Categories
NASIONAL

Skim baucar buku mahasiswa diteruskan

SHAH ALAM, 10 NOV: Kementerian Kewangan bersetuju dengan syor Kementerian Pendidikan supaya skim bantuan baucar buku kepada mahasiswa diteruskan.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, perkara itu dibawa dalam mesyuarat Kabinet pertama, semalam selepas pembentangan Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, pada 2 November lalu.

“Kementerian Kewangan bersetuju melihat perkara ini bagi membantu mengurangkan beban kewangan pelajar institusi pengajian tinggi.

“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga berpandangan bantuan seumpama ini perlu diteruskan,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, beliau turut mengucapkan terima kasih atas kesudian Kementerian Kewangan dan Perdana Menteri dalam mempertimbangkan perkara berkenaan.

Beliau turut berharap kerajaan akan mengumumkan berita gembira dalam waktu terdekat berhubung kebajikan mahasiswa.

“Skim baucar buku antara perjuangan saya buat mahasiswa,” katanya.