Categories
SELANGOR

Selangor biaya kos naik taraf surau kampung

Oleh: NAZLI IBRAHIM

AMPANG, 18 SEP: Surau di kampung tradisi seluruh Selangor akan dibina semula dengan reka bentuk baru yang standard dengan pembiayaan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata kos pembinaan itu terkandung di dalam Belanjawan 2016 yang bakal diumumkan pada 30 Oktober nanti.

MB Azmin“Kita sedang merangka Belanjawan 2016 dan sedang meneliti untuk membangunkan surau-surau di kampung tradisi yang sebahagian besarnya sudah uzur dan perlu dibangunkan semula,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Penyampaian Sumbangan bernilai RM43,000 kepada Masjid Jami’ilhuda di Kampung Melayu Ampang, di sini, hari ini.

Majlis turut dihadiri, Adun Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz.

Sumbangan tersebut diserahkan kepada Nazir Masjid Jami’ilhuda, Basri Khalid bagi membiayai pembelian permaidani baru dan kegunaan lain.

Mohamed Azmin berkata, masjid dan surau di seluruh Selangor perlu diimarah dengan pengisian dakwah bagi menjamin sebuah masyarakat bertakwa.

-NR-

Categories
SELANGOR

Belanjawan Selangor 2016 dibentang 30 Oktober

Oleh: AFIX REDZUAN

BATU CAVES, 17 SEP: Belanjawan Selangor 2016 akan dibentangkan di Dewan Negeri Selangor (DNS), pada 30 Oktober ini, kata Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, rizab simpanan negeri terkini berjumlah RM3.7 bilion hasil pertumbuhan ekonomi yang baik dengan pertambahan RM400 juta bagi tempoh 10 bulan tahun ini.

IMG_8976Katanya, beliau akan menumpukan kepada program pembangunan rakyat serta menolak segala permohonan baik pulih dan bangunan pejabat untuk Belanjawan 2016 yang masih dalam peringkat perbincangan.

“Saya mengambil ketetapan iaitu sebarang permohonan menubuh atau membangunkan bangunan atau pejabat baru dan ubah suai akan ditolak serta-merta kerana keutamaan adalah pembangunan rakyat. Kita berjaya menolak RM1.1 bilion yang dipohon jabatan dan agensi bagi membangunkan pejabat.

“Dalam suasana ekonomi yang parah, kita perlu berbelanja secara berhemah, bertanggungjawab dan terus memberikan impak positif kepada rakyat bukannya memberi keselesaan kepada segelintir pihak sahaja,” katanya ketika menyampaikan ucaptama Mesyuarat Agung Tahunan PKR Cabang Gombak 2015, di sini, semalam.

Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR, berkata program pendidikan akan menjadi teras belanjawan bagi memastikan rakyat Selangor mendapat pengetahuan berkualiti yang melahirkan modal insan terbaik.

Unisel Konvokesyen 2012 05Katanya, projek perumahan mampu milik turut menjadi agenda utama dalam siri belanjawan kali ini dengan projek pembinaan di kawasan bandar bukannya luar bandar.

“Kerajaan Negeri juga hanya akan memilih industri dan pelaburan berteknologi tinggi sebagai usaha mengurangkan kebanjiran warga asing dan membuka ruang pekerjaan kepada anak tempatan.

“Kita mahu pelaburan yang menggilap potensi anak Selangor supaya mereka akhirnya menjadi pekerja mahir dan mendapat pendapatan besar dan tinggi,” katanya.

-NFN-

MB : Kenaikan elaun guru KAFA dijangka tahun depan

Tiada kenaikan untuk tahun 2015 berikutan Kerajaan Negeri menetapkan tiada bajet tambahan dalam Belanjawan 2015. Namun perkara itu sedang diteliti bagi Belanjawan 2016