Oleh: HAFIZAN TAIB
SHAH ALAM, 9 OKT: Kerajaan digesa tidak mengabaikan golongan wanita dalam pembentangan belanjawan nasional 2015 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak esok.
Ketika rakyat dibebani kos sara hidup yang meningkat dan menjelang pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) April tahun depan, sewajarnya wanita dibela menerusi skim yang dapat membantu mereka mengharungi cabaran hidup masa kini dan mendatang.
Presiden Suara Pengguna Prihatin Malaysia, Normala Sudirman berkata, kenaikan harga minyak dan barangan lain, tarif elektrik dan pelaksanaan GST memberi kesan besar kepada seluruh rakyat golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
“Melalui pembentangan belanjawan 2015 esok, kami berharap kerajaan akan memberi keprihatinan kepada golongan wanita melalui caruman dengan kadar yang ditetapkan setiap bulan agar kebajikan mereka terbela.
“Selain itu, skim pelindungan wanita yang ditimpa musibah dan skim simpanan hari tua bagi golongan wanita khususnya amat perlu untuk kelangsungan kehidupan masa depan,” katanya dalam kenyataan media.
Normala yang juga Timbalan Hal Ehwal Pengguna PAS Pusat berkata, kerajaan dicadangkan mewujudkan skim caruman khas minimum RM10 sebulan dari suami buat surirumah bagi membolehkan mereka memiliki simpanan sekurang-kurang RM15,000 sebagai modal memulakan perniagaan kecil apabila kematian suami.
Katanya, kerajaan juga boleh merancang skim seperti membuat caruman minima RM50 setiap bulan kepada surirumah sebagai tanda penghargaan kepada golongan itu yang mendidik anak-anak dan menjaga kesejahteraan keluarga.
“Keprihatinan kerajaan terhadap nasib ibu tunggal yang terpaksa menyara persekolahan anak-anak akibat kehilangan suami juga menuntut satu skim secara sistematik agar kehidupan mereka sempurna dengan pelbagai insentif diberikan di samping menyediakan peluang pekerjaaan bersesuaian tanpa bekerja hingga larut malam yang akhirnya menyebabkan keselamatan mereka terancam.
“Saya sering memikirkan keselamatan mereka yang bekerja di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan tol lebuh raya serta juruwang di kedai dan premis perniagaan selepas jam 12 malam. Adalah lebih baik waktu kerja lebih anjal dan fleksibel diberikan kepada mereka agar keselamatan lebih terjamin,” katanya yang mencadangkan wanita berkerja pada waktu siang dan sebelum 12 malam.
Normala berkata, golongan pengguna wanita pasti akan menerima kesan dengan bebanan berantai terutama golongan peneroka, petani dan peniaga yang pasti berdepan dengan penurunan harga sawit, getah dan GST yang memiskinkan rakyat.
“Kenaikan 6 peratus cukai GST pasti akan menambah beban rakyat. Justeru adalah diharapkan kerajaan tidak meminggirkan kebajikan kaum ibu, anak-anak remaja wanita dan ibu tunggal apabila pembentangan belanjawan 2015 dibuat esok,” kata Pengerusi Lajnah Pengguna Dewan Muslimat PAS itu.
HM