PemudaBekerja

HASNUL ZULKARNAIN
Bendahari Pemuda AMANAH Nasional

Categories
NASIONAL

GPBSM: Tambang bas sekolah terpaksa dinaikkan

KUALA LUMPUR 1 JAN: Gabungan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia (GPBSM) mengakui terpaksa menaikkan tambang bas sekolah lantaran kenaikan kos harga petrol.

Presidennya, Mohd Rofik Mohd Yusof berkata, kenaikan yang bakal berlaku dijangka tidak melebihi RM10 bagi setiap pelajar dan setiap bulan.

“Selain memberi perkhidmatan bas sekolah, kami sebenarnya juga meniaga. Saya jangka kenaikan akan berlaku tapi tidak banyak.

“Untuk makluman ibu bapa, tambang itu telah diregulasi. Jadi ia bukanlah satu isu lagi di mana ibu bapa boleh berbincang dengan pengusaha untuk dapatkan caj yang dipersetujui bersama,” katanya lapor AWANI7.45 malam tadi.

Turut bersama dalam diskusi tersebut adalah Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr Mohd Ali Hassan.

Isu ini timbul lantaran kenaikan harga runcit bagi petrol RON95 dan diesel kepada 20 sen di mana ia menjadi keperluan utama pengusaha bas sekolah.

Bermula 1 Januari, RON95 adalah RM2.10 seliter berbanding RM1.90 sen seliter untuk Disember, manakala harga diesel ialah RM2.05 seliter berbanding RM1.85 pada Disember.

=EZY=