Categories
AGENDA NASIONAL

Keluarga anak tertukar lantik peguam, ambil tindakan undang-undang

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Dua keluarga yang tiga anak mereka tertukar sejak lahir 20 tahun lepas, dipercayai akibat kecuaian kakitangan sebuah hospital di Kota Bharu, Kelantan, telah melantik barisan peguam untuk menasihati dan mengambil tindakan undang-undang yang perlu.

Jurucakap bagi pihak Tetuan Sam Masri & Associates, Tetuan Khairul Naim Rafidi, Tetuan Azam Rashid & Co serta Tetuan Mohd Nasir & Co, peguam Samry Masri berkata barisan peguam itu dilantik pada November tahun lepas.

“Kejadian yang berlaku telah menyebabkan kesengsaraan dan penderitaan kepada anak guam kami dan dua keluarga mereka. Lantaran itu kami akan sedaya upaya memastikan keadilan dapat terlaksana sebaiknya,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama semalam.

Beliau berkata pihaknya telah menulis surat kepada pihak Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) bagi mendapatkan kerjasama pihak hospital itu untuk membekalkan rekod-rekod kelahiran dan perubatan yang berkenaan.

Pada masa sama katanya pihak barisan peguam juga menyambut baik kenyataan yang dibuat oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin dan Pengarah Hospital HRPZ II Datuk Dr Selasawati Ghazali yang akan menyiasat perkara itu dan akan mengesan dokumen serta petugas terlibat.

“Kami juga menghargai kenyataan serta pandangan yang diberikan oleh Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad, pakar psikologi, serta pihak-pihak lain yang simpati dengan nasib anak guam kami serta kedua-dua keluarga mereka,” katanya

Bernama sebelum ini melaporkan tentang dua keluarga yang mengharungi kisah tragis apabila tiga bayi perempuan termasuk sepasang kembar, tertukar selepas dilahirkan 20 tahun lepas.

Kejadian itu disedari selepas ketiga-tiga mereka, Adryani Iwani, ‘kembarnya’ Adryana Irwani, dan kembar sebenarnya Noratirah Husin, menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) pada September tahun lepas.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Polis Shah Alam sahkan terima laporan bayi tertukar

SHAH ALAM, 13 JUN: Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian membabitkan dua pasangan tertukar bayi di sebuah hospital swasta semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib berkata laporan berkenaan dibuat oleh suami kepada usahawan dalam talian Siti Suriani Wahiddin, iaitu satu daripada pasangan yang terlibat, di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pada 9 pagi tadi.

“Laporan polis dibuat selepas si suami menyedari nama ibu pada tanda nama di kaki bayi tersebut bukan nama isterinya semalam, tetapi nama wanita lain yang dipercayai turut melahirkan bayi di hospital sama.

“Laporan itu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Menurut laporan media, Siti Suriani atau lebih dikenali sebagai Siti Jamumall, melahirkan bayi lelaki di sebuah hospital swasta di Shah Alam, awal pagi kelmarin (11 Jun) manakala tanda nama di kaki bayi itu tertera nama wanita lain dan waktu dilahirkan pada 3.02 petang, 10 Jun (Khamis).

Tanpa menyedari bayi berkenaan tertukar, pihak hospital membenarkan Siti Suriani serta bayi tersebut pulang ke rumah semalam.

Kejadian berkenaan tular menerusi media sosial berikutan perkongsian Siti Suriani di Facebook (FB) Live pada 7.40 malam semalam yang mendapat 1.3 juta tontonan dengan 40,000 tanda reaksi, 56,000 komen dan dikongsi 37,000 kali.

Menerusi FB Live itu, Siti Suriani turut memaklumkan beliau sudah menemui semula bayinya, bagaimanapun bercadang mengambil tindakan undang-undang ekoran kecuaian hospital berkenaan dan membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan susulan.

-BERNAMA