Categories
KENYATAAN MEDIA

Kerajaan digesa bantu pengusaha bas sekolah

Pemuda AMANAH Nasional membantah hasrat Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia untuk menaikkan harga tambang bagi sesi persekolahan tahun hadapan.

Persatuan itu mendakwa, kenaikan tersebut didorong oleh kos penyelenggaraan yang meningkat sehingga 80 peratus disamping faktor harga minyak yang tidak stabil.

Kenaikan tersebut sudah pasti disambut dengan penuh kekecewaan memandangkan ibu bapa murid-murid kini dalam keadaan tertekan dengan peningkatan kos kehidupan yang tidak dapat dikawal termasuklah persiapan persekolahan untuk sesi akan datang.

Kami memahami dilema yang dihadapi oleh ibu bapa dan kami sangat menjiwai bebanan yang dihadapi oleh para pengusaha bas yang sangat terbeban dengan kos semasa disebabkan perlaksanaan cukai GST serta kegagalan kerajaan mengurus ekonomi negara.

Namun, menaikkan kadar tambang bukanlah solusi terbaik yang perlu dilakukan.

Dalam hal ini, kami berharap kerajaan melalui kementerian berkenaan perlu bertanggungjawab serta mengambil perhatian serius seterusnya mencari mekanisme yang terbaik dan realisitik dalam menangani permasalah ini.

Kerajaan perlu mencari alternatif mengurangkan bebanan yang terpaksa ditanggung oleh pengusaha bas di semua peringkat termasuklah memberikan bantuan khususnya mahupun subsidi.

Antara lain, kerajaan sewajarnya mengambil kira tuntutan pengusaha bas yang mengharapkan kerajaan memberikan subsidi minyak diesel kepada kira-kira 18,000 pengusaha bas di seluruh negara seperti yang diterima nelayan.

Ini akan membantu para pengusaha untuk menetapkan kadar tambang yang lebih rendah kepada murid-murid.

Pemuda AMANAH Nasional menggesa kerajaan berbincang secara tuntas dan serius dengan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia untuk mencapai keputusan yang terbaik dengan mengambil kira aspek bebanan semasa yang terpaksa ditanggung oleh ibu bapa murid-murid.

Menggalas Harapan Perubahan
#PemudaBekerja

HASNUL ZULKARNAIN
Bendahari Pemuda AMANAH Nasional