Categories
NASIONAL

Pesakit beguk disaran elak aktiviti ziarah pada Aidilfitri

 

KUALA TERENGGANU, 27 Mei: Penularan penyakit beguk di Terengganu terus meningkat kepada 214 kes setakat 21 Mei berbanding 114 kes pada awal bulan ini, kata Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohd Jusoh.

Dr Mohd berkata jumlah itu adalah peningkatan hampir 100 peratus kes beguk dalam tempoh hanya tiga minggu.

“Sebolehnya, kami berharap agar pesakit dapat mengelak aktiviti ziarah sepanjang Aidilfitri jika masih mempunyai tanda atau gejala beguk ini. Pesakit dinasihatkan untuk memakai penutup hidung dan mulut bagi mengelakkan penularan kes.

Keluarga pesakit juga perlu segera membawa anggota keluarga ke klinik yang berdekatan jika ada antara mereka yang mempunyai tanda atau gejala mumps (beguk),” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata pesakit beguk juga dinasihatkan memakai penutup mulut dan hidung selama sembilan hari dari hari pertama bermulanya bengkak kelenjar, malah pesakit perlu mengamalkan etika batuk dan bersin yang betul bagi memastikan virus itu tidak tersebar kepada orang lain.

Dr Mohd berkata kes beguk yang berlaku setakat ini menular di sekolah berasrama penuh, madrasah dan sekolah pondok.

“Ketika berada di sekolah, mereka telah dikuarantinkan oleh pengurusan sekolah, jadi kita berharap langkah kuarantin ini diteruskan pihak keluarga pesakit sepanjang mereka berada di rumah.

“Pesakit perlu palingkan muka dari makanan dan orang lain apabila batuk dan bersin. Mereka juga perlu menutup hidung dan mulut dengan tisu atau sapu tangan ketika batuk dan bersin.

Seterusnya, tisu itu mesti dibuang dalam bakul sampah manakala sapu tangan yang sudah digunakan tidak boleh dikongsi dengan individu yang lain. Amalan kebersihan seperti ini diharap dapat mencegah penularan kes beguk di Terengganu,” katanya. -BERNAMA

Categories
SELANGOR

Jangkitan beguk, murid SK Bukit Sentosa stabil

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 13 NOV: Kesemua 14 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Sentosa yang dijangkiti virus beguk kini berada dalam keadaan stabil.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, kesemua pesakit dikuarantin bagi mengelakkan virus itu dari terus tersebar.

Katanya, kesemua kanak-kanak berkenaan mendapatkan rawatan lanjut selepas pihak pengurusan sekolah memaklumkan perkara tersebut kepada Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Selangor, pada 8 November lalu.

“Kesemua 14 murid yang berumur dari 10 hingga 12 tahun itu berada dalam keadaan stabil, tapi kami mahu mereka duduk di rumah sahaja kerana virus beguk ini begitu mudah dijangkiti,” katanya.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, enam bilik darjah di SK Bukit Sentosa juga diarahkan tutup selama dua minggu sementara kesemua peratalan dalam kelas tersebut dibersihkan.

Katanya, beguk merupakan penyakit disebabkan virus Paramyxovirus dan menyebabkan pembengkakan dan rasa sakit pada kelenjar parotid.

“Tanda dan wabak jangkitan bermula selepas 12 hingga 25 hari berhubungan dengan orang yang dijangkiti. Sesetengah orang yang dijangkiti beguk tiada tanda-tanda awal.

“Mereka berkemungkinan menghadapi demam, sakit kepala, mulut kering dan hilang selera, keletihan dan pembengkakan pada satu atau kedua-dua kelenjar parotid,” katanya.

Categories
NASIONAL

KKM: Jangan benarkan anak dijangkiti beguk ke sekolah

GEORGE TOWN 8 OKT: Kementerian Kesihatan menasihatkan ibu bapa supaya tidak membenarkan anak yang dijangkiti beguk ke sekolah kerana bimbang penyakit itu menjangkiti murid lain.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata walaupun penyakit beguk merupakan gejala ringan, namun ia boleh berjangkit kepada kanak-kanak yang belum mempunyai sistem imuniti tubuh yang kuat.

“Orang ramai tidak perlu bimbang kerana pejabat kesihatan di daerah sedang mengambil langkah tambahan untuk mengawalnya daripada merebak.

“Cuma saya nak nasihatkan ibu bapa agar tidak membawa anak mereka ke kawasan orang ramai atau tempat terbuka terutamanya sekolah,” katanya lapor BERNAMA.

BegukDr Hilmi berkata orang ramai yang mengalami penyakit beguk diminta mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan bagi mengelak ia menjadi lebih teruk.

“Paling penting bagi kanak-kanak adalah mereka perlu mendapatkan rawatan segera di klinik jika dijangkiti penyakit beguk kerana sistem imuniti mereka masih belum kuat,” katanya.

Kementerian Kesihatan menafikan dakwaan yang tular di media sosial bahawa penyakit beguk membabitkan murid di Putrajaya berpunca daripada jemaah haji yang baru kembali dari Tanah Suci.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya pada 15 September lepas mengesahkan kes beguk membabitkan 11 murid Sekolah Kebangsaan Presint 11, Putrajaya yang dilaporkan pada 25 Julai lalu.

Bagaimanapun, sejumlah 17 kes lagi dilaporkan selepas itu, membabitkan sekolah sama dan dua sekolah lain.

Beguk disebabkan oleh jangkitan virus ‘Paramyxovirus’ dan menyebabkan pesakit mengalami demam, sakit kepala, sakit otot, keletihan, hilang selera makan dan bengkak serta sakit di kelenjar parotid (kelenjar air liur).

=EZY=