Categories
AGENSI SELANGOR

Kerja alih kren gantri di lokasi insiden SUKE selesai

KUALA LUMPUR, 19 APRIL: Pengalihan kren gantri dan rasuk konkrit yang terlibat dalam insiden kemalangan di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), pada 22 Mac lepas selesai semalam setelah dua minggu ia dilaksanakan.

Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) dalam satu kenyataan hari ini berkata selepas selesai semua kerja pengalihan tersebut, jurutera perunding seliaan dan agensi berkaitan telah meneliti secara keseluruhan kondisi struktur yang terlibat bagi mengesahkan ia selamat dan kesemua proses penilaian tersebut dilaksanakan secara terperinci dan telus.

Sehubungan itu sebahagian laluan di Persiaran Alam Damai, Cheras yang sebelum ini ditutup dibuka semula kepada penduduk Kondominium Puncak Banyan dan orang awam, sebaik mendapat pengesahan selamat dan kelulusan dari pihak jurutera perunding dan pihak berkuasa.

Kenyataan itu juga memaklumkan dengan pembukaan semula Persiaran Alam Damai (lokasi kejadian) ia akan membantu penduduk terutamanya di Kondominium Puncak Banyan untuk menjalani kehidupan seperti biasa.

“Kerja-kerja pengalihan dilaksanakan Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd melalui kontraktor terlibat iaitu Syarikat Muhibbah Perniagaan dan Pembinaan Sdn Bhd.

Pihak berkuasa seperti Lembaga Lebuhraya Malaysia, Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan turut memantau pelaksanaan kerja-kerja itu bagi memastikan ia dilakukan dengan teliti dan mengikut tatacara operasi piawai digariskan,” menurut kenyataan itu.

Dalam kejadian pada 22 Mac itu, tiga pekerja warga China maut manakala seorang pemandu cedera parah susulan satu daripada komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan terbabit.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Siasatan insiden struktur besi kren jatuh siap dalam tempoh sebulan

PUTRAJAYA, 25 MAC: Proses siasatan kes struktur ‘gantry launcher’ terjatuh di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, Cheras pada Isnin lepas, dijangka dapat dilengkapkan sepenuhnya dalam tempoh sebulan.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) memaklumkan siasatan melibatkan pemerhatian dan penelitian di lokasi kejadian, mengambil keterangan saksi dan melakukan analisis kejuruteraan forensik bagi melengkapkan proses siasatan.

“Tindakan perundangan lanjut akan diambil berdasarkan kepada hasil siasatan terperinci,” menurut JKKP dalam kenyataan hari ini.

Antara tindakan yang boleh diambil ialah pendakwaan menurut peruntukan Seksyen 15 dan 17 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, iaitu kewajipan majikan untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerjanya semasa bekerja serta keselamatan dan kesihatan orang selain pekerjanya, yang terjejas akibat aktiviti kerja yang dijalankan.

Penalti maksimum bagi kesalahan di bawah kedua-dua seksyen tersebut ialah denda tidak melebihi RM50,000 atau dua tahun penjara, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan, menurut kenyataan itu.

JKKP memberitahu Notis Larangan yang dikeluarkan oleh JKKP hanya akan dibatalkan setelah majikan mengambil tindakan pembetulan dan langkah kawalan yang komprehensif bagi mengelakkan berlakunya kemalangan.

Kemalangan yang berlaku pada awal pagi Isnin itu mengakibatkan tiga pekerja projek pembinaan maut, manakala seorang pemandu kereta Perodua Bezza cedera parah akibat dihempap struktur kren berkenaan semasa melalui kawasan tersebut.

Pada tahun lepas, JKKP menjalankan 14,786 pemeriksaan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di sektor pembinaan dan daripada jumlah tersebut sebanyak 5,117 notis, 404 tindakan kompaun dan 73 kes pendakwaan telah dilaksanakan dengan jumlah penalti sekitar RM1.7 juta.

“JKKP memandang serius setiap kemalangan di tempat kerja sama ada melibatkan pekerja mahupun orang awam,” menurut kenyataan itu.

JKKP menyatakan majikan mempunyai kawalan dan bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya di tempat kerja, membuat penilaian risiko dan seterusnya mengambil langkah kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja bagi mengurangkan risiko keselamatan dan kesihatan pekerja dan mengelakkan berlakunya kemalangan atau penyakit pekerjaan.

“JKKP akan terus melakukan pemantauan di lapangan termasuk menggunakan aplikasi teknologi terkini serta tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak termasuk pemaju dan kontraktor yang didapati mengabaikan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan,” jelas kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua maut, tiga cedera parah dihempap perancah besi binaan SUKE

KUALA LUMPUR, 4 MAC: Dua wanita maut manakala tiga lagi cedera parah setelah van dinaiki mereka dihempap sebahagian struktur binaan jejambat yang runtuh dalam kejadian di Desa Tun Razak, di sini petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya berkata dalam kejadian 5.58 petang tadi, van tersebut sedang melalui Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan dua mangsa terbabit disahkan maut di tempat kejadian.

Beliau berkata kesemua mangsa adalah warga tempatan berusia dalam lingkungan 30 hingga 45 tahun

“Pemandu van berkenaan dikeluarkan pada pukul 8.55 malam dan mangsa terakhir berjaya dikeluarkan pada 9.27 malam.

“Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tuanku Muhriz untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Zulkefly berkata terdahulu pihaknya menerima laporan sebuah treler yang membawa muatan telah melangggar perancah besi pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).

Katanya, pemandu treler terbabit yang juga warga tempatan telah membuat laporan polis dan akan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Nordin Pauzi berkata pihaknya mengambil masa lebih kurang tiga jam untuk mengeluarkan mangsa termasuk menggunakan kren.

Beliau berkata pihaknya turut mengambil langkah berjaga-jaga kerana bimbang kemungkinan berlaku runtuhan kedua.

“Bomba terpaksa menggunakan tiga kren untuk mengangkat struktur runtuhan yang menimpa van berkenaan sebelum berjaya mengeluarkan kesemua mangsa,” katanya.

Kejadian itu telah menyebabkan jalan berkenaan terpaksa ditutup kepada pengguna dan kesesakan berlaku sepanjang kira-kira dua kilometer.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kontraktor SUKE didenda RM180,000 gagal pastikan tapak binaan selamat

KUALA LUMPUR, 17 DIS: Kontraktor utama dan subkontraktor projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dikenakan denda RM180,000 kerana gagal memastikan keselamatan di tapak binaan lebuh raya itu, persidangan Dewan Negara dimaklumkan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ia susulan kejadian konkrit struktur pembinaan lebuh raya itu jatuh dan menghempap sebuah kenderaan pada 19 September lalu.

Menjawab soalan Senator Md Nasir Hashim berhubung tindakan terhadap kontraktor utama pada persidangan Dewan Negara hari ini, beliau berkata Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah menjalankan satu prosiding Tindakan Tatatertib Kontraktor pada 17 Nov lalu dan menjatuhkan hukuman penalti terhadap kontraktor utama dan subkontraktor projek SUKE Pakej CA2.

‘’Kontraktor Utama iaitu MRCB Builders Sdn Bhd dikenakan penalti RM80,000 manakala subkontraktor Makna Setia Sdn Bhd berjumlah RM100,000.

Kedua-dua kontraktor itu masing-masing didenda mengikut Seksyen 34B(1)(c) dan Seksyen 34C(1) Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520), iaitu di bawah kewajipan kontraktor dalam memastikan keselamatan bangunan dan kerja pembinaan sama ada semasa atau selepas pembinaan,’’ katanya.

Fadillah berkata siasatan CIDB turut mendapati, subkontrator berkenaan gagal mematuhi prosedur kerja yang betul dan diperakui oleh perunding projek, selain tidak menggajikan penyelia tapak yang diakreditasi.

Menerusi prosiding tatatertib itu, subkontraktor turut diarahkan membuat penambahbaikan dalam prosedur keselamatan supaya keselamatan orang awam, jajaran projek, amalan cara kerja dan pengendalian serta pengurusan tapak binaan adalah terjamin sepanjang tempoh projek dilaksanakan.

“Sepanjang tempoh siasatan, kedua-dua syarikat telah memberikan komitmen dan kerjasama yang baik termasuk membuat aku janji untuk meningkatkan keberkesanan dan amalan prosedur perlaksanaan persekitaran kerja yang lebih selamat dan kondusif,’’ katanya.

Dalam kejadian 19 September itu, seorang wanita nyaris maut apabila keretanya remuk pada bahagian bumbung selepas ditimpa batu konkrit daripada struktur pembinaan SUKE yang jatuh di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kementerian: Tunggu laporan CIDB insiden konkrit timpa kereta, ambil tindakan

KUALA LUMPUR, 22 SEPT: Kementerian Kerja Raya sedang menunggu hasil siasatan penuh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), berhubung insiden kereta ditimpa batu konkrit dari struktur pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) minggu lalu, sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

Menterinya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, antara siasatan melibatkan perspektif reka bentuk, struktur lebuh raya, aspek pemantauan keselamatan dan pengurusan trafik, di kawasan berkenaan.

“Kita akan dapatkan dahulu laporan daripada CIDB dan DOSH (Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan) dan kita akan nyatakan tindakan yang akan diambil kemudian,” katanya pada Sesi Libat Urus Penggiat Industri bersama lebih 40 wakil syarikat dan persatuan, di sini, hari ini.

Sabtu lepas, seorang wanita nyaris maut apabila kereta dipandunya ditimpa batu konkrit dari struktur pembinaan yang jatuh di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang berhampiran Terminal Bersepadu Selatan (TBS) menghala Ampang itu, mangsa dilaporkan hanya cedera pada tangan dan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUM), untuk rawatan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bumbung kereta remuk dirempuh kren, tiada kaitan pembinaan SUKE

KUALA LUMPUR, 21 SEPT: Sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki remuk di bahagian bumbung belakang selepas disyaki dirempuh sebuah kenderaan yang membawa kren di kawasan pembinaan Lebuh Raya Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) di Taman Leng Seng, Cheras, malam tadi.

Ia sekali gus menepis dakwaan yang tular media sosial bahawa kejadian itu berkaitan dengan pembinaan lebuh raya SUKE.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya berkata laporan awal pegawai penyiasat di tempat kejadian tidak menemui sebarang objek yang disyaki menghempap kenderaan terbabit.

“Bagaimanapun siasatan masih diteruskan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, jurucakap Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd (Prolintas) ketika dihubungi Bernama berkata kerja pembinaan lebuh raya SUKE dihentikan serta-merta sejak insiden membabitkan kenderaan dipandu seorang wanita dihempap parapet konkrit petang kelmarin.

Jelasnya, laporan awal yang diterima Prolintas mendapati kejadian disyaki berlaku membabitkan kemalangan dua kenderaan.

Kejadian itu tular di media sosial malam tadi memaparkan sebuah kereta rosak di bahagian bumbung dan pasukan bomba melakukan operasi.

Menerusi video tersebut, mangsa seorang lelaki berusia 50-an dilihat berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Dalam kejadian kira-kira 5.45 petang Sabtu, seorang wanita berusia 25 tahun nyaris maut selepas kepingan konkrit daripada kerja pembinaan lebuh raya SUKE, terjatuh menghempap kereta yang sedang dipandunya di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami cedera di bahagian tangan kiri.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Konkrit hempap kereta: Prolintas henti kerja pembinaan Suke serta-merta

KUALA LUMPUR, 20 SEPT: Pemaju projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (Suke), Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd (Prolintas) mengeluarkan arahan henti kerja serta-merta susulan kejadian dinding parapet terjatuh daripada struktur binaan lebuh raya itu dan menghempap sebuah kereta petang semalam.

Prolintas dalam kenyataan malam tadi memaklumkan pihaknya akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berwajib dalam melakukan siasatan terhadap kejadian yang berlaku berhampiran Bandar Tasik Selatan di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) itu.

Dinding parapet yang terjatuh daripada struktur binaan Lebuhraya Suke dan menghempap sebuah kereta di MRR2 pada 19 September 2020. Foto Twitter Bernama

“Pasukan Emergency Response Team (ERT) Suke telah berada di tapak kejadian untuk mengawal trafik dan mengalihkan dinding parapet serta kereta yang terlibat.

“Segala kesulitan yang timbul daripada insiden ini amatlah dikesali dan Suke akan memastikan segala aspek keselamatan sentiasa diutamakan dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa demi keselamatan semua,” menurut kenyataan itu.

Seorang wanita nyaris maut dalam kejadian itu selepas kepingan konkrit daripada kerja-kerja pembinaan Suke terjatuh menghempap kereta yang sedang dipandunya di MRR2 mengakibatkan kereta itu remuk dan wanita itu cedera pada tangan kirinya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh berhubung dengan saluran komunikasi Suke di talian 1-300-88-9922, laman sesawang www.mysuke.com.my serta di Facebook Prolintas Highways atau Twitter @mySUKEofficial.

-BERNAMA

 

Categories
SELANGOR

Lebuhraya SUKE dan DASH – Siap 30 peratus, jangka siap menjelang 2020

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 16 SEPT: Kumpulan Syarikat Prolintas (PROLINTAS) memaklumkan projek Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dan Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH) kini sudah siap 30 peratus pembinaannya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PROLINTAS, Dato’ Mohammad Azlan Abdullah berkata, kesemua kerja-kerja dijalankan mengikut jadual sekaligus membolehkan lebuhraya itu siap sepenuhnya menjelang 2020.

“Untuk makluman, sehingga hari ini PROLINTAS tidak menghadapi sebarang masalah atau sebarang halangan, cuma harapan kami supaya ia dapat mengikut jadual ditetapkan,” katanya kepada media selepas Acara GCE Duathlon 2018, di Plaza Tol Bukit Jelutong, pagi tadi.

Lebuhraya SUKE dan DASH bermula pada 2008 dengan kajian konsep, manakala pembinaannya pula telah dijalankan 2016.

Apa yang menarik, kedua-dua lebuhraya ini akan menggunakan konsep elevated highway di mana 90 peratus laluan tidak berada di atas permukaan tanah, sebaliknya ia dibina diatas laluan-laluan jalan sedia ada dengan tiga lorong setiap arah.

Bagi projek SUKE, ia melibatkan kos pembinaan RM4.63 bilion, dan ia akan bermula dari Sri Petaling (tempat berakhirnya lebuhraya KESAS).

Setelah ia siap kelak, lebuh raya ini dijangka bakal menyuraikan trafik sekitarnya dengan mengurangkan kesesakan 44,000 buah kenderaan setiap hari.

Manakala untuk lebuhraya DASH pula, ia melibatkan kos pembinaan RM4.18 bilion dengan pembinaan jarak sejauh 20.1 km.

Lebuhraya DASH dijangka bakal menyuraikan trafik jalan sekitarnya dan mengurangkan kesesakan sebanyak 39 peratus di Persiaran Mohkhtar Dahari, 33 peratus di Jalan Sungai Buloh dan 43 peratus di Persiaran Surian.

 

Categories
SELANGOR

Penduduk resah banjir lumpur akibat Lebuhraya SUKE

OLEH NADIAH ZAMLUS

AMPANG, 2 MEI: Penduduk Taman Melur Fasa 2 dan 3 di sini bimbang kejadian banjir lumpur yang berlaku pada Mac lalu berulang kembali.

Pengerusi Surau Ittihadiyah Taman Melur, Abdul Rashid Harun berkata, kejadian tersebut berlaku gara-gara pembinaan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang terletak kurang 500 di belakang taman berkenaan.

Katanya, pembinaan yang telah bermula sejak tahun lalu itu tidak mendatangkan masalah pada awalnya.

“Tetapi pada 15 Mac yang lalu, hujan lebat berlaku dan secara tiba-tiba air lumpur membanjiri belakang rumah saya dan kemudiannya memenuhi jalanraya.

“Situasi lebih membimbangkan apabila pokok-pokok mati yang ditebang turut dihanyutkan, namun ia bernasib baik kerana tidak jatuh ke bawah yang dipenuhi dengan rumah penduduk,” katanya.

Abdul Rashid tidak menafikan pihak pemaju turun padang membersihkan kawasan banjir dan turut membina benteng penghalang selepas kejadian berkenaan.

Namun ia bukanlah jaminan perkara tersebut tidak mungkin akan berlaku berikutan pembinaan lebuhraya masih sedang dijalankan.

Sementara itu bagi seorang penduduk, Mashitah Zahari, 32 berkata, dia sekeluarga tidak lena tidur malam sekiranya hujan lebat berlaku.

“Tahun ini saja dua kali kami dilanda banjir lumpur, walaupun benteng sudah dibina, ia juga mendatangkan masalah kerana ia begitu dekat dengan kawasan rumah.

“Saya berharap supaya pihak pemaju akan sentiasa memantau benteng dan juga takungan air di belakang rumah kami, katanya ia untuk mengurangkan aliran air masuk ke taman penduduk,” katanya.

Kedua-duanya ditemui ketika sesi lawatan tapak oleh Calon N22 Teratai Lai Wai Chong bersama Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Mohammad Samad.

Wai Chong berkata, pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan masalah penduduk Taman Melur Fasa 2 dan 3 itu.

“Saya melihat pemaju sudah wujudkan sistem mitigasi yang baik bagi mengatasi masalah banjir lumpur, namun saya menggesa supaya kolam tadahan air hujan yang dibina sentiasa diselenggara.

“Ini kerana mungkin sampah dan sebagainya akan masuk ke situ dan kemudiannya limpahan air hujan akan kembali membanjiri kawasan taman,” katanya.

Sementara itu Mohammad berkata, pihak MPAJ sentiasa memandang berat masalah banjir yang berlaku di kawasan berkenaan.

“Ini adalah kes terbaru yang kami terima dan selepas ini ia akan dipantau oleh majlis dengan lebih kerap supaya penduduk tidak bimbang,” katanya.

Categories
NASIONAL

Kesesakan MRR2 berkurangan 24% selepas SUKE dibuka 2020

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 25 JAN: Kesesakkan lalu lintas di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dijangka dapat dikurangkan sehingga 24 peratus apabila Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang Elevated Expressway (SUKE) dibuka, pada awal tahun 2020.

Pegawai Ketua Eksekutif (CEO) Kumpulan Prolintas, Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, masa perjalanan antara Bukit Antarabangsa ke Sri Petaling yang membabitkan perjalanan sejauh 24.4 kilometer itu juga dapat dijimatkan sehingga 50 minit.

“Lebuh raya ini juga akan menghubungkan lapan jalan utama termasuk enam lebuh raya seperti Duta-Ulu Kelang exspressway (DUKE), Ampang-Kuala Lumpur Elevated Highway (AKLEH), Lebuhraya KL-Seremban, Lebuhraya Cheras-Kajang, Lebuhraya Besraya dan Shah Alam Exspessway (KESAS),” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Taklimat Media Projek SUKE & DASH-PROLINTAS di Galeria SUKE, Excella Business Park Jalan Ampang Putra, Taman Ampang Hilir di sini, hari ini.

Mohammad Azlan berkata, kesesakan di Jalan Ampang dan Jalan Loke Yew juga dapat dikurangkan kira-kira 36 peratus dan 12 peratus selain MRR2.

Katanya, SUKE memiliki 14 transit yang menghubungkan kawasan di sepanjang laluannya dengan satu jumlah transit besar berbanding lebuh raya lain, di Lembah Klang.

Katanya, keadaan itu dijangka memberi impak ekonomi kepada penduduk setempat.

Terdahulu, program Taklimat Media Projek SUKE & DASH dihadiri wakil media yang berpusat, di Lembah Klang.

Selain diberikan taklimat, wakil media turut dibawa melawat salah satu tapak projek lebuh raya itu, di Alam Damai.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Banjir SUKE, amaran keras buat pemaju

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 17 APR: Peringatan keras dikeluarkan kepada pihak pemaju yang bertanggungjawab menyebabkan punca berlakunya banjir di Bukit Teratai berdekatan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pemaju bertanggungjawab digesa mematuhi syarat wajib pembinaan projek mega mengikut piawaian ditetapkan Kerajaan Negeri sebelum ini.

“Kejadian banjir kilat ini menarik perhatian serius Kerajaan Negeri dan ia sudah dibincangkan dalam mesyuarat Exco Kerajaan Negeri untuk pastikan pemaju wajib mematuhi syarat ditetapkan.

“Garis panduan perlu dipatuhi sepenuhnya membabitkan pembinaan ruang tadahan yang mesti dibina sebelum projek mega diteruskan bagi mengelakkan banjir kilat berulang,” katanya.

AzminMohamed Azmin berkata, pemaju tidak seharusnya menumpukan kepada perolehan keuntungan dan mengenepikan aspek keselamatan penduduk.

“Kita mahu pemaju ada rasa tanggungjawab dengan tidak memikirkan aspek keuntungan sahaja tetapi lebih penting adalah keselamatan penduduk di kawasan pembangunan itu.

“Malah, kita juga tidak mahu pihak berkuasa tempatan dibebankan dengan kerja pembersihan dan penyelenggaraan apabila bencana berlaku tetapi pemaju ambil jalan mudah untuk lepas tangan.

“Ini amaran yang sudah ditetapkan dalam mesyuarat Exco Kerajaan Negeridan kita akan pastikan pihak bertanagungjawab patuh kepada arahan ini,” katanya pada Majlis Perkhidmatan Cemerlang di Hotel Flamingo, baru-baru ini.

Untuk rekod, ia adalah kali kedua kejadian banjir berlaku di kawasan sama bagi tempoh dua bulan lalu.

Memetik laporan MalaysiaKini, kejadian banjir pertama berlaku pada 19 Mac lalu, manakala yang kedua berlaku tiga hari lalu dengan 17 kediaman terjejas dalam banjir kedua tidak jauh dari lebuh raya SUKE dibina.

Sementara itu, Sinar Online melaporkan, kerja pembersihan sudah dilakukan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di lokasi kejadian.

Pegawai Komunikasi Korporat MPAJ, Norhayati Ahmad berkata, pemaju projek dan Lembaga Lebuhraya Malaysia sudah dipanggil bagi membincangkan isu itu.

“MPAJ sudah keluarkan ‘stop work order’ kepada pemaju projek sementara LLM juga akan membuat pemantauan lebih kerap terhadap projek itu,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

SUKE: Kerajaan Negeri amal sikap terbuka

OLEH NORHAYATI UMOR

HULU KELANG, 9 JULAI: Kerajaan Negeri mengambil sikap terbuka untuk bertemu dengan wakil atau penduduk bagi memberi maklumat berkenaan projek pembinaan Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE).

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata Kerajaan Negeri telus untuk menjelaskan kepada mana-mana pihak yang memerlukan maklumat.

mb sidang dewan hari isnin 1“Namun, jika ada lagi maklumat berkenaan, saya percaya semua pihak boleh bekerjasama tampil membantu.

“Tiada perkara yang akan disimpan khususnya kepada penduduk di kawasan terbabit,” katanya kepada pemberita pada Rumah Terbuka Aidilfitri Selangor di Padang AU2, di sini.

SUKE adalah lebuh raya bertingkat sepanjang 31.8 kilometer yang akan mempunyai tiga lorong dua hala menghubungkan Sri Petaling ke Ulu Kelang melalui Cheras dan Ampang.

Lebuhraya SUKE bermula dari Sri Petaling, melalui Sungai Besi, Alam Damai, Cheras- Kajang, Taman Bukit Permai, Taman Putra, Taman Permai Jaya, Taman Dagang Permai , Taman Kosas, Ampang dan Taman Hillview sebelum keluar di Hulu Kelang.

-AA-