Categories
AGENDA SUKANKINI

Kedah, Johor terima 31,610 tiket final Piala Malaysia

PETALING JAYA, 28 OKT: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) masing-masing menerima sejumlah 31,610 keping tiket untuk aksi final Piala Malaysia 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Pengagihan jumlah tiket berkenaan termasuk 750 keping tiket kanak-kanak bagi setiap pasukan berkenaan diputuskan selepas mesyuarat penyelarasan final Piala Malaysia 2019 di Ibu Pejabat Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Setiausaha Eksekutif KFA, Shahrul Shamsudin, berkata pihaknya akan menjual 26,610 tiket termasuk 750 tiket kanak-kanak kepada penyokong Kedah di kaunter tiket perkarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar, Khamis ini.

Sejumlah 5,000 lagi tiket akan dijual secara dalam talian kepada penyokong Kedah tidak termasuk bagi kategori tempat duduk RM80, RM100 dan RM150.

“Kami sudah menambah baik sistem penjualan di kaunter tiket yang saya rasa lebih efisien serta memudahkan penyokong kerana mereka hanya perlu datang ke satu tempat untuk mendapatkan tiket final.

“Sebanyak 5,000 tiket berharga RM50 diperuntukkan kepada penyokong Kedah akan mula dijual bermula Rabu ini, “ kata Shahrul kepada media selepas mesyuarat pelyarasan itu.

Dalam pada itu, Setiausaha Kehormat PBNJ, Kapten Mohd Anizam Jamian berkata, mereka akan membuat pengagihan penjualan tiket sebanyak 26,610 keping kepada 10 daerah di negeri Johor.

Beliau berkata sebahagian daripada tiket berkenaan akan turut dijual di kaunter Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada Khamis ini.

“Ini memberi kemudahan kepada penyokong JDT di setiap tempat bagi mendapatkan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia dan selepas membuat pecahan, selebihnya kami akan jual di Larkin,” kata Mohd Anizam.

Beliau pada masa turut optimis kesemua 31,610 keping tiket termasuk 5,000 keping tiket yang dijual secara dalam talian akan habis terjual kepada penyokong JDT.

Mesyuarat berkenaan turut memutuskan bahawa KFA dan PBNJ masing-masing turut diperuntukkan sejumlah 4,969 keping tiket berharga RM80, 2,621 keping tiket berharga RM100 dan sejumlah 550 keping tiket berharga RM150 yang akan dijual secara dalam talian.

Skuad Johor Daul Ta’zim (JDT) mara ke final selepas mencatat kemenangan agregat 5-1 ke atas Selangor, manakala Kedah layak menerusi peraturan gol di tempat lawan selepas terikat 8-8 secara agregat dengan Pahang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SELANGOR SUKANKINI

Selangor ada peluang cerah ke separuh akhir Piala Malaysia

SHAH ALAM, 25 SEPT: Meskipun ketinggalan agregat 0-1 ke atas Perak, namun Selangor masih ada peluang cerah melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia sekiranya pemain memberikan aksi terbaik pada perlawanan suku akhir kedua Ahad nanti.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor, Dr Johan Kamal Hamidon yakin aksi terbaik mampu ditonjolkan anak buah B Sathianathan jika mendapat sokongan padu penyokong skuad The Red Giants itu.

“InsyaAllah kita ada peluang cerah jika pemain dapat berikan yang terbaik dan ramai penyokong yang hadir untuk memberi semangat kepada pasukan.

“Saya seru rakyat Selangor hadir beramai-ramai untuk memberi sokongan yang padu kepada pemain,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Selangor bakal melayan kunjungan The Bos Gaurus di Stadium Shah Alam selepas ketinggalan agregat 0-1 pada perlawanan suku akhir pertama di Stadium Ipoh, Perak.

Gol tunggal perlawanan itu dijaringkan Brendan Gan pada minit ke-13.

Berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan pada musim ini dalam saingan Liga Super, Perak mempunyai sedikit kelebihan apabila mencatat kemenangan 3-2 di tempat sendiri dan terikat 1-1 di Shah Alam.

Bagaimanapun sama seperti tahun-tahun sebelumnya, saingan Piala Malaysia sering menampilkan kelainan berbanding Liga Super.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Piala Malaysia: Kemarau kemenangan hantui Selangor

MELAKA, 22 OGOS: Juara 33 kali, Selangor meneruskan kemarau kemenangan dalam saingan Piala Malaysia selepas sekadar seri 2-2 dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada aksi Kumpulan D di Stadium Hang Jebat, di sini, malam tadi.

Keputusan tersebut menyaksikan Selangor berkongsi enam mata dengan Melaka dalam carta Kumpulan D, namun Melaka kekal berada di tangga teratas menerusi perbezaan jaringan.

Pada aksi berkenaan, PDRM terlebih dahulu berada di hadapan pada minit ke-28 menerusi Uche Agba yang berjaya memperdayakan pemain pertahanan Selangor sebelum melepaskan rembatan kencang kaki kirinya.

Selangor kembali menyusun permainan dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-68 menerusi Taylor Regan. Gol hasil sepakan penjuru Sandro Da Silva yang ditanduk oleh Ifedayo Olusegun, sebelum bola berkenaan singgah ke kaki Reagan yang mudah menolak masuk bola ke dalam gawang PDRM.

Ifedayo meletakkan Selangor di hadapan pada minit ke-80 setelah memanfaatkan hantaran silang Muhammad Syahmi Safari, sebelum PDRM menyamakan kedudukan pada minit ke-87, menerusi percubaan solo Lee Chang-hoon, dan keputusan 2-2 itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Untuk rekod, Selangor hanya mencatatkan satu kemenangan dalam kempen Piala Malaysia pada musim ini setelah mengatasi Melaka 1-0 pada aksi kedua Kumpulan D, di venue yang sama pada 8 Ogos lalu.

– BERNAMA