Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Lapan pasukan berentap rebut kejuaraan Liga Bola Tampar 2022

SHAH ALAM, 24 FEB: Lapan pasukan bakal berentap dalam Kejohanan Malaysia Liga Bola Tampar 2022 anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Dewan Bola Tampar, Seksyen 4 di sini mulai 8 hingga 13 Mac ini.

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awamnya berkata kejohanan dengan kerjasama Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) melibatkan penyertaan dari Selangor, Johor, Sarawak, Sabah, Kuala Lumpur, Putrajaya, Angkatan Tentera Malaysia dan bomba.

Menurut Shahrin Ahmad inisiatif melahirkan belia aktif dan memperkenal Shah Alam sebagai bandar raya sukan turut disertai pemain dari luar negara bagi setiap pasukan.

“MBSA menyasarkan kejohanan ini untuk mencungkil bakat baharu dalam sukan bola tampar selain diketengahkan ke pertandingan peringkat kebangsaan serta antarabangsa,” katanya melalui kenyataan semalam.

Beliau berkata kejohanan tersebut menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM42,000 dengan juara bakal membawa pulang wang tunai RM20,000 dan medal.

Katanya naib johan pula akan menerima wang tunai RM10,000 dan medal manakala ketiga serta keempat masing-masing RM8,000 dan RM4,000 berserta medal.

Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Zamani Ahmad Mansor (tengah) bersama rakan penaja Kejohanan Malaysia Liga Bola Tampar di Galeri Mokara Wisma MBSA pada 23 Februari 2022. Foto MBSA
Categories
SELANGOR SUKANKINI

Kejohanan Bola Tampar Piala MB bakal jadi acara tahunan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 21 APRIL: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bercadang menjadikan Kejohanan Bola Tampar Shah Alam Piala Dato’ Menteri Besar sebagai acara tahunan dengan membabitkan penyertaan lebih banyak Kelab Asia.

Timbalan Datuk Bandarnya, Mohd Rashidi Ruslan berkata, pihaknya menerima penyertaan dan sambutan menggalakkan bukan sahaja peserta dari dalam negara, malahan luar negara termasuk pemain profesional.

“Kejohanan ini adalah julung kali, jika sebelum ini dipanggil Piala Dato’ Bandar Shah Alam, namun kita ubah kerana ia membabitkan penyertaan Kelab Asia termasuk pemain profesional daripada pasukan Asia.

“Saya sudah berbincang dengan EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman yang menyatakan akan menganjurkan sekali lagi kejohanan seperti ini pada tahun akan datang.

“Beliau juga bersetuju untuk memperuntukkan sejumlah bajet untuk kita memperkasa lagi sukan bola tampar dengan menawarkan hadiah lebih lumayan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Kejohanan Bola Tampar Shah Alam Piala Dato’ Menteri Besar, di Dewan Bola Tampar MBSA, di sini hari ini.

Hadir sama, Presiden Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA), Datuk Benny Hoe Tze Fook.

Rashidi berkata, matlamat penganjuran kejohanan seumpama itu adalah untuk melahirkan pemain pelapis sukan bola tampar peringkat negeri dan pentas antarabangsa.

“Selain itu, ia juga menggalakkan gaya hidup sihat dan medan untuk memperkenalkan bandar raya Shah Alam sebagai sebuah bandar raya sukan,” katanya.

Terdahulu, pertandingan itu terbahagi kepada dua kategori iaitu Lelaki Terbuka dan Amatur Lelaki serta Wanita membabitkan penyertaan 62 pasukan dari luar negara termasuk Thailand, Indonesia, Vietnam, Taiwan juga Jepun.

Categories
SELANGOR SUKANKINI

Shah Alam City rangkul Piala Dato’ Menteri Besar

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 21 APRIL: Pasukan bola tampar Shah Alam City muncul juara Kejohanan Bola Tampar Shah Alam Piala Dato’ Menteri Besar, pada pusingan akhir yang berlangsung di Dewan Bola Tampar Seksyen 4, di sini hari ini.

Shah Alam City yang diwakili kapten Sim Jian Qin menewaskan pasukan Sanest Khao Hoa dari Vietnam dalam pertarungan dramatik dengan kutipan mata 16-25, 22-25, 32-30, 25-15, 15-8.

Kemenangan itu sekali gus melayakkan pasukan kendalian Khoo Chong Long membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000, piala iringan, piala pusingan berserta baucar World of Sports bernilai RM3,000.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Mohd Rashidi Ruslan sambil disaksikan Presiden Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA), Datuk Benny Hoe Tze Fook.

Khoo berkata, walaupun gagal menampilkan corak permainan baik pada dua set terawal, namun kekalahan itu tidak mematahkan semangat anak buahnya untuk terus berjuang sebaik masuk set ketiga, sekali gus mematikan langkah lawan pada set seterusnya.

“Sebelum perlawanan, pemain nampak gugup memandangkan kita memiliki ramai pemain muda selain gandingan tiga pemain import yang masih tidak serasi dengan pemain lama kita.

“Bagaimanapun, memasuki set ketiga, kita cuba membuat perubahan posisi dan menukar pemain sehingga meraih kemenangan.

“Saya gembira dengan kegigihan mereka yang tidak berputus asa mencari kemenangan selepas menemui rentak pada set ketiga itu,” katanya.

Sementara itu, tempat ketiga dimenangi pasukan Garuda dari Jakarta, Indonesia manakala keempat dirangkul All Fame Volleyball Club.

Terdahulu, kejohanan yang mendapat penajaan bersama SHARP Malaysia dan Pure Fiit Apparel itu berlangsung sejak 17 April lalu membabitkan dua kategori iaitu Lelaki Terbuka termasuk Amatur Lelaki serta Wanita.

Sebanyak 62 pasukan dari dalam dan luar negara menyertai kejohaan terbabit antaranya Thailand, Indonesia, Vietnam, Taiwan serta Jepun.

Categories
SELANGOR SUKANKINI

Selangor ungguli Kejohanan Bola Tampar Piala Datuk Bandar Shah Alam

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 16 APR: Pasukan Bola Tampar Lelaki Selangor mendominasi kemenangan pada Kejohanan Bola Tampar Terbuka Malaysia, dalam perebutan Piala Datuk Bandar Shah Alam.

Kejohanan yang berlangsung di Dewan Bola Tampar MBSA itu menyaksikan pertembungan sengit antara pasukan Selangor dan Perak pada perlawanan peringkat akhir.

Ketua Jurulatih Selangor, Shamsaimom Sharif, menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian ditunjukkan pasukan di bawah bimbingannya itu.

Katanya, memandangkan Selangor menjadi tuan rumah untuk kejohanan kali ini, maka sudah menjadi tanggungjawab besar dipikul bagi memastikan aksi pemain berada di tahap terbaik.

“Tambahan pula, sudah empat tahun kita tidak berpeluang menghantar pasukan Selangor ke Kejohanan Terbuka Malaysia, jadi peluang ini diguna sebaik mungkin untuk mencari pelapis muda.

“Tempoh dua bulan diambil sebagai persediaan pemain sebelum beraksi pada kejohanan ini, dan kita membuat pemantauan sepenuhnya terhadap proses latihan mereka.

“Justeru, menerusi pencapaian hebat ini, pemain telah membuktikan kebolehan dengan menampilkan persembahan di gelanggang perlawanan, sekali gus dinonatkan sebagai johan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Hadiah, Kejohanan Bola Tampar Piala Datuk Bandar Shah Alam, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Shamsaimon berkata, Liga Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) optimis untuk terus meningkatkan mutu kualiti bola tampar negara melalui penambahan pemain untuk satu pasukan.

“Sebelum ini hanya terdiri daripada 10 pemain sahaja, tetapi Liga MAVA akan buka enam kekosongan lagi untuk mengetengahkan pelapis sukan bola tampar.

“Selain mengekalkan barisan pemain sedia ada, kita akan memperkuatkan asas latihan untuk mereka,” katanya.

Terdahulu, pasukan bola tampar lelaki Selangor memperoleh hadiah kemenangan wang tunai RM10,000, medal berserta piala iringan.

Sementara itu, keputusan lain bagi kategori lelaki menyaksikan, Perak menyandang Naib Johan dan Sarawak di tempat ketiga.

Manakala, bagi kategori wanita, Johan diungguli pasukan Negeri Sembilan, Sarawak di tempat kedua dan Selangor di tempat ketiga.

=EZY=

Categories
SELANGOR

53 pasukan meriahkan kejohanan bola tampar

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 7 MAC: Sebanyak 53 pasukan bola tampar dalam dan luar negara menyertai Kejohanan Bola Tampar Piala Datuk Bandar dan Volleython Piala Timbalan Datuk Bandar Shah Alam 2016 anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan kerjasama Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA).

Ketua Komunikasi Korporat MBSA, Shahrin Ahmad, berkata antara negara luar yang menyertai kejohanan kali ini seperti Thailand, Indonesia, Sri Lanka, Taiwan, dan Hong Kong.

MBSA“Bagi pertandingan bola tampar terdapat dua kategori dipertandingkan iaitu kategori lelaki terbuka dan kategori wanita terbuka.

“Matlamat penganjuran kali ini adalah untuk melahirkan pemain pelapis untuk digilap sehingga mewakili negara ke kejohanan bola tampar peringkat negeri dan juga di pentas antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.

Shahrin berkata, MBSA menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM23,000.

Johan bagi kategori lelaki terbuka membawa pulang wang tunai bernilai RM 10,000 beserta RM5,000 Voucher Mizuno.

EZY