Categories
SELANGOR

Polis Shah Alam sahkan terima laporan bayi tertukar

SHAH ALAM, 13 JUN: Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian membabitkan dua pasangan tertukar bayi di sebuah hospital swasta semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib berkata laporan berkenaan dibuat oleh suami kepada usahawan dalam talian Siti Suriani Wahiddin, iaitu satu daripada pasangan yang terlibat, di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pada 9 pagi tadi.

“Laporan polis dibuat selepas si suami menyedari nama ibu pada tanda nama di kaki bayi tersebut bukan nama isterinya semalam, tetapi nama wanita lain yang dipercayai turut melahirkan bayi di hospital sama.

“Laporan itu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Menurut laporan media, Siti Suriani atau lebih dikenali sebagai Siti Jamumall, melahirkan bayi lelaki di sebuah hospital swasta di Shah Alam, awal pagi kelmarin (11 Jun) manakala tanda nama di kaki bayi itu tertera nama wanita lain dan waktu dilahirkan pada 3.02 petang, 10 Jun (Khamis).

Tanpa menyedari bayi berkenaan tertukar, pihak hospital membenarkan Siti Suriani serta bayi tersebut pulang ke rumah semalam.

Kejadian berkenaan tular menerusi media sosial berikutan perkongsian Siti Suriani di Facebook (FB) Live pada 7.40 malam semalam yang mendapat 1.3 juta tontonan dengan 40,000 tanda reaksi, 56,000 komen dan dikongsi 37,000 kali.

Menerusi FB Live itu, Siti Suriani turut memaklumkan beliau sudah menemui semula bayinya, bagaimanapun bercadang mengambil tindakan undang-undang ekoran kecuaian hospital berkenaan dan membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan susulan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN cadang benarkan beli vaksin di hospital swasta, Kerajaan Negeri

SHAH ALAM, 20 MEI: Kementerian Kesihatan dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 digesa membenarkan Kerajaan Negeri serta hospital swasta menjual vaksin bagi mempercepatkan proses pengendaliannya.

Pakatan Harapan (PAKATAN) berkata tindakan itu akan membantu industri kesihatan negara sekali gus membolehkan kerajaan memberi tumpuan terhadap usaha suntikan imunisasi terbabit.

Jelasnya, ketika ini kebergantungan terhadap tiga vaksin sahaja iaitu Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca memberi risiko tinggi serta ancaman kepada negara.

“Kerajaan harus proaktif dalam proses perolehan bahan berkaitan. Malaysia lewat menerimanya berbanding Singapura dan Indonesia.

“Sikap ‘tunggu dan lihat’ menyebabkan kegagalan mengawal lonjakan kes hingga mengorbankan banyak nyawa. Sekarang masa untuk kita menyemak semula strategi vaksinasi dan menyelamatkan nyawa,” katanya menerusi Jawatankuasa Vaksinasi Covid-19 PAKATAN hari ini.

Jawatan kuasa diketuai mantan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyarankan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) mempercepatkan kelulusan vaksin diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta pusat kesihatan luar negara.

“Karenah birokrasi keterlaluan dan tidak efisien perlu diatasi. Ini bagi memastikan kelulusan cepat dan tepat di samping menjaga keselamatan serta keberkesanan vaksin tersebut.

“Kerajaan juga perlu memperluaskan pemilihan vaksin selain berunding dengan pengeluar seperti Sinopharm, Novavax dan yang lain serta terus berusaha mendapatkannya kerana syarikat farmasi memberi keutamaan kepada negara kaya,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Hospital swasta tidak dapat terima lagi pesakit Covid-19

KUALA LUMPUR, 29 APRIL: Sebilangan besar hospital swasta, khususnya di Lembah Klang, pada masa ini tidak dapat menerima pesakit Covid-19 lagi kerana peningkatan jumlah pesakit tersebut di fasiliti mereka dalam tempoh 14 hari, menurut Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM).

Presidennya Datuk Dr Kuljit Singh berkata semua katil yang disediakan di wad Covid-19 dan juga wad pengasingan di unit rawatan rapi (ICU) telah dipenuhi.

Beliau berkata hospital swasta menghadapi kekangan dari segi bilangan katil pesakit dan kemudahan ICU yang boleh menampung pesakit Covid-19 serta keupayaan pakar dan jururawat.

“Kami berharap masyarakat memandang serius masalah kekurangan katil di hospital dan lebih bertanggungjawab untuk mencegah penularan serta mematuhi semua SOP (tatacara operasi piawai) yang ditetapkan.

“Ketakutan terbesar adalah jika kita menghadapi penutupan perkhidmatan kesihatan kerana tiada lagi katil dan rawatan oksigen untuk rakyat negara kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Kuljit turut mencadangkan agar kerajaan menghantar pesakit bukan Covid-19 menerima rawatan di hospital swasta, sebagai langkah segera untuk mewujudkan ruang bagi pesakit Covid-19 dirawat di hospital kerajaan, dengan biaya yang dipersetujui tahun lepas serta dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.

Beliau berkata hospital swasta secara aktif membantu kerajaan dalam pengurusan bersama pandemik itu termasuk menjalankan ujian saringan Covid-19, menyediakan ventilator kepada hospital kerajaan, menawarkan slot dialisis dan terkini menjalankan vaksinasi ke atas petugas hospital swasta dan tidak lama lagi kepada masyarakat di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Semalam, Malaysia merekodkan 3,142 kes positif baharu Covid-19 dengan 15 kematian, menjadikan keseluruhan kes positifi di negara ini sebanyak 401,593.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hospital swasta sedia bantu orang awam daftar vaksin

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) berharap dapat bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung pendaftaran pesakit awam dan swasta di hospital swasta bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Presiden APHM Dr Kuljit Singh berkata ia kini sedang berhubung dengan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), untuk mendapatkan butiran lanjut dan dicadangkan dimulakan dengan segera.

“Kami berharap dapat meningkatkan pilihan untuk pesakit awam dan swasta mendaftar secara manual dengan bantuan kakitangan kami di hospital swasta dan dimasukkan ke dalam sistem.

“Ini adalah untuk vaksin percuma yang disediakan kerajaan. Hospital swasta kini dalam perbincangan untuk mengesahkan komitmen kami untuk memberi vaksin kepada orang ramai menggunakan vaksin yang disediakan oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ia susulan selepas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dilaporkan berkata KKM akan mengenal pasti punca majoriti rakyat Malaysia masih belum mendaftar untuk vaksin Covid-19.

Dilaporkan juga KKM menyasarkan 70 hingga 80 peratus rakyat Malaysia mendaftar untuk program imunisasi itu, namun setakat ini hanya 7.6 juta daripada 26.7 juta telah mendaftar melalui aplikasi MySejahtera.

Dr Kuljit berkata terdapat kira-kira 210 hospital swasta di negara ini dengan 152 ahli APHM yang semuanya berada di kedudukan strategik di seluruh negara termasuk bandar utama di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata terdapat 1.1 juta kemasukan di hospital swasta dan 3.8 juta lawatan pemeriksaan pesakit luar pada 2018.

“Kami percaya dengan jumlah ini, usaha kami untuk mendapatkan lebih ramai rakyat dan penduduk lain di negara ini yang berdaftar untuk vaksin akan meningkatkan program vaksinasi,” katanya.

Menurut kenyataan itu, APHM juga diharap dapat membantu pesakit di hospital swasta dengan program vaksinasi dan hospital swasta juga dapat memulakan program vaksinasi swasta selari dengan petugas barisan hadapan ekonomi sebaik sahaja ketersediaan vaksin tercapai.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hospital swasta sedia kerjasama jayakan program vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 16 FEB: Hospital swasta sedia bekerjasama dengan kerajaan untuk menjayakan program imunisasi Covid-19 kepada orang ramai dalam usaha mempercepatkan proses berkenaan.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) Datuk Dr Kuljit Singh berkata pihaknya sedang menunggu untuk berbincang mengenai mekanisme pemberian vaksin memandangkan ramai yang bersedia mendapatkan suntikan di hospital swasta.

“Ini adalah perkhidmatan yang kami boleh sediakan kepada awam, bagaimanapun kami masih menunggu arahan selanjutnya. Kami akan bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk memastikan semua barisan hadapan mendapatkan vaksinasi daripada sektor perkhidmatan kesihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Kuljit berkata petugas kesihatan di hospital swasta akan menerima suntikan vaksin serentak dengan petugas kesihatan di hospital kerajaan dan menyatakan penghargaan kepada kerajaan atas usaha berkenaan.

APHM juga menggesa warganegara yang sesuai untuk menerima vaksin supaya mendapatkan suntikan masing-masing.

Menurut kenyataan itu, vaksin itu selamat dan kemungkinan komplikasi jangka panjang Covid-19 terhadap aspek kesihatan jauh lebih teruk berbanding kesan sampingan daripada vaksin.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lewat lapor kes Covid-19: JKNS adakan libat urus dengan klinik, hospital swasta

SHAH ALAM, 8 FEB: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor mengadakan sesi libat urus dengan klinik dan hospital swasta di negeri ini bagi mengatasi masalah kelewatan dalam melaporkan kes positif Covid-19.

Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata langkah itu dilihat lebih berkesan berbanding mengenakan denda kepada klinik dan hospital swasta yang lewat melaporkan keputusan Covid-19.

Sebelum ini, media melaporkan peningkatan mendadak kes baharu Covid-19 disebabkan pelaporan lewat kes ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC).

“Kita memerlukan kerjasama daripada klinik dan hospital swasta untuk mengatasi penularan pandemik Covid-19. Kini jumlah kes yang lewat dilaporkan berkurangan dan ini merupakan langkah positif kerana kerjasama daripada semua adalah penting berbanding penguatkuasaan.

“Bagaimanapun, sekiranya perkara berkenaan (lewat lapor) masih lagi berlaku, kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya kepada pemberita selepas meninjau hari pertama pengoperasian Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Malawati, hari ini.

Turut hadir Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor Dr Siti Mariah Mahmud.

Mengulas mengenai operasi CAC Stadium Malawati, Dr Sha’ari berkata seramai 80 kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Petaling bertugas setiap sehari bagi melakukan penilaian terhadap pesakit Covid-19.

“CAC Stadium Malawati ini boleh mengendalikan 1,500 pesakit sehari. Mengikut janji temu yang dibuat hari ini, kira-kira 1,000 pesakit akan hadir ke sini dan kita jangka seramai 300 lagi pesakit akan datang ke sini secara walk-in,” katanya.

Baru-baru ini, media melaporkan peningkatan kes Covid-19 di Selangor antaranya berpunca daripada klinik dan hospital swasta yang tidak melaporkan kes positif pada hari yang sama melalui Sistem Makmal Kesihatan Awam (Simka).

Sementara itu, Dr Siti Mariah pula berkata pihaknya dan Kementerian Kesihatan berbincang untuk melaksanakan beberapa langkah bagi memudahkan klinik dan hospital swasta melaporkan kes positif Covid-19.

“Kami sedang berusaha untuk mewajibkan klinik dan hospital swasta yang menjalankan ujian saringan Covid-19 menggunakan aplikasi SELangkah kerana aplikasi berkenaan boleh memuat naik keputusan ujian Covid-19 secara terus ke Simnka. Namun, usaha ini melibatkan banyak pihak dan kita sedang berbincang mengenainya,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bantu atasi kesesakan, hospital swasta kini sedia rawat pesakit Covid-19

KUALA LUMPUR, 2 FEB: Fasiliti kesihatan di hospital swasta kini bersedia menerima sejumlah pesakit Covid-19 bagi membantu mengurangkan kesesakan pesakit-pesakit Covid-19 yang kini mula memenuhi fasiliti kesihatan kerajaan.

Pengerusi Nexus Penjagaan Kesihatan Swasta (PHPN) Datuk Dr Jacob Thomas berkata hospital swasta menyediakan sebanyak 71 unit ventilator kepada hospital kerajaan di seluruh negara ketika kes yang direkodkan di Unit Rawatan Intensif (ICU) dan Unit Rawatan Koronari (CCU) telah mula menunjukkan penurunan dan ia disahkan Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) Datuk Dr Kuljit Singh, baru-baru ini.

Menurut Dr Jacob, penyedia kesihatan swasta sentiasa menyokong arahan dan usaha kerajaan dalam menangani apa sahaja situasi berkaitan penjagaan kesihatan di Malaysia, lebih-lebih lagi ketika negara diuji dengan peningkatan kes Covid-19 setiap hari.

“Selain itu, terdapat juga pesakit bukan Covid-19 yang dipindahkan ke hospital swasta contohnya pesakit yang perlu menjalani ujian dialisis dan pembedahan. Ini bagi mengurangkan risiko jangkitan dan membantu meningkatkan lagi kapasiti wad dan katil di hospital kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba pada 28 Januari lepas berkata penglibatan hospital swasta untuk menguruskan pesakit Covid-19 adalah antara langkah yang telah diambil kementerian bagi menangani peningkatan kes Covid-19.

Sementara itu, Dr Jacob berkata antara langkah yang diambil PHPN dalam membantu kerajaan termasuk menyediakan pusat saringan di hospital swasta serta ujian calitan kepada pekerja-pekerja asing dan setakat ini sebanyak 130 fasiliti swasta menyediakan pusat saringan Covid-19.

“PHPN juga mengambil langkah lebih awal semasa negara dilanda wabak ini dengan mewujudkan model ‘Public-Private Partnership’ (PPP) untuk merangsang penglibatan pihak swasta dan menambah baik mutu perkhidmatan kesihatan yang diberikan oleh kerajaan,” katanya.

Jelasnya, melalui perubahan yang sistematik dan holistik, hospital swasta mampu memaksimumkan sumber daripada pelbagai sudut seperti peralatan, teknologi, kepakaran dan penjagaan pesakit.

“Semua ini, dapat menyumbang kepada peningkatan produktiviti di hospital kerajaan dengan para barisan hadapan kini berdepan tekanan fizikal dan mental dalam mendepani situasi yang sangat mencabar ini,” katanya.

PHPN merupakan inisiatif peningkatan produktiviti yang diterajui oleh sektor swasta dan disokong Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

-BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Masa tepat hospital kerajaan-swasta ganding bahu tangani Covid-19

Oleh Shanika Abdullatib

KUALA LUMPUR, 27 JAN: Peruntukan RM100 juta bagi meningkatkan kerjasama antara kerajaan dan hospital swasta seperti diumumkan dalam Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) seolah memberi ‘nyawa’ kedua buat benteng utama negara dalam menangani pandemik Covid-19.

Biarpun jumlah insentif yang diperuntukan itu mungkin ‘jauh’ daripada angka yang diperlukan, namun komitmen yang merentasi aspek keuntungan itu diyakini berupaya meringankan bebanan sektor kesihatan awam yang semakin tenat, akibat peningkatan besar kes baharu koronavirus maut ini.

Bukan sahaja sanggup menerima rujukan pertukaran dan merawat pesakit bukan Covid-19 dari hospital kerajaan ke hospital swasta, malah komitmen beberapa buah hospital swasta seperti yang diumumkan oleh Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) sudah pastinya melegakan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Sehingga 25 Januari 2021, terdapat 210 hospital swasta berlesen, di mana 129 hospital swasta menawarkan perkhidmatan pesakit dalam (inpatient) bagi bidang Perubatan Dalaman (internal medicine). Daripada jumlah tersebut, 96 hospital swasta telah bersetuju untuk menyediakan rawatan Covid-19 di mana jumlah katil setakat ini adalah 1,252 katil, 65 katil ICU, dan 54 mesin ventilator.

Berkongsi beban

Menganggap sudah tiba masanya ‘berkongsi tanggungjawab’ untuk mengurangkan beban petugas barisan hadapan kesihatan kerajaan yang saban hari ‘berperang’ untuk melandaikan lengkungan kes positif Covid-19, presiden dan pengarah urusan KPJ Healthcare Bhd, Ahmad Shahizam Mohd Shariff, percaya ia perkara paling terbaik dilakukan memandangkan keadaan sekarang amat genting.

Kakitangan Hospital Pakar KPJ Ampang menyimpan sampel ujian untuk dihantar ke makmal selepas mengendalikan saringan Covid-19 secara pandu lalu pada 9 April 2020. Foto BERNAMA

“KPJ memandang positif keputusan kerajaan ini dan bersedia melakukan persiapan di hospital kami untuk menerima pemindahan pesakit bukan Covid-19 daripada hospital kerajaan.

“Kami faham dan bersedia berganding bahu memandangkan situasi tersebut dijangkakan apabila keadaan di hospital kerajaan semakin mendesak dengan kebanjiran pesakit Covid-19,” katanya yang dihubungi Bernama baru-baru ini.

Malah Ahmad Shahizam berpendapat, gabungan tersebut dilihat amat perlu supaya masyarakat dapat kembali kepada kehidupan yang sihat dan selamat.

Tidak menolak akan ada pihak yang akan mempertikaikan mengapa perlu insentif tersebut diberikan memandangkan hospital swasta mempunyai platform menjana pendapatan tersendiri, Ahmad Shahizam menegaskan, kini bukan masanya untuk mengaut keuntungan semata-mata kerana isu utama di sini adalah tanggungjawab kemanusiaan sejagat.

“Kami secara bertanggungjawab cuba mengimbangi kedua-duanya, malah kami sedia memainkan peranan demi keperluan negara. Ini kerana kami sedia maklum dengan kapasiti kemampuan kewangan pesakit hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang disenarai pilih untuk dipindah rawat ke hospital swasta.

Bukan mengaut keuntungan

“Jadi, keuntungan yang mungkin terhasil daripada transaksi ini dijangka adalah minimum dan bergantung kepada perjanjian kerjasama antara KKM dengan pihak hospital swasta,” jelas Ahmad Shahizam.

Untuk itu, pihaknya akan bekerjasama dalam mengenal pasti pesakit yang layak untuk dirujuk dan dipindah rawat ke hospital swasta.

Pelbagai aspek klinikal akan diberikan keutamaan, contohnya, tahap kritikal pesakit untuk mendapatkan rawatan atau membuat prosedur serta tahap kestabilan pesakit untuk dipindah rawat.

Mengulas mengenai tahap kesiapsiagaan, beliau menjelaskan KPJ mempunyai kapasiti yang diperlukan untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuklah kemudahan ‘pengasingan’ (isolation) di wad dan Unit Rawatan Rapi (ICU).

Selain wad khas, bantuan lain termasuk peralatan hospital, kepakaran klinikal seperti doktor pakar, jururawat terlatih serta tenaga pakar dan ini dilihat memberi kelebihan untuk menguruskan pesakit Covid-19 di fasiliti mereka.

“Dengan semua kemudahan ini, kami mampu memberi komitmen dalam membantu pihak KKM dan bersedia menerima pesakit yang didapati positif Covid-19 tahap 1 hingga 2. Dalam masa yang sama, kami akan terus mempertingkatkan kesiapsiagaan keselamatan klinikal di hospital kami,” katanya.

Tambah kelengkapan, kepakaran

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL), Erica Lam, (she) turut senada malah melihat insentif PERMAI yang diumumkan itu sangat membantu memandangkan semua hospital di Malaysia memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi untuk beroperasi tanpa mengira hospital kerajaan atau swasta.

Pelawat Hospital Pakar KPJ Seremban, Negeri Sembilan dikehendaki menggunakan cecair pembasmi kuman sebelum memasuki premis tersebut pada 22 Mac 2020. Foto BERNAMA

“Apa yang membezakan kedua-dua perkhidmatan ini adalah sumber kewangan mereka. Hospital kerajaan mendapat peruntukan penuh kerajaan untuk menjalankan operasi manakala hospital swasta bergantung kepada pesakit dan peruntukan tertentu daripada kerajaan seperti rebat cukai dan sebagainya.

“Perbelanjaan kami semuanya ditanggung menerusi pendapatan kami sendiri seperti kos penyelenggaraan, kos pembelian dan juga sumber manusia. Sama seperti perniagaan lain, kami juga terjejas teruk dengan pengurangan pesakit ke hospital kami. Malah industri pelancongan kesihatan juga terjejas teruk apabila negara kita mengehadkan bilangan pesakit dari luar negara,” katanya.

Beliau menegaskan, keadaan itu bagaimanapun tidak menghalang pihaknya untuk bekerja keras bagi menanggung kos penyelenggaraan yang semakin meningkat, menyediakan kelengkapan saringan dan sanitasi untuk memastikan semua pesakit dan pelawat yang datang ke PHKL dapat menerima rawatan dalam suasana yang selamat.

Pasukan khas bantu pantau pesakit

Menurut Erica, PHKL turut menubuhkan pasukan khas yang dipanggil Pasukan Penilaian Covid-19 di Rumah (Home Assessment Team) atau CHAT untuk memantau setiap hari pesakit kategori 1 dan 2 yang mendapatkan rawatan di fasiliti mereka, menerusi panggilan telefon.

Di samping menyedia serta menyelenggarakan sebuah wad khas yang dilengkapi peralatan bantuan pernafasan untuk menerima pesakit Covid-19, PHKL juga turut menyediakan satu ambulans khas untuk pesakit Covid-19 supaya pesakit bukan Covid-19 berasa lebih yakin untuk terus datang ke PHKL untuk mendapatkan rawatan.

“Bagi kes bukan berkaitan Covid-19 juga, PHKL dengan hati terbuka akan membantu hospital kerajaan dalam menangani kes perubatan yang tertangguh sebagai sebahagian daripada usahasama antara hospital kerajaan dan hospital swasta. Kes-kes yang memerlukan rawatan lanjut seperti jantung dan kanser adalah kes yang boleh dirujukkan ke PHKL.

“Jadi, menerusi usahasama seperti ini, hospital kerajaan mempunyai kapasiti lebih besar untuk menangani kes lebih berat seperti Covid-19,” jelasnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

96 hospital swasta setuju sediakan rawatan Covid-19

SHAH ALAM, 27 JAN: Sebanyak 96 hospital swasta yang menawarkan perkhidmatan bagi perubatan dalaman bersetuju menyediakan rawatan untuk pesakit Covid-19.

Ketua pengarah kesihatan berkata persetujuan itu melibatkan tambahan 1,252 katil, 65 katil unit rawatan rapi (ICU) serta 54 mesin ventilator.

“Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan, Bank Negara Malaysia dan industri insurans sedang memperhalusi mekanisme pembayaran di hospital swasta,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan.

Sementara itu, beliau memaklumkan kerajaan akan mengoptimumkan kapasiti makmal sedia ada di jabatan kerajaan dan universiti awam bagi tujuan pengujian serta pengesanan pandemik secara berskala besar.

Katanya, bangunan kerajaan yang sesuai di setiap negeri dan daerah pula akan dijadikan sebagai pusat pengambilan ujian saringan.

“Aspek kenderaan akan diselaraskan agar lebih bersepadu dan teratur selain jururawat swasta, peralatan perlindungan diri (PPE) dan ubat dimobilisasikan mengikut keperluan hospital,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Hospital swasta setuju rawat pesakit Covid-19 – PM

SHAH ALAM, 18 JAN: Hospital swasta bersetuju menerima pesakit Covid-19 bagi menampung peningkatan kes positif, kata perdana menteri.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata persetujuan tersebut hasil semangat kerjasama dengan matlamat meringankan tekanan kepada sistem kesihatan awam negara.

“Justeru kerajaan bersetuju memperuntukkan RM100 juta bagi menjayakan matlamat ini,” katanya pada pengumuman khas Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata kerajaan turut menambah lebih 3,500 kakitangan kesihatan yang bakal bertugas hujung bulan ini melibatkan peruntukan RM150 juta.

“Petugas kesihatan ini terdiri penolong pegawai perubatan, paramedik, juru teknologi makmal dan jururawat. Saya memberi jaminan sekiranya terdapat keperluan akan datang, kerajaan bersedia membuat pengambilan baharu,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

CAP terima aduan hospital swasta kenakan caj SOP Covid-19

GEORGE TOWN, 17 SEPT: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menerima aduan terdapat hospital swasta mengenakan caj perkhidmatan bagi tatacara operasi piawai (SOP) Covid-19 ke atas pesakit.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata tindakan sedemikian tidak seharusnya dikenakan ke atas pesakit kerana prosedur tersebut disifatkan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihak hospital walaupun SOP dikuatkuasakan di mana-mana termasuk di hospital dan klinik.

“CAP telah menerima aduan sesetengah hospital mengenakan caj RM5 kepada pesakit mereka bagi pelaksanaan SOP itu dan kami tertanya-tanya kenapa mereka berbuat demikian.

“Ini nampaknya hanya pesakit dikenakan caj kerana terdapat bil untuk dimasukkan kos.. Justeru, kami menggesa pihak hospital supaya mempertimbangkan peruntukan perkhidmatan seperti pemeriksaan suhu badan dan peruntukan pembersih tangan kerana ia menjadi sebahagian daripada CSR mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, jika caj tersebut dihujahkan bahawa ia adalah kos tambahan, perkara itu turut sama dilaksanakan dalam semua industri namun masih mampu untuk mematuhi SOP dan perlu ada sifat pemurah dalam keadaan seperti masa kini.

“Kami menggesa semua hospital dan klinik yang mengenakan caj bagi pelaksanaan SOP supaya berhenti segera daripada berbuat demikian.

“Alasannya ialah jika tiada keperluan bagi memenuhi SOP, adakah hospital atau klinik mengambil risiko membenarkan pesakit Covid-19 memasuki premisnya?” katanya.

-BERNAMA