Categories
AGENDA SUKANKINI

Pandelela sebak mara ke separuh akhir selepas berdepan detik cemas

TOKYO, 4 OGOS: Ratu terjun negara Pandelela Rinong jelas tidak dapat menyembunyikan perasaannya selepas layak ke peringkat separuh akhir acara 10 meter platform wanita di Pusat Akuatik Tokyo, petang ini.

Penerjun berusia 28 tahun itu tidak dapat menahan sebak, sambil mengucapkan syukur kerana mendapat ‘peluang’ beraksi di pentas separuh akhir yang akan berlangsung pada 10 pagi waktu tempatan (9 pagi waktu Malaysia) Khamis (5 Ogos).

Pandelela berkata selepas melakukan terjunan kelima dan terakhir, beliau tidak senang duduk kerana kedudukannya sentiasa berubah sedangkan beberapa penerjun belum membuat terjunan masing-masing.

“Syukur dan terima kasih sangat-sangat kepada mereka yang mendoakan saya (layak ke separuh akhir),” katanya ketika ditemui selepas acara berkenaan.

Pada saingan hari ini, Pandelela yang memenangi pingat gangsa dalam acara itu pada edisi London 2012, mengutip 284.90 mata selepas lima terjunan.

Pandelela berdepan detik cemas sehingga ke penghujung saingan sebelum layak ke separuh akhir apabila kedudukannya sentiasa berubah, sedangkan beberapa penerjun lain belum membuat terjunan masing-masing di pusingan kelima dan terakhir itu.

Penerjun kelahiran Sarawak itu, akhirnya layak apabila menamatkan pusingan kelayakan tersebut di kedudukan ke-18 yang juga slot terakhir ke separuh akhir.

“Saya seperti nak sakit jantung, cemas hari ini. Kedudukan saya turun naik sebab saya layak pun selepas menduduki tempat ke-18,” katanya yang tekad menampilkan aksi terbaik pada saingan separuh akhir esok.

Pandelela berkata beliau berpuas hati dengan dua terjunan awalnya, namun pada terjunan ketiga beliau tidak dapat mengawal pergerakan kerana membuat lonjakan terlalu tinggi sebelum membuat gerakan terjunan.

“Ketika pertandingan macam-macam boleh berlaku kerana kita terlalu teruja. Saya buat apa yang perlu dibuat tetapi lompatan saya pada terjunan ketiga terlalu tinggi daripada biasa, jadi saya tidak boleh kawal terjunan.

“Mujur pada terjunan keempat dan kelima saya dapat membuat terjunan yang baik,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penerjun negara, Cheong Jun Hoong terkandas di pusingan kelayakan selepas menamatkan aksi di tempat ke-26 setelah mengumpul 251.80 mata.

Penerjun China, Chen Yuxi mengungguli saingan kelayakan itu selepas mengumpul keseluruhan 390.70 mata diikuti rakan senegaranya, Quan Hongchan dengan catatan 364.45 mata manakala penerjun Amerika Syarikat Delaney Schnell di tempat ketiga dengan 360.75 mata

Jun Hoong berkata walaupun gagal mara ke peringkat separuh akhir, beliau tetap bangga kerana dapat beraksi di pentas Olimpik kali ini.

Atlet berusia 31 tahun dari Perak itu berkata pelbagai dugaan dihadapinya sebelum dapat beraksi di Tokyo, termasuk hanya dimaklumkan kembali layak ke temasya tersebut pada Jun lepas oleh Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA).

“Bukan senang dapat bertanding di Olimpik, malah perjalanan karier saya dalam tempoh dua, tiga tahun ini pun sukar berikutan kecederaan, nama saya sebelum ini sekejap ada sekejap tiada, itu pun di saat akhir saya boleh beraksi di sini.

“Jadi saya agak kesuntukan masa untuk mempersiapkan diri menghadapi Olimpik kali ini. Apa pun inilah keputusan yang saya peroleh dan tiada siapa perlu dipersalahkan. Saya sudah memberi yang terbaik dan tidak berputus asa hingga ke penghujung pertandingan,” kata juara dunia 2017 itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Olimpik 2020: Atlet memanah negara tumpas di tangan Korea Selatan

TOKYO, 31 JULAI: Perjuangan jaguh memanah negara Khairul Anuar Mohamad di Sukan Olimpik Tokyo berakhir, apabila tumpas kepada pemanah Korea Selatan Kim Woojin pada pusingan ketiga acara Recurve Individu Lelaki, hari ini.

Walaupun menampilkan aksi membanggakan, pemanah kelahiran Kemaman, Terengganu itu masih gagal menyaingi kehebatan bekas juara dunia itu, apabila tumpas 0-6 pada aksi yang berlangsung di Lapangan Memanah Yumenoshima.

Kim Woojin, yang menghuni ranking kelima dunia ternyata terlalu handal, apabila melakukan panahan sempurna 30 mata pada ketiga-tiga set, berbanding Khairul Anuar yang mencatat 27-27-29 mata.

Pencapaian itu menyaksikan pemanah Korea Selatan itu melebarkan rekod pertemuan dengan Khairul Anuar yang menghuni ranking ke-15 dunia, dengan lima kemenangan tanpa sebarang kejayaan memihak kepada pemanah negara itu.

Ketika ditemui pemberita selepas pusingan ketiga atau 16 terbaik itu, Khairul Anuar mengakui kehebatan pemanah dari Korea Selatan itu, walaupun beliau sudah menampilkan aksi sebaik mungkin.

“Hari ini, Alhamdulillah, saya lebih bersedia berbanding aksi sebelum ini apabila fokus saya ketika melakukan panahan sedikit terganggu.

“Saya lebih fokus ketika melakukan panahan, tetapi dia (Kim Woojin) jauh lebih baik walaupun saya sudah memberikan yang terbaik hari ini,” kata bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil itu.

Beliau berkata, tumpuannya kini adalah untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi beberapa kejohanan besar pada tahun hadapan, antaranya Sukan Komanwel Birmingham, Sukan Asia Hangzhou, China dan Sukan SEA Vietnam, selain Kejohanan Dunia di Amerika Syarikat.

“Sebenarnya, saya lebih memberi fokus kepada acara Recurve Berpasukan, penyertaan dalam acara individu ini sebagai bonus kepada saya.

“Sudah pasti selepas ini saya akan berusaha melayakkan diri untuk bertanding pada Sukan Olimpik Paris 2024. Saya perlu perbaiki lagi dari segi ‘shooting’ (melakukan panahan) pada kejohanan-kejohanan akan datang, supaya sudah benar-benar bersedia pada temasya Olimpik 2024,” katanya.

Ditanya mengenai jurang antara pemanah Malaysia dan Korea Selatan, Khairul Anuar menjelaskan pemanah negara bermula agak lewat dalam asas sukan memanah, berbanding pemain negara itu yang ditanamkan mengenai perkara tersebut sejak di usia awal.

“Saya mula mewakili Terengganu pada Sukan Malaysia (Sukma) 2008 di Terengganu dan ketika mula memasuki Sekolah Sukan Bukit Jalil pada 2011, baru saya diberikan penerangan lebih mendalam tentang asas-asas sukan memanah.

“Itu yang membezakan majoriti pemanah Malaysia berbanding pemanah Korea Selatan, yang sering menguasai kejohanan di peringkat dunia. Namun, walaupun kita agak lewat diperkenalkan dengan asas memanah, tidak mustahil kita boleh menyaingi mereka satu hari nanti,” kata pemanah berusia 29 tahun itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Beregu lelaki mara ke suku akhir Olimpik 2020

TOKYO, 27 JULAI: Pasangan beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik layak ke suku akhir Olimpik Tokyo 2020 selepas mengalahkan pasangan Jason Ho-Shue-Nyl Yakamura dari Kanada, malam ini.

Pasangan nombor lapan dunia itu, tidak menghadapi banyak masalah dalam mengetepikan cabaran pasangan ke-32 dunia, pada perlawanan Kumpulan D di Musashino Forest Sports Plaza, di sini.

Lepas tewas 16-21, 19-21, kepada juara dunia tiga kali Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia dalam perlawanan kedua mereka semalam, Aaron-Wook Yik mengawal keseluruhan perlawanan hari ini untuk memenangi perlawanan dalam masa 33 minit.

Aaron-Wooi Yik memulakan cabaran kali pertama mereka di Olimpik pada Sabtu, dengan mengalahkan pasangan Korea Selatan Choi Sol-gyu-Seo Seung-jae 22-24, 15-21.

Terdahulu, pasangan pilihan kedua Ahsan-Hendra mengalahkan pasangan Korea itu 21-12,19-21, 21-18, dalam satu lagi perlawanan untuk mengungguli Kumpulan D, selepas memenangi kesemua tiga perlawanan peringkat kumpulan.

Aaron-Wooi Yik, pemenang pingat emas Sukan SEA 2019, di tempat kedua selepas menang dua kali dan tewas sekali.

Peringkat suku akhir dijadualkan pada Khamis (29 Julai).

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Olimpik: Prestasi Zii Jia jadi tumpuan peminat badminton tanah air

KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Perhatian seluruh peminat badminton negara pastinya tertumpu kepada persembahan pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia dan juga rakan sepasukannya dalam usaha mereka meraih pingat di Sukan Olimpik Tokyo 2020, apabila pertandingan badminton di temasya sukan itu bermula esok.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata kini terpulang kepada mereka untuk mempamerkan persembahan mantap, selepas segala persediaan terbaik mungkin telah dilaksanakan oleh pihak persatuan.

“Ia termasuk satu fasa latihan sebelum bermula Olimpik, serta penyertaan dalam pelbagai pertandingan dalam usaha memberi pendedahan kepada pemain, dan memberikan mereka pengalaman berharga, bersaing dengan antara pemain terbaik dunia.

“BAM amat prihatin dan bertindak tegas lagi berani, untuk membawa semua pemain, termasuk pemain junior di bawah satu bumbung di Akademi Badminton Malaysia (ABM) ketika pandemik Covid-19 pada suku pertama 2020 bermula,” kata Mohamad Norza dalam satu kenyataan.

Beliau berkata para pemain ditempatkan dalam kem latihan berasaskan kuarantin, di bawah peraturan ketat bagi menjamin keselamatan mereka, di samping memastikan mereka boleh menjalani latihan tanpa apa-apa gangguan.

“Saya percaya dalam tempoh penuh mencabar yang dilalui, telah mengukuhkan mereka secara fizikal mahupun mental, dan menyediakan mereka untuk menghadapi Olimpik Tokyo, apabila sekatan pergerakan yang dikenakan selama berbulan lamanya memberi kesan besar terhadap persediaan kita, terutama dalam menghantar pemain kita ke luar negara untuk sertai pertandingan,” katanya.

Mohamad Norza berkata para pemain telah bekerja keras dan cukup komited, walaupun dikenakan pelbagai syarat disebabkan pandemik.

“Saya benar-benar puas hati dengan semangat serta komitmen mereka, dan yakin mereka akan mempamerkan persembahan yang mantap di Tokyo,” katanya.

Katanya, beliau juga berpuas hati dengan persembahan pemain muda di bawah BAM, dan berkata pihaknya telah menyediakan rancangan jangka panjang dan sederhana, tanpa mengira hasil Sukan Olimpik ini, yang termasuk “Projek 2024’ dan program ‘Junior Elite’ bagi melahirkan juara bertaraf juara.

Selain Zii Jia, Malaysia diwakili oleh Soniia Cheah dalam perseorangan wanita, Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean (beregu wanita) dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran).

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Olimpik: 90 peratus atlet Malaysia diuji, bebas doping

KUALA LUMPUR, 13 JULAI: Seramai 90 peratus atlet negara yang bakal beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020 bermula 23 Julai ini, telah diuji dan kesemuanya didapati bebas daripada penggunaan bahan terlarang.

Pengarah Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) Azura Abidin berkata setakat ini seramai 27 daripada 30 atlet selesai menjalani ujian anti-doping sebelum bertolak ke Jepun, manakala bakinya dijangka menjalani ujian dalam masa terdekat.

Beliau berkata seorang daripadanya sedang menjalani kuarantin selepas pulang daripada kejohanan luar negara manakala ujian doping bagi dua lagi atlet yang berada di luar negara dilaksanakan oleh pihak Persekutuan Sukan Antarabangsa (IF).

“Kesemua atlet yang layak wajib menjalani ujian doping sama ada di bawah NADO (National Anti-Doping Organisation) ataupun IF masing-masing. Kami mula melaksanakan ujian doping kepada atlet sejak Mei lepas.

“Ia berdasarkan penilaian risiko dan pelan agihan ujian Adamas, berpandukan International Standard for Testing and Investigations (ISTI) yang dikeluarkan oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA),” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Pada masa sama, Azura turut mengingatkan para atlet bahawa mereka bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa sahaja bahan yang diambil, sama ada cubaan untuk mengambil atau dijumpai di dalam sistem (tubuh) masing-masing.

“Sekiranya bahan terlarang atau metabolite dijumpai di dalam spesimen mereka, atlet akan dipertanggungjawabkan dan terpulang kepada atlet tersebut bagaimana untuk membuktikan yang mereka tidak bersalah,” katanya.

Ditanya mengenai risiko sabotaj, Azura berkata WADA telah memperkenalkan polisi ‘whistleblower’ yang memberikan hak kepada atlet sekiranya wujud unsur sabotaj atau aktiviti melibatkan gejala doping.

Menurutnya, polisi itu antara lain memberikan pendidikan mengenai hak-hak untuk melindungi diri mereka seperti keadilan untuk bertanding, kebebasan bersuara dan perlindungan hak peribadi.

“Sekiranya terdapat atlet yang merasa terancam, mereka berhak untuk membuat laporan kepada Adamas dan secara tidak langsung, diri dan maklumat mereka selamat dan dirahsiakan mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711),” katanya.

Azura berkata Adamas juga meneruskan program kesedaran dan pendidikan anti-doping secara maya di sebalik pandemik Covid-19 yang menyukarkan ia diadakan secara fizikal.

Ia termasuk program Anti-Doping Education and Learning (ADEL), program outreach, serta pendidikan secara maya melibatkan ciri ubat berdaftar dan kesan sampingan pengambilan steroid.

Malaysia akan diwakili 30 atlet dalam 27 acara melibatkan 10 jenis sukan bagi Olimpik kali ini.

Kumpulan pertama atlet terdiri daripada empat pelayar telah berlepas ke Tokyo pada 8 Julai lepas manakala kumpulan kedua dan ketiga dijadualkan berlepas pada 17 dan 25 Julai ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Atlet lompat tinggi negara intai pentas akhir Tokyo 2020

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Atlet lompat tinggi negara Lee Hup Wei yang bakal membuat penampilan Olimpik ketiga, menyasarkan untuk mencipta sejarah sebagai atlet olahraga pertama negara ke peringkat akhir acara itu pada temasya sukan berkenaan.

Berdasarkan keputusan Rio 2016, atlet berusia 34 tahun itu perlu melepasi ketinggian dalam lingkungan 2.26 meter pada pusingan kelayakan untuk menempah tempat di peringkat akhir.

Pada temasya 2016, rakan sepasukan Nauraj Singh Randhawa serta lapan lagi atlet lompat tinggi terlepas peluang untuk muncul sebagai 15 finalis sekalipun berjaya melepasi ketinggian 2.26m, disebabkan mereka gagal melakukannya pada lompatan pertama.

Hup Wei yang akan menamatkan kuarantin wajib di Kompleks Sukan Kampung Pandan pada Rabu ini, berdepan tugas sukar kerana hanya mampu melepasi ketinggian 2.10m, catatan terbaiknya pada musim ini yang dibuat di Kejohanan Olahraga Qosanov Memorial di Kazakhstan baru-baru ini.

Berbaki kira-kira dua minggu sebelum berlepas ke temasya sukan terbesar dunia itu, Hup Wei berharap dapat membaiki catatan peribadi terbaiknya 2.29m pada Olimpik Tokyo, yang mana pusingan kelayakan bagi acara sukan itu dijadualkan pada 30 Julai.

“Dua minggu terakhir ini penting bagi saya menajamkan lagi teknik dan membaiki prestasi untuk bersaing di Olimpik Tokyo. Sebaik sahaja tempoh kuarantin saya tamat, saya akan segera kembali ke (Kompleks Sukan) Bukit Jalil untuk melakukan persiapan akhir bersama jurulatih (Aleksandar Gasparyan).

“Saya dapat melepasi 2.20m semasa latihan di Kazakhstan, namun terpaksa berhenti bersaing selepas mengalami kecederaan buku lali. Kini saya sudah pulih dan saya mahu memberikan yang terbaik di Tokyo,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Juara Asia 2007 itu layak ke Tokyo 2020 selepas menempatkan diri di ranking ke-23 Olahraga Dunia dengan 1,235 mata, sekali gus membolehkan Malaysia mempunyai wakil dalam acara lompat tinggi lelaki untuk empat edisi Olimpik berturut-turut sejak Beijing 2008.

Pada Beijing 2008, Hup Wei menamatkan saingan di tangga ke-32 selepas melepasi 2.20m manakala pada 2012, atlet kelahiran Kajang itu berakhir di kedudukan ke-27 dengan lompatan terbaik 2.16m.

Juara tiga kali Sukan SEA itu mencipta sejarah sebagai atlet Malaysia pertama layak ke final pada Kejohanan Olahraga Dunia pada 2019 di Stadium Antarabangsa Khalifa, Doha, Qatar, di mana beliau mencipta rekod peribadi 2.29m.

Hup Wei menamatkan saingan di tempat kelapan daripada 12 finalis pada saingan dunia itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Dua atlet taekwondo berpeluang raih slot ke Olimpik 2020

KUALA LUMPUR, 14 OGOS: Dua atlet taekwondo negara, Ahmad Nor Iman Hakim Rakib dan Syafiq Zuber dilihat berpeluang menempah slot secara merit ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo tahun depan.

Pengarah Teknikal Taekwondo Malaysia (TM) R Dhanaraj berkata atlet Malaysia memiliki peluang beraksi pada temasya sukan berprestij itu kerana masih terdapat empat slot dari benua Asia untuk diisi.

“Peluang itu ada tapi kita tidak boleh cakap ia terlalu cerah. Kita ada dua atlet masing-masing kategori bantam (Ahmad Nor Iman) serta feather (Syafiq) dan slot mereka (untuk atlet Asia) masih ada,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil, hari ini.

Kali terakhir Malaysia mempunyai wakil adalah pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing menerusi Elaine Teo dan Che Chew Chan, masing-masing beraksi dalam kategori wanita bawah 57 kilogram (kg) dan 67kg.

Sementara itu, Dhanaraj berkata tiada sebarang kejohanan antarabangsa dianjurkan pada tahun ini selepas pengumuman dibuat World Taekwondo pada April lepas ekoran pandemik Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Tokyo sahkan tempat, jadual Olimpik 2020

KUALA LUMPUR, 18 JULAI: Jawatankuasa Penganjuran Sukan Olimpik Tokyo 2020 (Tokyo 2020) mengesahkan kesemua 43 tempat dan juga jadual pertandingan ketika sesi Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) secara dalam maya, pada Jumaat.

Presiden Jawatankuasa Penganjur Yoshiro Mori dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Toshiro Muto pada sesi itu berkata, pengesahan tersebut termasuklah Perkampungan Olimpik, Pusat Penyiaran Antarabangsa dan Pusat Media Utama yang akan digunakan pada Sukan Olimpik pada 2021.

Mori mendedahkan yang mereka dengan segera melancarkan Jawatankuasa Bertindak baru selepas pengumuman IOC menangguhkan Sukan Olimpik 2020, akibat pandemik Covid-19.

“Kakitangan kami bekerja tanpa henti untuk persiapan ini dan saya dengan sukacitanya mengumumkan yang kami mengesahkan semua venue dan menetapkan jadual pertandingan untuk temasya tahun hadapan,” katanya seperti disiarkan dalam laman sesawang IOC; www.olympic.org.

“Kami akan terus berikan yang terbaik bagi memastikan Olimpik Tokyo bernilai sebagai satu simbol penyatuan dan perpaduan, dalam menangani krisis Covid-19. Minggu hadapan pada 23 hari bulan, setahun sebelum Sukan Olimpik, kami bercadang untuk mengeluarkan pesanan mengenai perpaduan, harapan dan semangat kepada atlet bersama tumpuan mereka untuk Sukan Olimpik tahun hadapan,” kata Mori lagi.

Sementara itu, Presiden IOC Thomas Bach mengucapkan terima kasihnya kepada Tokyo 2020 atas persediaan awal, dengan mengesahkan tempat dan juga jadual pertandingan.

“Perkampungan Olimpik adalah nadi utama Sukan Olimpik, manakala venue adalah rohnya. Saya gembira kepada perkampungan dan juga venue disahkan untuk tahun hadapan.

“Ini bermakna yang atlet akan alami sebagai pengalaman sekali dalam hidup. Atlet dari seluruh dunia akan tinggal di bawah satu bumbung di Perkampungan Olimpik, berkongsi makanan bersama, menyambutnya bersama, berbincang bersama dan membentuk satu komuniti Olimpik yang unik,” kata Bach.

Beliau juga yakin kedua-dua IOC dan juga Tokyo 2020 akan dapat menjadikan Sukan Olimpik yang ditangguhkan itu, kepada satu sambutan penyatuan dan perpaduan manusia terbesar, menjadikannya satu simbol ketahanan dan harapan.

Tokyo 2020 merancang beberapa acara pada 23 Julai, bagi menandakan 1 tahun lagi sebelum permulaan Sukan Olimpik 2020, termasuk pelancaran kempen Jenama Olimpik “#StrongerTogether”, yang menerima kepentingan penyatuan dan perpaduan pada waktu sukar ini, mengiktiraf kekuatan sukan dan khasnya Sukan Olimpik dalam membawa masyarakat bersatu-padu.

Sukan Olimpik 2020 ditangguhkan ke 23 Julai hingga 8 Ogos 2021, manakala Sukan Paralimpik Tokyo, 24 Ogos hingga 5 Sept 2021.

Pada asalnya Sukan Olimpik Tokyo 2020 dijadualkan berlangsung dari 24 Julai ke 9 Ogos dan Sukan Parlimpik dari 25 Ogos hingga 6 September tahun ini itu, namun ditangguhkan akibat pancemik Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

BWF akan laksana tempoh kelayakan Olimpik lanjutan

KUALA LUMPUR, 28 MEI: Persekutuan Badminton Dunia (BWF) akan melaksanakan tempoh kelayakan Olimpik lanjutan bermula minggu pertama hingga ke-17 2021, merangkumi kejohanan terpilih yang ditunda, dibatal atau digantung susulan wabak Covid-19.

Dalam kenyataannya, badan badminton dunia itu berkata kejohanan yang layak mesti diselesaikan menjelang minggu ke-17 2021, bagaimanapun kejohanan yang dijadualkan semula bagi penghujung 2020 di bawah Kalendar Kejohanan BWF yang dirombak dan diumumkan minggu lepas tidak termasuk dalam proses kelayakan.

“Hanya kejohanan edisi 2021 akan diambil kira untuk kelayakan,” demikian menurut kenyataan itu.

BWF juga berkata pemain dari China dan Hong Kong layak meraih mata daripada Kejohanan Berpasukan Asia 2021 selaku wakil benua Asia.

Kedua-dua negara itu tidak menyertai edisi 2020 pada Februari lepas setelah kerajaan Filipina mengenakan sekatan perjalanan terhadap atlet kedua-dua negara disebabkan pandemik Covid-19.

“Pendekatan ini hanya untuk kejohanan berpasukan ini sahaja yang terjejas akibat Covid-19 memandangkan tiada kejohanan berpasukan lain tersenarai di bawah tempoh kelayakan Olimpik lanjutan,” katanya.

Sementara itu, BWF dalam kenyataan sama berkata Kejohanan Antarabangsa Badminton Para Sepanyol 2020 yang dibatalkan akibat Covid-19 kini dimasukkan di bawah sistem kelayakan yang diubah suai bermula 1 Januari hingga 28 Mac 2021.

Tarikh baharu kejohanan akan diumumkan kelak, katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Olimpik 2020: ‘The Pocket Rocketman’ layak acara pecut

KUALA LUMPUR, 5 MAC: Pelumba berbasikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang, melayakkan diri dalam satu lagi acara lumba basikal di Sukan Olimpik Tokyo 2020 Julai ini, selepas memperbaiki kedudukannya dalam ranking dunia Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI).

Menurut ranking dunia terkini UCI yang dikeluarkan di www.uci.org, Azizul meningkat lima tempat ke kedudukan kelima terbaik dunia, dalam acara pecut individu selepas mengumpulkan 2,415 mata.

‘The Pocket Rocketman’ berusia 32 tahun sebelum ini layak ke Tokyo melalui acara kegemarannya ‘keirin’ selepas menduduki ranking kedua dunia, di belakang Harrie Lavreysen dari Belanda dengan 2,710 mata.

Ini adalah penampilan keempat Mohd Azizulhasni di Sukan Olimpik, selepas layak pada Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016, di mana beliau memenangi pingat gangsa dalam acara keirin.

Bagaimanapun seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom gagal untuk melayakkan diri ke Tokyo, selepas menduduki ranking ke-15 dalam acara pecut dan ke-40 bagi acara keirin selepas mengumpul masing-masing 1,687.5 mata dan 1,102 mata.

Kejohanan Lumba Basikal Trek UCI 2020 di Berlin, German, merupakan kejohanan kelayakan Olimpik terakhir.

Berdasarkan kepada format UCI, tujuh pelumba terbaik acara keirin dan pecut dalam ranking dunia UCI akan layak ke Sukan Olimpik.

Sehingga kini 10 atlet Malaysia layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 iaitu:

-Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik)
-Khairulnizam Mohd Afendy (laser standard)
-Nur Shazrin Mohd Latif (laser radial)
-Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali (international 470)
-Khairul Anuar Mohamad (memanah)
-Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng Yan Yee (terjun 3m papan anjal)
-Pandelela Rinong Pamg (terjun 10m platform) dan berpasangan dengan Leong Mun Yee (10m seirama)

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Impian skuad hoki ke Olimpik 2020 lebur

KUALA LUMPUR, 4 NOV: Impian skuad hoki negara ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas 20 tahun terkubur apabila tewas 5-2 kepada Great Britain pada aksi play-off kedua kelayakan terakhir di Lee Valley Hockey & Tennis Centre, London, lewat malam tadi.

Justeru, Great Britain menjadi pasukan ke-11 layak ke Tokyo dengan agregat 9-3 selepas membenam Malaysian Tigers 4-1 pada perlawanan timbal balik pertama kelmarin.

Kali terakhir skuad negara beraksi di pentas Olimpik adalah pada temasya Sydney 2000, yang mana pasukan kebangsaan menamatkan saingan di tempat ke-11 dalam kalangan 12 negara yang bertanding.

Malaysia yang turun dengan wajib memburu kemenangan besar, bagaimanapun dikejutkan dengan keputusan pengadil menghadiahkan pukulan penalti kepada Great Britain.

Skuad kendalian ketua jurulatih Roelant Oltmans itu meminta rujukan video bagi menyelamatkan kedudukan Malaysia, namun keputusan berpihak kepada Great Britain.

Alan Forsyth menyempurnakan pukulan penalti itu dengan satu tolakan yang cukup baik sehingga mengelirukan penjaga gol negara, S.Kumar pada minit kesembilan.

Dua minit kemudian, Sam Ward menggandakan gol sebelum pemain tengah Mohd Fitri Saari merapatkan jurang dengan menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-24.

Bagaimanapun, Ward sekali menambah derita skuad negara dengan menyumbat gol ketiga Great Britain menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-31.

Malaysia seterusnya memproleh pukulan sudut penalti kedua selepas penyerang negara, Faizal Saari dikasari sehingga terjatuh pada minit ke-32 namun ia gagal diterjemahkan kepada gol.

Sebelum perlawanan suku masa ketiga berakhir, Muhammad Razie Abdul Rahim berjaya merapatkan jurang kedudukan pada minit ke-40.

Malaysia Tigers, yang tertekan untuk memburu gol, pada suku terakhir perlawanan, dikejutkan dengan gol padang Forsyth pada minit ke-56 sebelum pemain itu melengkapkan jaringan hatrik peribadinya dengan penyudahan pukulan penalti pada minit berikutnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Olimpik Tokyo 2020: Pandelela tidak gentar

KUALA LUMPUR, 25 JUL: Biarpun sudah sekian lama berada di gelanggang pertandingan, ratu terjun negara Pandelela Rinong tidak menafikan perasaan gemuruh itu tetap akan hadir dan jika ‘dilayan’ boleh membunuh prestasi pada hari pertandingan.

Justeru, atlet kelahiran Bau, Sarawak itu mengambil pendekatan lebih santai melalui minatnya terhadap dendangan lagu K-pop dan juga Inggeris sebagai alternatif untuk membantunya menepis perasaan itu.

Setahun menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020, atlet berusia 26 tahun itu mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada latihan serta mahu memastikan kekuatan mental yang ada pada dirinya sekarang dapat dikekalkan hingga waktu bertandingan nanti.

Pandelela meraih dua slot ke temasya empat tahun sekali itu pada Kejohanan Terjun Dunia ke-18 di Gwangju, Korea Selatan menerusi acara 10m platfrom individu dan 10m platform seirama ketika bergandingan dengan Leong Mun Yee.

“Saya sering mengingatkan diri sendiri sekiranya saya berasa gementar saya tidak akan dapat membuat yang terbaik jadi kenapa perlu berasa gementar? Saya sepatunya berasa seronok menyertai pertandingan ini dan itu membuatkan prestasi saya lebih baik.

“Selepas Olimpik Rio 2016 tamat, saya terus membuat persiapan untuk Olimpik Tokyo. Sukan Olimpik adalah impian setiap atlet jika kita tidak mahu menunggu dan menyesal kemudian hari. Saya fikir saya lebih kuat dari segi mental sekarang berbanding pada Olimpik sebelum ini dan ini semua hasil latihan dan pertandingan yang saya sertai, saya kini lebih berpengalaman,” katanya kepada Bernama.

Pandelela ditemui selepas muncul dalam rancangan Nine11 di Wisma Bernama, hari ini.

Kejohanan Terjun Dunia baru-baru ini menyaksikan skuad terjun negara meraih tiga slot ke temasya Olimpik – dua daripadanya menerusi Pandelela dan Mun Yee – manakala satu lagi slot menerusi Wendy Ng Yan Yee dalam acara 3m papan anjal wanita individu.

Untuk rekod, Pandelela menang pingat gangsa dalam acara 10m platform di Sukan Olimpik 2012 di London, menjadi atlet wanita pertama Malaysia memenangi pingat sukan Olimpik dan meneruskan prestasi baiknya di Sukan Olimpik Rio 2016 dengan memenangi pingat perak bagi acara terjun 10m platform seirama bersama Cheong Jun Hoong.

Sementara itu, gadis Bidayuh itu juga berharap lebih ramai penerjun negara dapat sama mengiringi beliau ke Tokyo, membawa cabaran negara di temasya berprestij itu.

Katanya, skuad terjun mempunyai dua lagi peluang untuk ‘mencuri’ slot ke Olimpik 2020 menerusi Kejohanan Terjun Piala Asia yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 6 hingga 8 Sept dan juga Piala Dunia, April tahun depan.

“Piala Asia adalah pusingan kelayakan kedua untuk ke Olimpik. jadi skuad akan berusaha untuk menambah slot melalui kejohanan itu. Kekurangan yang ada di kejohanan dunia sebelum ini boleh diperbaiki dalam sesi latihan di China nanti,” katanya.

Skuad terjun negara akan ke Sichuan, China untuk menjalani sesi latihan selama seminggu sebelum menghadapi Kejohanan Terjun Piala Asia.

– BERNAMA