Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP: Malaysia import bawang, elak gangguan bekalan

PUTRAJAYA, 23 NOV: Malaysia mengimport bawang dari pelbagai negara sebagai strategi untuk memastikan bekalan sentiasa mencukupi dan tidak bergantung kepada sesebuah negara sahaja, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

“Jika sesebuah negara tersebut mengalami bencana alam seperti kemarau, banjir, gempa bumi dan tanah runtuh atau melaksanakan sekatan ekonomi, maka Malaysia tidak akan terancam dan bekalan bawang tidak terganggu walaupun harga mungkin menerima impaknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bekalan bawang di Malaysia diimport dari 29 negara dengan lima negara adalah pengeksport terbesar iaitu India (36 peratus), Pakistan (23 peratus), China (19 peratus), Belanda (9.0 peratus) dan Thailand (7.0 peratus).

Katanya, India merekodkan jumlah terbesar pengimportan bawang iaitu sebanyak 149,539,411 kilogram (kg) dan jumlah itu adalah berdasarkan ‘minat dan cita rasa rakyat Malaysia’.

Terdapat lapan jenis bawang yang diimport ke Malaysia iaitu Bawang Kecil Merah Import, Bawang Besar Import, Bawang Kecil Merah Rose Import (India); Bawang Merah Import, Bawang Kecil Merah Import (China); Bawang Kecil Merah Import (Myanmar); Bawang Kecil Merah (Thailand) dan Bawang Besar Kuning (Holland).

Pada 14 September kerajaan India mengeluarkan arahan larangan eksport ke atas semua jenis bawang kecuali jenis Bangalore Rose dan Krishnapuram bertujuan menampung keperluan domestik di negara berkenaan berikutan bencana banjir yang berlaku pada Julai lepas.

Berikutan itu, sebanyak 121 syarikat pengimport mula meningkatkan jumlah pengimportan bekalan bawang dari negara seperti Pakistan, China, Belanda dan Thailand.

Dalam pada itu, Nanta berkata harga bawang adalah sama seperti harga barangan lain yang bergantung kepada bekalan dan permintaan.

“Jika bekalan kurang dan permintaan tinggi, maka harga akan naik. Inilah juga sedang berlaku kepada bawang India dan sedikit sebanyak mempengaruhi keseluruhan bekalan bawang kecuali beberapa jenis bawang seperti bawang Holland,” katanya.

Sementara itu, Nanta berkata pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan terus melakukan pemeriksaan dan pemantauan berkaitan bekalan dan harga bawang termasuk di peringkat pembekal, pemborong dan peruncit.

Katanya, pihak kementerian tidak teragak-agak untuk melaksanakan harga kawalan seperti termaktub dalam Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) (No. 2) (Pindaan) 2020 jika keadaan mendesak dan memerlukan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kenaikan harga bawang dari India tidak dapat dielak, banjir jejas pasaran

BATU PAHAT, 21 NOV: Kenaikan harga bawang besar dari India tidak dapat dielakkan kerana
pengimportan bahan masakan itu agak berkurangan ketika ini akibat musim tengkujuh dan
bencana banjir di negara berkenaan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid
berkata pengguna perlu bersabar, dan menggunakan bawang dari beberapa negara seperti
Thailand, Pakistan, China, Belanda, Myanmar serta Indonesia sebagai alternatif, yang
bekalannya mencukupi dan harganya masih kekal sama.

“Bagaimanapun, saya dapati pengguna di negara ini lebih gemar menggunakan bawang yang
diimport dari India kerana ia mempunyai rasa yang tersendiri berbanding bawang yang
dibekalkan negara-negara lain,” katanya pada sidang media selepas melawat kilang pengeluar
telur ayam Teo Seng Capital Berhad, di Yong Peng, dekat sini hari ini.

Timbalan Ketua Setiausaha Pendayaupayaan Pengguna Kementerian Perdagangan Dalam Negeri
dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Mohamed Zahari Razali dan Pengarah Eksekutif Kumpulan
Leong Hup International Berhad Tan Sri Lau Tuang Nguang turut hadir pada lawatan itu.

“Pihak kementerian akan terus mencari dan mendapatkan sumber bekalan bawang dari
negara-negara pengimport bawang yang lain bagi memenuhi permintaan pengguna negara ini,”
kata Rosol.

Dalam pada itu, beliau berkata KPDNHEP turut menjamin bekalan bahan makanan mencukupi
ketika ini dan membenarkan pihak pemborong menyediakan bekalan makanan serta keperluan
asas melebihi 30 peratus daripada kuota bekalan biasa semasa musim tengkujuh.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekalan bawang cukup, import ditingkat pastikan stabil – KPDNHEP

PUTRAJAYA, 29 OKT: Bekalan bawang dalam negara mencukupi dan stabil walaupun kerajaan India mengeluarkan larangan eksport bahan mentah itu, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata susulan larangan berkenaan, sebanyak 121 syarikat pengimport mula meningkatkan jumlah pengimportan bekalan bawang dari negara lain seperti Pakistan, Thailand, Belanda dan China bagi menampung keperluan dalam negara.

Katanya, jumlah keseluruhan pengimportan bawang ke Malaysia dari Januari sehingga Ogos 2020 adalah sebanyak 340.2 juta kilogram (kg) bersamaan 42.5 juta kg sebulan secara purata.

“Terdapat 24 negara yang mengeksport bawang ke Malaysia dengan pengeksport terbesar ialah India (38 peratus), Pakistan (23 peratus), China (16 peratus), Belanda (lapan peratus) dan Thailand (lapan peratus).

“Jumlah pengimportan bawang dari negara India ialah sebanyak 127.96 juta kg dari jumlah keseluruhan pengimportan bawang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 14 September lepas, kerajaan India mengeluarkan arahan larangan eksport ke atas semua jenis bawang kecuali jenis ‘Bangalore Rose’ dan ‘Krishnapuram’ bagi menampung keperluan domestik negara itu ekoran bencana banjir yang berlaku pada Julai lepas.

Nanta berkata berdasarkan statistik semasa, secara purata rakyat Malaysia menggunakan 17 kg bawang setahun iaitu bersamaan 1.4 kg sebulan, menjadikan purata keperluan untuk rakyat Malaysia sebanyak 35.97 juta kg sebulan.

Menurutnya, sepanjang tahun ini kementerian tidak menerima sebarang aduan berkaitan isu bekalan bawang.

“Bagaimanapun, pemantauan secara berkala dijalankan bagi memastikan tahap keberadaan bekalan bawang di pasaran adalah mencukupi meliputi semua rantaian pengimportan,” katanya.

Beliau berkata sepanjang tahun ini juga kementerian telah melaksanakan pemantauan bekalan ke atas 2,711 peruncit terpilih daerah dan 1,039 pemborong terpilih daerah di seluruh negara.

-BERNAMA