Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

116 nelayan terima bantuan hampir RM1 juta

OLEH LIZAWATI MADFA

KLANG, 4 MAC: Seramai 166 nelayan di daerah Klang menerima bantuan peralatan menangkap ikan daripada Kerajaan Negeri, di sini, semalam.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, seramai 50 daripadanya menerima bantuan jaring manakala 116 lagi menerima bantuan GPS (Global Positioning System).

Katanya, mereka merupakan sebahagian daripada 698 penerima di seluruh Selangor yang layak menerima bantuan dengan peruntukan RM995,000.

“Ini membuktikan Kerajaan Negeri tidak meminggirkan nelayan, malah kita menyediakan program bantuan khas bagi memajukan nelayan.

“Kita juga bersedia meneliti bentuk bantuan lain dari masa ke masa dalam usaha memantapkan lagi taraf ekonomi golongan nelayan agar tidak terpinggir,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Penyerahan Bantuan Nelayan dan Akuakultur Peringkat Daerah Klang, di Kampung Delek Kanan, di sini, semalam.

Pada 2016, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1.6 juta bagi menyediakan bantuan berbentuk peralatan menangkap ikan kepada nelayan serta makanan ternakan ikan untuk usahawan akuakultur Selangor.

Selain hampir RM1 juta untuk bantuan peralatan, sejumlah RM600,000 diperuntuk bagi bantuan peralatan kolam ternakan melibatkan 168 penerima.

“Bagi tahun ini pula, Kerajaan Negeri memperuntukkan sekurang-kurangnya RM1 juta bagi tujuan sama dan dijangka 500 penerima bakal memperoleh manfaat,” kata Zaidy.

Pada 2016, terdapat 1,324 nelayan berdaftar di Klang daripada 7,395 jumlah keseluruhan nelayan di Selangor.

=EZY=