Categories
AGENDA NASIONAL

Isu kesihatan mental kanak-kanak perlu diberi perhatian

KUALA LUMPUR, 21 JUN: Isu kesihatan mental kanak-kanak perlu diakui dan ditangani dengan betul kerana mereka juga mampu mengalami masalah yang sama seperti orang dewasa

Penaung Befrienders Kuala Lumpur Tan Sri Lee Lam Thye berkata meskipun terdapat perbincangan intensif mengenai kesihatan mental sejak beberapa tahun lepas, kebanyakannya memfokus kepada kesejahteraan mental orang dewasa.

“Ini sesuatu yang baik memandangkan betapa tabunya subjek penyakit mental…. tetapi inilah masanya untuk kita mengakui kepentingan kesihatan mental bagi kanak-kanak mahupun orang dewasa.

“Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019, sejumlah 424,000 kanak-kanak didapati bergelut dengan isu kesihatan mental… Ini adalah sesuatu yang membimbangkan kita semua dan isu ini perlu ditangani dengan betul kerana kanak-kanak adalah masa depan dan harapan kita,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kemampuan untuk menyedari bahawa seorang kanak-kanak memerlukan bantuan adalah penting kerana intervensi awal boleh meningkatkan kesejahteraan mereka, dan dengan penjagaan serta rawatan yang betul, kebanyakan isu kesihatan mental boleh dirawat.

Lee berkata ibu bapa memainkan peranan penting dalam memastikan kesejahteraan mental anak-anak mereka, termasuk menyediakan persekitaran di rumah yang penuh dengan kasih-sayang dan penjagaan selain menggalakkan perbualan sihat dengan mendengar secara aktif serta membenarkan mereka bercakap tanpa bersikap menghakimi dan kritikal.

“Mereka akan bersikap lebih terbuka untuk bercakap mengenai masalah mereka, termasuk perasaan yang sukar dan tidak selesa, serta meminta bantuan sekiranya mereka berdepan kesulitan pada masa akan datang.

“Jika anda bimbang dengan kesihatan mental anak anda, mintalah bantuan… bercakap dengan orang yang profesional seperti psikiatri atau kaunselor,” katanya sambil menambah Befrienders KL menawarkan sokongan emosi kepada sesiapa yang berasa tertekan atau ingin bunuh diri, dengan menghubungi talian bantuan 24 jam mereka di 03-7627 2929.

Lee berkata persekitaran sihat di sekolah juga amat penting kerana kanak-kanak menghabiskan banyak masa di sekolah setiap hari dan mereka perlu dilengkapi kemahiran bagaimana menangani tekanan secara berkesan, menyelesaikan masalah dan membina ketahanan diri.

Beliau berkata dengan menggabungkan kesemua elemen ini dalam silibus sekolah membantu meningkatkan kesihatan mental kanak-kanak manakala tenaga pengajar boleh membantu menjadikan sekolah tempat lebih selamat dengan mengawasi insiden buli kerana ia boleh menjejaskan kesihatan mental kanak-kanak dan boleh membawa kepada insiden bunuh diri.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Adu masalah ke Befrienders percuma mulai 1 Ogos

PUTRAJAYA, 24 JUL: Panggilan ke talian Befrienders adalah percuma bermula 1 Ogos ini.

Ia hasil inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) yang berganding bahu dengan lapan syarikat telekomunikasi dalam menyokong usaha kerajaan untuk meningkatkan kesedaran mengenai tanggungjawab masyarakat dalam menangani isu kesihatan dan kestabilan emosi dalam kalangan rakyat Malaysia.

Syarikat telekomunikasi yang terlibat ialah Celcom Axiata Berhad, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Maxis Berhad, Telekom Malaysia Berhad, TIME dotcom Berhad, U Mobile Sdn Bhd, Webe Digital Sdn Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd, menurut SKMM dalam satu kenyataan hari ini.

Befrienders, pertubuhan bukan berasaskan keuntungan, menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.

Pengerusi SKMM, Al-Ishsal Ishak dalam kenyataan itu berkata, gejala membunuh diri boleh dicegah dan dibanteras dengan adanya usaha kolektif daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk kerajaan dan pemain industri.

“Antara langkah utama yang perlu diambil adalah dengan menghapuskan stigma dalam kalangan masyarakat terhadap penyakit mental dan gejala bunuh diri melalui akses kepada talian Befrienders, yang kini percuma untuk mendapatkan khidmat nasihat, kaunseling dan bantuan emosi.

“Sementara kita maju bersama digitalisasi, satu usaha sama untuk memanfaatkan media sosial dan teknologi baharu dalam mengenal pasti mereka yang berisiko tinggi boleh diterokai,” katanya.

Menurut SKMM, pengumuman berkenaan tepat pada masanya dan selaras dengan saranan Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo baru-baru ini yang menyeru bahawa tiada sesiapapun yang dikecualikan dalam peralihan negara ke arah era digital.

Pemanggil boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi kepada para sukarelawan terlatih di Befrienders. Semua perbualan adalah rahsia.

Befrienders boleh dihubungi di talian 03-7956 8145/8144 atau e-mel kepada [email protected] untuk bantuan. Butiran lanjut mengenai Befrienders di negeri-negeri lain boleh didapati di laman sesawang www.befrienders.org.my . – BERNAMA