Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB ucap tahniah kepada beregu lelaki negara

SHAH ALAM 31 JULAI: Dato’ Menteri Besar merakam ucapan tahniah buat gandingan beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang memperoleh pingat gangsa pertama Malaysia dalam Olimpik Tokyo.

Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook berkata pasangan berkenaan mempamerkan permainan yang bertenaga dan cukup menghiburkan.

“Kejayaan yang amat membanggakan. Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada para atlet dan pasukan Malaysia untuk terus mengutip pingat dan memenangi pingat emas yang dinanti-nanti.

“Kemenangan beregu negara ini yang menewaskan ‘The Minions’ dan ‘The Daddies’, beregu nombor satu dan dua dunia tentunya menjadi detik manis bagi pasangan yang pertama kali beraksi di Sukan Olimpik,” katanya.

Aaron Chia-Wooi Yik memperoleh pingat gangsa, pingat pertama Malaysia dalam Olimpik Tokyo selepas lebih dari seminggu temasya sukan terbesar di dunia itu dibuka secara rasmi pada 23 Julai lalu.

Mereka menundukkan Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia dengan keputusan 17-21, 21-17, 21-14 dalam aksi hampir satu jam di Musashino Forest Sport Plaza.

Sebelum ini beregu nombor satu negara itu mara ke separuh akhir dengan mengatasi beregu dunia Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Fernaldi Gideon dari Indonesia menerusi kemenangan 21-14, 21-17.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Kejutkan pasangan Indonesia, Aaron Chia-Wooi Yik ke separuh akhir

TOKYO, 29 JULAI: Pasangan regu lelaki badminton negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya melangkah mara ke peringkat separuh akhir dengan penuh bergaya apabila mereka mengejutkan pilihan pertama dari Indonesia, Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Fernaldi Gideon di Olimpik Tokyo di sini, hari ini.

Aaron-Wooi Yik, pilihan kesembilan temasya sukan, dilihat jelas bekerja keras menyerang pasangan Indonesia itu untuk menewaskan mereka dengan straight sets, 21-14, 21-17, dalam masa hanya 33 minit di gelanggang Musashino Forest Sport Plaza.

Apa yang lebih menarik adalah kenyataan bahawa ini merupakan kemenangan pertama Aaron-Wooi Yi ke atas pasangan Indonesia itu selepas lapan perlawanan sebelum ini, sejak pertembungan pertama mereka dalam Terbuka Malaysia 2018.

– BERNAMA