Categories
AGENDA NASIONAL

Siasatan insiden struktur besi kren jatuh siap dalam tempoh sebulan

PUTRAJAYA, 25 MAC: Proses siasatan kes struktur ‘gantry launcher’ terjatuh di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, Cheras pada Isnin lepas, dijangka dapat dilengkapkan sepenuhnya dalam tempoh sebulan.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) memaklumkan siasatan melibatkan pemerhatian dan penelitian di lokasi kejadian, mengambil keterangan saksi dan melakukan analisis kejuruteraan forensik bagi melengkapkan proses siasatan.

“Tindakan perundangan lanjut akan diambil berdasarkan kepada hasil siasatan terperinci,” menurut JKKP dalam kenyataan hari ini.

Antara tindakan yang boleh diambil ialah pendakwaan menurut peruntukan Seksyen 15 dan 17 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, iaitu kewajipan majikan untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerjanya semasa bekerja serta keselamatan dan kesihatan orang selain pekerjanya, yang terjejas akibat aktiviti kerja yang dijalankan.

Penalti maksimum bagi kesalahan di bawah kedua-dua seksyen tersebut ialah denda tidak melebihi RM50,000 atau dua tahun penjara, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan, menurut kenyataan itu.

JKKP memberitahu Notis Larangan yang dikeluarkan oleh JKKP hanya akan dibatalkan setelah majikan mengambil tindakan pembetulan dan langkah kawalan yang komprehensif bagi mengelakkan berlakunya kemalangan.

Kemalangan yang berlaku pada awal pagi Isnin itu mengakibatkan tiga pekerja projek pembinaan maut, manakala seorang pemandu kereta Perodua Bezza cedera parah akibat dihempap struktur kren berkenaan semasa melalui kawasan tersebut.

Pada tahun lepas, JKKP menjalankan 14,786 pemeriksaan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di sektor pembinaan dan daripada jumlah tersebut sebanyak 5,117 notis, 404 tindakan kompaun dan 73 kes pendakwaan telah dilaksanakan dengan jumlah penalti sekitar RM1.7 juta.

“JKKP memandang serius setiap kemalangan di tempat kerja sama ada melibatkan pekerja mahupun orang awam,” menurut kenyataan itu.

JKKP menyatakan majikan mempunyai kawalan dan bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya di tempat kerja, membuat penilaian risiko dan seterusnya mengambil langkah kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja bagi mengurangkan risiko keselamatan dan kesihatan pekerja dan mengelakkan berlakunya kemalangan atau penyakit pekerjaan.

“JKKP akan terus melakukan pemantauan di lapangan termasuk menggunakan aplikasi teknologi terkini serta tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak termasuk pemaju dan kontraktor yang didapati mengabaikan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan,” jelas kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mayat ketiga insiden struktur besi kren jatuh dibawa keluar

KUALA LUMPUR, 24 MAC: Mayat ketiga dalam insiden komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi Ulu-Klang Expressway (SUKE) berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, Cheras Isnin lepas, akhirnya berjaya dikeluarkan awal pagi ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Nordin Pauzi berkata mangsa yang dikenali sebagai Mu Tong Zheng, pekerja warga China yang sebelum ini dilaporkan terjatuh dan tersangkut di atas landasan lebuh raya sebelum tersepit di antara landasan pembinaan lebuh raya, dikeluarkan tiga anggota pada 3.58 pagi.

Katanya, mangsa sebelum ini tidak dapat dikeluarkan memandangkan pihaknya berhadapan kesukaran disebabkan struktur binaan yang tidak stabil dan mangsa tersepit di antara rasuk binaan dan struktur kren gantri.

“Pihak kami telah naik ke atas (struktur binaan tersebut) kira-kira 3 pagi untuk membuat penilaian risiko sebelum tiga anggota yang lengkap berpakaian sut perlindungan diri (PPE) naik dan membawa turun mayat lelaki berkenaan menggunakan bantuan kren.

“Operasi mengeluarkan mangsa mengambil masa setengah jam dan keadaan mayat sedang mereput,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Nordin berkata dengan mangsa terakhir berjaya dikeluarkan, operasi menyelamat selama tiga hari bermula Isnin lepas telah selesai dan kes diserahkan kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata mayat berkenaan dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Cheras untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Pada Isnin, tiga pekerja warga China maut manakala seorang pemandu tempatan cedera parah berikutan kejadian satu daripada komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan lebuh raya berkenaan.

-BERNAMA