Categories
PBT SELANGOR

Dua individu didenda parkir lori tepi jalan, bela anjing tanpa lesen

SHAH ALAM, 8 APRIL: Dua individu di Kuala langat disaman RM1,500 atau sebulan penjara selepas didapati bersalah meletakkan lori di bahu jalan dan membela anjing tanpa kebenaran.

Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) berkata pesalah pertama iaitu pengusaha syarikat pengangkutan didakwa meletakkan lori melebihi 2 tan metrik di bahu jalan di kawasan Taman Sri Putra, Banting.

“Dia didakwa di bawah Undang-Undang Kecil 7(1), Undang-Undang Kecil Taman (MDKL) 2005.

“Individu kedua pula didakwa di bawah Undang-Undang Kecil 3(1), Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing (MDKL) 2007 iaitu memelihara dan menyimpan anjing tanpa lesen di Taman Yayasan, Jenjarom,” menurut kenyataan di Facebook.

Kedua-dua pendakwaan dilakukan Ketua Pegawai Pendakwa MPKL Tuan Hasrizal Abdul Rahim di hadapan Majistret Mahkamah Telok Datok, Tuan Saifuddin Rafiee hari ini.