Categories
NASIONAL

Tindakan tegas kepada nelayan guna bom ikan – Shafie

KOTA KINABALU, 7 JUL: Tindakan tegas perlu diambil termasuk mengenakan hukuman penalti berat terhadap nelayan didapati menggunakan kaedah bom ikan untuk menangkap hasil laut di periaran Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata, penggunaan bom ikan dalam kalangan nelayan di negeri ini sudah lama berlarutan justeru, tindakan tegas perlu diambil bagi membanteras kegiatan berkenaan daripada terus berleluasa.

“Tindakan tegas harus diambil kepada mana-mana pihak terbabit dalam penggunaan bom ikan. Saya selaku ahli Parlimen Semporna juga sudah menyuarakan berulang kali mengenai perkara ini bagaimana (langkah) untuk mengatasinya.

“Kegiatan pengeboman ikan ini perlu ditegah dengan baik termasuk mengenakan hukuman penalti berat kepada pelakunya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Penajaan Pendidikan Petronas 2019 di sini, hari ini.

Mohd Shafie berkata demikian ketika diminta mengulas insiden meragut nyawa dua pelancong asing dan seorang warga tempatan ketika menyelam berhampiran Pulau Kulapuan, Semporna pada 5 Julai lalu.

Dalam kejadian didakwa berlaku antara jam 4 petang hingga 6 petang semalam, ketiga-tiga mangsa menjalankan aktiviti selaman di perairan Semporna sebelum terkena bom ikan dibaling nelayan berhampiran lokasi mangsa menyelam.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata, penggunaan bom ikan perlu disekat selain siasatan lanjut bagaimana nelayan memperoleh bom ikan juga seharusnya dilakukan dalam usaha menyelesaikan masalah itu secara konkrit.

Beliau juga meminta penduduk kampung memberi kerjasama memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai maklumat mengenai nelayan menjalankan aktiviti pengeboman ikan.

Menurutnya, menangkap hasil laut menggunakan kaedah bom ikan bukan pendekatan memberi keuntungan jangka panjang berikutan ia mampu memberi kesan kepada ekosistem hidupan marin dan kesihatan manusia.

“Ini kerana, bahan dalam bom ikan mengandungi racun, ikan (ditangkap menggunakan kaedah bom ikan) akan termakan racun, kita pula akan makan ikan, dan ini (dikhuatiri) akan (menimbulkan) berbagai penyakit,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata, penggunaan pam bot dalam kalangan nelayan bukanlah penyumbang utama kepada berleluasanya aktiviti pengeboman ikan di perairan negeri ini kerana pam bot hanyalah kemudahan untuk golongan itu menangkap hasil laut.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Polis buru nelayan terlibat aktiviti bom ikan

KOTA KINABALU, 6 JUL: Polis sedang mengesan nelayan terlibat menggunakan bom ikan sehingga mengakibatkan dua pelancong warga China dan seorang jurulatih selaman tempatan terbunuh di perairan Semporna, semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah ketika dihubungi Bernama hari ini berkata, Pasukan Polis Marin telah diarahkan untuk menjalankan siasatan berhubung perkara itu, bagaimanapun, setakat ini individu terlibat dalam kegiatan berkenaan masih belum dapat dikesan.

“Kita (polis) sedang mencari (mengesan nelayan terlibat dalam aktiviti pengeboman ikan). Kita juga telah mengarahkan (polis) marin (menjalankan siasatan). Kru (nelayan) yang ada sekarang yang lalu di kawasan tempat menyelam itu adalah bot kecil. Tetapi masalahnya, tiada siapa mendengar bunyi bom (ikan di kawasan berkenaan),” katanya.

Dalam kejadian didakwa berlaku antara jam 4 petang hingga 6 petang semalam, ketiga-tiga mangsa menjalankan aktiviti selaman di perairan Semporna sebelum terkena bom ikan yang dibaling nelayan berhampiran lokasi mangsa menyelam di perairan berhampiran Pulau Kalapuan.

Mengulas lanjut, Omar berkata, polis Sabah sentiasa komited membuat pemantauan mengekang kegiatan pengeboman ikan di perairan negeri ini.

Bagaimanapun katanya, nelayan licik kerana mereka akan melakukan kegiatan pengeboman ikan di sesebuah kawasan selepas melihat tiada bot rondaan polis di lokasi tersebut.

“Pemantauan polis adalah sepanjang masa tetapi apabila (nelayan) nampak bot (rondaan) polis mereka tidak akan menjalankan kegiatan itu, namun, mereka akan mencari kawasan yang tiada bot polis.

“Kawasan perairan Sabah ini luas, kita tidak dapat kawal semua kawasan,” katanya.

Dalam pada itu, Omar berkata kerjasama antara semua pasukan keselamatan dengan Jabatan Perikanan dan Jabatan Laut adalah amat penting dalam usaha memastikan aktiviti pengeboman ikan ini dapat dibanteras memandangkan ia semakin berleluasa.

“Bagaimanapun, apa yang lebih penting ialah, kita minta orang kampung turut memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat kepada pihak polis jika mereka mengenal pasti individu atau kumpulan nelayan terlibat dalam aktiviti pengeboman ikan ini.

“Aktiviti pengeboman ikan ini adalah satu perkara yang perlu dibanteras kerana kesannya begitu merbahaya bukan sahaja kepada kehidupan marin seperti batu karang tetapi juga bahaya kepada nyawa manusia,” katanya.

– BERNAMA