Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB ucap tahniah, pengorbanan Azizulhasni jadi inspirasi seluruh rakyat

SHAH ALAM, 8 OGOS: Dato’ Menteri Besar mengucapkan tahniah kepada jaguh trek berbasikal negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang menghadiahkan pingat perak buat negara menerusi acara keirin lelaki pada temasya Olimpik Tokyo, hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitternya berkata pengorbanan Azizulhasni yang terkenal dengan gelaran “The Pocket Rocketman” dalam menjulang nama Malaysia adalah inspirasi kepada seluruh rakyat.

“Tahniah Dato’ Azizulhasni Awang yang berjaya merangkul pingat perak dalam Olimpik Tokyo 2020.

“Pengorbanan Pocket Rocket Man dalam menjulang nama Malaysia adalah inspirasi kepada seluruh rakyat untuk terus berusaha memberikan yang terbaik demi ibu pertiwi,” katanya.

Dalam saingan peringkat akhir yang penuh dramatik, Azizulhasni melintasi garis penamat untuk pingat perak, sekali gus meleburkan harapannya memenangi pingat emas Olimpik pertama bagi Malaysia.

Dalam perlumbaan itu, penyandang juara Jason Kenny dari Britain meraih pingat emas manakala pelumba Belanda Harrie Lavreysen, merangkul pingat gangsa.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Olimpik: Ratu terjun negara tamatkan saingan di kedudukan ke-12

TOKYO, 5 OGOS: Kesilapan pada terjunan pertama mengundang padah sekali gus menyebabkan ratu terjun negara Pandelela Rinong terlepas peluang meraih sebarang pingat dengan menamatkan kedudukan di tempat ke-12 acara 10 meter (m) platfrom wanita di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Penerjun berusia 28 tahun yang beraksi di Olimpik keempatnya selepas kali pertama pada edisi 2008 di Beijing, jauh ketinggalan selepas kesilapan pada terjunan pertamanya yang hanya meraih 18.00 mata di Pusat Akuatik Tokyo hari ini.

Atlet kelahiran Kuching, Sarawak itu kembali menemui rentak dengan memperoleh 71.05; 60.80; 52.80 dan 43.20 mata dalam setiap terjunan, namun tidak dapat membantu memperbaiki kedudukan di tempat ke-12, sekali gus meranapkan impian pingat buat kem terjun negara.

Tanpa dapat digugat, dua penerjun muda dari China Quan Hongchan, 14, dan Chen Yuxi, 15, terus menguasai acara terjun dengan masing-masing meraih pingat emas dan perak dengan pungutan mata sukar digugat 466.20 dan 425.40 sementara penerjun Australia Melissa Wu memperoleh gangsa dengan 371.40.

Pada edisi kali ini, kem terjun negara pulang dengan tangan kosong selepas berjaya menyumbang pingat di dua temasya terdahulu – pingat gangsa melalui Pandelela dalam acara 10m platform edisi London 2012 dan perak melalui gandingan Pandelela dan Cheong Jun Hoong dalam 10m platfrom seirama di Rio 2016.

Pandelela layak ke separuh akhir semalam, selepas menduduki tempat ke-18 pusingan kelayakan dengan 284.90 mata, manakala rakan senegara Cheong Jun Hoong terkandas dengan menamatkan saingan di kedudukan ke-26 dengan 251.80 mata.

Pandelela adalah satu-satunya harapan kem terjun Malaysia, selepas gandingannya bersama Leong Mun Yee menamatkan kedudukan di tempat kelapan acara 10m platform seirama pada 27 Julai lepas, manakal Nur Dhabitah Sabri di tempat keempat acara 3m papan anjal pada Ahad.

Pandelela muncul atlet wanita pertama Malaysia memenangi pingat di Sukan Olimpik selepas meraih pingat gangsa acara 10m platform wanita pada edisi 2012 di London.

Acara terjun, badminton dan berbasikal trek adalah antara sukan yang disasarkan bakal menyumbang pingat buat kontinjen Malaysia di Olimpik Tokyo.

Pasangan utama lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik meraih pingat gangsa acara beregu lelaki pada Sabtu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Pandelela mara peringkat akhir, teruskan misi buru pingat

TOKYO, 5 OGOS: Ratu terjun negara Pandelela Rinong meneruskan misi memburu pingat di Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas mengesahkan tempat ke final acara 10 meter (m) platform wanita hari ini.

Penerjun berusia 28 tahun itu mengumpul 315.75 mata selepas melengkapkan lima terjunan untuk menduduki tempat ketujuh pada peringkat separuh akhir yang berlangsung di Pusat Akuatik Tokyo.

Pemenang pingat emas Piala Dunia 2021 itu fokus dalam setiap terjunan dilakukannya dengan mengutip 67.50; 59.45; 68.80; 57.60 dan 62.40 mata bagi memastikan beliau kekal berada dalam landasan memburu pingat Olimpik ketiganya.

Hanya 12 daripada 18 penerjun layak ke peringkat akhir yang dijadual berlangsung pada 3 petang waktu tempatan (2 petang waktu Malaysia) hari ini.

China terus mengungguli acara terjun menerusi Quan Hongchan dengan 415.65 mata, diikuti rakan senegara Chen Yuxi (407.75 mata) dan Delaney Schnell dari Amerika Syarikat di tempat ketiga (342.75 mata).

Semalam, atlet kelahiran Sarawak itu menamatkan saingan di tempat ke-18 dalam pusingan kelayakan selepas mengutip 284.90 mata manakala seorang lagi penerjun negara Cheong Jun Hoong terkandas selepas sekadar menduduki tempat ke-26 dengan 251.80 mata.

Pandelela menjadi harapan pingat buat kem terjun negara selepas hanya menduduki tempat kelapan dalam acara 10m platform seirama bergandingan dengan Leong Mun Yee pada 27 Julai, manakala Nur Dhabitah Sabri pula menduduki tempat keempat acara 3m papan anjal wanita.

Pandelela muncul atlet wanita Malaysia pertama berjaya meraih pingat di Olimpik selepas memenangi pingat gangsa acara 10m platform wanita pada edisi 2012 di London, sebelum menyumbang perak acara 10m platform seirama bersama Jun Hoong di Olimpik Rio 2016.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Kejutkan pasangan Indonesia, Aaron Chia-Wooi Yik ke separuh akhir

TOKYO, 29 JULAI: Pasangan regu lelaki badminton negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya melangkah mara ke peringkat separuh akhir dengan penuh bergaya apabila mereka mengejutkan pilihan pertama dari Indonesia, Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Fernaldi Gideon di Olimpik Tokyo di sini, hari ini.

Aaron-Wooi Yik, pilihan kesembilan temasya sukan, dilihat jelas bekerja keras menyerang pasangan Indonesia itu untuk menewaskan mereka dengan straight sets, 21-14, 21-17, dalam masa hanya 33 minit di gelanggang Musashino Forest Sport Plaza.

Apa yang lebih menarik adalah kenyataan bahawa ini merupakan kemenangan pertama Aaron-Wooi Yi ke atas pasangan Indonesia itu selepas lapan perlawanan sebelum ini, sejak pertembungan pertama mereka dalam Terbuka Malaysia 2018.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Olimpik Tokyo: Aksi Zii Jia, Aaron Chia-Wooi Yik jadi tumpuan

TOKYO, 29 JULAI: Acara badminton bakal menjadi tumpuan peminat sukan tanah air pada hari ketujuh Sukan Olimpik Tokyo 2020 hari ini, menampilkan dua wakil negara di peringkat pusingan kalah mati.

Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mara ke pusingan 16 pemain terbaik, setelah mencatat kemenangan kedua berturut-turut selepas membenam pemain Perancis Brice Leverdez 21-17, 21-5 pada aksi terakhir peringkat kumpulan di Musashino Forest Sport Plaza.

Namun, tugas berat menanti Juara All England 2021 itu yang membuat penampilan sulung di pentas Olimpik, apabila dijadual berdepan pemain ranking keenam dunia dan pemenang pingat emas temasya edisi Rio 2016, Chen Long dari China.

Tugas sukar juga menanti beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang diundi bertemu gandingan nombor satu dunia Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Fernaldi Gideon dari Indonesia pada aksi suku akhir, pagi ini.

Pasangan utama negara itu mengesahkan tiket ke suku akhir selaku Naib Juara Kumpulan D selepas menewaskan beregu Kanada, Jason Ho-Shue/Nyl Yakura 21-15, 21-13, pada Selasa.

Dalam pada itu, cabaran pemain perseorangan wanita utama negara Soniia Cheah Su Ya di temasya sukan berkenaan berakhir selepas tumpas di tangan pemain ranking keenam dunia Ratchanok Intanon dari Thailand.

Soniia, 28, yang membuat penampilan sulung di pentas Olimpik dengan lawan pertamanya Laura Sarosi dari Hungary menarik diri akibat kecederaan pada aksi pembukaan Kumpulan N, tumpas kepada bintang Thailand itu, 19-21, 21-18, 21-10.

Di Lapangan Memanah Yumenoshima pagi semalam, jaguh memanah negara Khairul Anuar Mohamad beraksi cemerlang apabila mara ke pusingan ketiga acara Recurve Individu Lelaki selepas mengharungi dua perlawanan mendebarkan.

Pemanah berusia 29 tahun itu yang menghuni ranking ke-15 dunia, terpaksa mengharungi dua saingan “shoot-off” atau satu panahan penentuan dalam aksi penuh dramatik, apabila terikat 5-5 selepas lima set berdepan kedua-dua lawannya itu.

Khairul Anuar, bagaimanapun berdepan tugas berat pada pusingan ketiga pada Sabtu ini (31 Julai) apabila dijadual turun berdepan pemanah Korea Selatan, Kim Woojin yang berada di kedudukan keempat dalam saingan pusingan penentuan ranking, Jumaat lepas.

Pada saingan pusingan pertama pagi semalam, pemanah kelahiran Kemaman, Terengganu itu mengatasi Antti Vikstrom dari Finland sebelum meneruskan aksi bertenaga di pusingan kedua untuk mengetepikan cabaran pemanah China, Wang Dapeng.

Pada kedua-dua aksi penentuan itu, Khairul Anuar yang terkandas pada pusingan kedua pada temasya edisi Rio 2016, melakukan panahan 10 mata maksimum, berbanding lawan beliau, masing-masing dengan sembilan mata.

Sementara itu, atlet pelayaran negara Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali, memulakan aksi yang mengecewakan selepas gandingan itu menamatkan saingan hari pertama acara International 470 Wanita di kedudukan tiga tercorot, semalam.

Bagaimanapun, semangat juang tinggi Nuraisyah yang bertindak sebagai “helm” dan Juni (kru), menyaksikan mereka tetap mengharungi cabaran laut bergelora untuk menamatkan saingan di kedudukan ke-18 dan ke-20, masing-masing dalam perlumbaan pertama dan kedua.

Selepas dua siri perlumbaan, Nuraisyah dan Juni berada di tempat ke-19 dengan 38 mata bersih dan dijadual turun beraksi pada perlumbaan ketiga dan keempat hari ini.

Sementara itu, perenang kebangsaan Phee Jinq En menutup kempen Olimpik Tokyo di tempat kelapan pada saringan pertama acara 200 meter (m) kuak dada wanita, semalam.

Pada acara berlangsung di Pusat Akuatik Tokyo itu, Jinq En menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 2:32.57 saat (s) sekali gus gagal memperbaiki catatan terbaiknya 2:32.38s, ketika beliau memenangi pingat gangsa Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina.

Jinq En, 23, juga gagal untuk layak ke pusingan berikutnya pada penampilan keduanya di Olimpik.

Dalam pada itu, pemain golf profesional negara, Gavin Kyle Green akan memulakan aksi pusingan pertama acara golf individu di Kasumigaseki Country Club, hari ini.

Sementara atlet pelayaran Khairulnizam Mohd Afendy dan Nur Shazrin Mohamad Latif, pula masing-masing akan meneruskan Perlumbaan 7 dan 8 Laser Standard dan Laser Radial di Enoshima Yacht Harbour.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Azizul pencetus inspirasi Shah Firdaus layak ke Olimpik

KUALA LUMPUR, 24 JULAI: Tidak disangka pertemuannya dengan jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang sembilan tahun lepas mencetuskan inspirasi untuk menjejakkan kaki ke temasya Sukan Olimpik satu hari nanti.

Bagi pelumba trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom, peluang bersua muka dan merakam gambar kenangan bersama “The Pocket Rocketman” yang baharu pulang ke tanah air selepas beraksi dari London 2012 ketika itu, amat bermakna dalam perjalanan kariernya sehingga berjaya berkongsi pentas Olimpik bersama Datuk Azizulhasni di Sukan Olimpik Tokyo.

Mengimbau kembali detik indah berkenaan, Muhammad Shah Firdaus berkata pertemuan itu diatur oleh pembantu jurulatihnya ketika itu dikenali sebagai Zamani atau Abang Black.

“Bagi seorang budak lelaki biasa yang sangat suka mengayuh basikal, bersua muka dengan susuk Azizul amatlah bermakna. Sebelumnya hanya mampu melihat dari media dan bersorak dari depan televisyen di dewan makan.

“Pertemuan di detik itu telah menghidupkan api semangat dalam diri budak lelaki berbaju putih ini, menanam cita-cita untuk suatu masa nanti menjejak kaki di sukan temasya terbesar dunia itu,” katanya menerusi satu hantaran beserta dua keping gambar bersama Azizulhasni di laman Instagram hari ini.

Katanya, perjuangan dan perjalanan dialaminya sembilan tahun lepas penuh berliku selain menyifatkan penyertaan di Sukan Olimpik begitu “mahal” baginya seterusnya merealisasikan impiannya menggalas tugas serta cabaran untuk negara tercinta di Jepun bersama Azizulhasni.

“Bermula dari sekilas impian, dengan doa dan usaha, Alhamdulillah, ‘Olympic Dream’ (Impian Olimpik) kian menjadi realiti. Sungguh, realiti ini lebih indah dari mimpi. If you can dream it, you can do it (Jika anda mengimpikannya, anda boleh melakukannya),” kata beliau.

Kedua-dua pelumba berkenaan dijadual mengambil bahagian dalam acara keirin dan pecut individu pada Sukan Olimpik Tokyo yang akan berlangsung di Velodrom Izu bermula 4 Ogos ini.

Sukan Olimpik Tokyo yang membuka tirai secara rasmi semalam akan berlangsung sehingga 8 Ogos ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Terbuka Singapura: Kejohanan kelayakan terakhir badminton ke Tokyo dibatalkan

KUALA LUMPUR, 12 MEI: Terbuka Singapura yang merupakan kejohanan kelayakan terakhir badminton ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 telah dibatalkan, hari ini.

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam satu kenyataan menyatakan, keputusan untuk membatalkan kejohanan yang dijadualkan dari 1 – 6 Jun itu merupakan keputusan bersama antara BWF dan Persatuan Badminton Singapura (SBA).

Kejohanan Super 500 dalam Jelajah Dunia BWF itu, merupakan kejohanan terakhir yang menawarkan mata ranking ‘Race to Tokyo’ (RTT) dalam sesi kelayakan ke Olimpik yang akan berakhir pada 15 Jun.

“BWF mengesahkan yang kejohanan itu tidak akan dijadualkan semula. BWF akan mengeluarkan kenyataan berkaitan kelayakan acara badminton untuk Sukan Olimpik 2020 pada satu tarihk lain,” menurut kenyataan itu lagi.

Badan dunia badminton itu menyatakan, kesemua usaha telah dilakukan oleh penganjur dan BWF dalam memastikan situasi kejohanan yang selamat untuk semua peserta.

“Bagaimanapun, peningkatan kes Covid-19 di seluruh dunia, menyebabkan cabaran yang sukar dalam menguruskan perjalanan masuk ke Singapura. Oleh sebab itu demi kepentingan keselamatan dan kesihatan kesemua pemain, kakitangan kejohanan dan komuniti tempatan, maka kejohanan ini dibatalkan,” menurut kenyataan itu.

Pada Jumaat, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan penangguhan Terbuka Malaysia yang dijadualkan dari 25 – 30 Mei, selepas satu lagi kejohanan dalam RTT iaitu Terbuka India yang dijadualkan 11 – 16 Mei ditangguhkan dua minggu lepas, kedua-duanya akibat peningkatan kes Covid-19.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL SUKANKINI

Tokyo 2020: Pingat diperbuat daripada sisa kitar semula

GLOBAL, 9 FEB: Semua pingat di Sukan Olimpik dan Paralimpik 2020 di Tokyo akan diperbuat daripada sisa elektronik kitar semula, kata penganjur.

Agensi berita BBC melaporkan, satu projek berkaitan telah dimulakan pada 2017 untuk mengumpulkan sisa elektronik yang mencukupi termasuk telefon pintar lama dan komputer riba, bagi menlaksanakannya.

Matlamatnya adalah untuk mengumpul 30.3kilogram (kg) emas, 4,100kg perak dan 2,700kg gangsa.

Penganjur berkata, mereka berada pada landasan untuk mencapai sasaran berkaitan pada Mac ini.

Sasaran untuk gangsa telah dicapai pada Jun tahun lalu manakala penganjur mempunyai lebih daripada 90 peratus emas dan 85 peratus perak menjelang Oktober ini.

Tokyo 2020 akan melancarkan reka bentuk pingatnya tahun ini.

Logam kitar semula telah dikumpulkan dari orang awam Jepun serta perniagaan dan industri.

Menjelang November tahun lalu, 47,488 tan peranti yang dibuang telah dikumpulkan, dengan menyerahkan lebih kurang lima juta unit telefon yang digunakan kepada penyedia rangkaian tempatan.

“Dianggarkan jumlah baki logam diperlukan untuk mengeluarkan semua pingat Olimpik dan Paralimpik boleh diekstrak daripada peranti yang telah didermakan,” kata penganjur Tokyo 2020 dalam satu kenyataan.

Pada Olimpik 2016 di Rio, kira-kira 30 peratus daripada pingat perak dan gangsa datang dari bahan kitar semula.