Categories
AGENDA NASIONAL

MOF sedia bertindak jika bon Samurai terbitan kali kedua diteruskan

PUTRAJAYA, 8 SEPT: Kementerian Kewangan (MOF) bersedia untuk bertindak jika terbitan bon Samurai kali kedua diteruskan.

Kementerian itu dalam kenyataan berkata, pihaknya menunggu arahan lanjut daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kenyataannya pada sidang media di Kyoto, Jepun baru-baru ini bahawa Malaysia mahu terbitan bon Samurai kedua diteruskan.

Pada sidang media bersempena lawatan kerja ke negara itu, Dr Mahathir berkata Malaysia mendapat persetujuan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe bagi terbitan bon terbabit, bagaimanapun kini terpulang kepada Kementerian Kewangan untuk meneruskan rundingan berkenaan.

Pada Jun lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menerima arahan perdana menteri untuk mengadakan rundingan dengan pihak berkaitan setelah lawatan beliau ke Jepun pada akhir Mei, di mana Abe menawarkan bon Samurai siri kedua.

Menurut kenyataan itu, Mesyuarat Jemaah Menteri turut memutuskan untuk bersetuju secara prinsip dengan butiran lanjut bagi diperincikan Kementerian Kewangan.

“Setelah rundingan Menteri Kewangan dengan pihak kerajaan Jepun, khususnya Japan Bank for International Cooperation (JBIC) yang akan menjaminkan terbitan bon samurai itu, JBIC bersetuju untuk mengurangkan kadar faedah pinjaman kepada 0.5 peratus dengan tempoh matang 10 tahun.

“Ini berbanding dengan 0.63 peratus oleh JBIC dengan tempoh matang 10 tahun, bagi pinjaman bon Samurai yang pertama sebanyak 200 bilion yen pada Mac tahun ini,” menurut kementerian itu.

Bagaimanapun, Kementerian Kewangan berkata Dr Mahathir mengambil kira pandangan pelbagai pihak walaupun kadar bon Samurai siri kedua yang ditawarkan kali ini adalah lebih rendah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia kaji satu lagi tawaran bon Samurai dari Jepun

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Malaysia sedang mengkaji satu lagi tawaran bon Samurai dari Jepun, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Ya, Jepun menawarkan pinjaman yang sangat murah, kini ia lebih rendah, oleh itu kami sedang mengkaji kaedah untuk menggunakan pembiayaan murah ini untuk mengatasi masalah kewangan kita,” katanya kepada media selepas melancarkan Persidangan Pelancongan Dunia 2019 di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Laporan pada Mac menyebut Malaysia sedia menimbang untuk menerbitkan bon Samurai lain jika ia boleh memperoleh kadar yang sama dengan 0.63 peratus setahun seperti yang diperoleh dalam terbitan awal bon Samurai 200bil yen (RM8bil).

Bon Samurai ialah bon dalam denominasi yen yang diterbitkan di Tokyo, dan tertakluk kepada peraturan Jepun.

Kerajaan berjaya menerbitkan Bon Samurai pertama pada Mac dengan lebihan langganan 1.6 kali pada 324.7 bilion yen berbanding 200 bilion yen yang ditawarkan.

Bon itu dijamin oleh Japan Bank for International Cooperation (JBIC) dengan tempoh matang 10 tahun dengan kos penuh kepada kerajaan pada 0.63 peratus setahun.

Keuntungan daripada terbitan bon itu akan digunakan untuk membiayai pembangunan infrastruktur, termasuk pembinaan sekolah, hospital, jalan dan utiliti.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Jepun sedia sokong usaha Malaysia tambah terbitan bon Samurai

 

TOKYO, 31 Mei: Pihak Japan Bank for International Cooperation (JBIC) bersedia untuk menimbang bagi menyalurkan sokongan lanjut sekiranya Malaysia berhasrat menambah terbitan bon Samurai pada masa depan, kata Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe hari ini.

Ini berikutan kejayaan langkah terbitan bon Samurai bernilai 200 bilion yen (kira-kira RM7.4 bilion) yang dijamin oleh JBIC pada Mac 2019 yang dijangka membantu meningkatkan kemampanan fiskal dan daya tahan strategik Malaysia.

Abe dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengadakan mesyuarat dua hala di Pejabat Perdana Menteri Jepun itu di Nagato-cho, Chiyoda-ku, di sini.

Ketika mengulas perkara itu, Dr Mahathir berkata langkah itu akan dapat mempertingkat portfolio kewangan dan meminimumkan risiko pertukaran asing bagi Malaysia.

Menurut satu kenyataan bersama Kerjasama Malaysia-Jepun, kedua-dua pemimpin tersebut turut sependapat bahawa sebarang usaha antara dua kerajaan itu akan menyumbang ke arah memperkukuh kerjasama strategik Tokyo-Kuala Lumpur.

Mesyuarat itu turut mengambil maklum mengenai penyelidikan komprehensif bagi tujuan penambahbaikan aspek pengangkutan di Malaysia yang sedang dilaksanakan oleh satu kumpulan Jepun.

Penyelidikan yang merangkumi pengangkutan darat, laut dan udara serta skop pengangkutan penumpang dan penghantaran kargo, juga dilaporkan berjalan lancar dan laporan akhir dijangka dapat dikemukakan pada Ogos.

Ia antara lainnya menyenaraikan cadangan bagi komposisi optimum pelbagai mod pengangkutan berbeza serta kaedah bagi memaksimumkan penggunaan rangkaian laluan kereta api sedia ada.

Laporan akhir itu juga dijangka menawarkan cara bagi mempertingkat keberkesanan setiap mod pengangkutan seperti rel, jalan raya, lapangan terbang dan pelabuhan serta jaringan kesalinghubungan di antara kesemuanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut menyuarakan terima kasih di atas program latihan modal insan bagi jurutera rel Malaysia yang disediakan oleh pihak JR Kyushu dan JR Freight.

Pada mesyuarat itu juga, Malaysia dan Jepun aling mengesahkan kemajuan ke arah penubuhan kampus cawangan sebuah universiti Jepun di Malaysia.

Malah, University of Tsukuba telah menyatakan minat untuk membuka kampus cawangannya di Malaysia.

Apabila siap kelak, ia akan menjadi kampus cawangan pertama universiti Jepun yang dibina di luar negara itu.

Selain itu, Mahathir dan Abe turut memperakui kepentingan menggalakkan kerjasama pertahanan berdasarkan perjanjian sedia ada membabitkan pemindahan peralatan dan teknologi pertahanan selain memorandum kerjasama dan pertukaran dalam bidang itu.

Jepun dan Malaysia juga akan saling bekerjasama merealisasikan kebebasan, keterbukaan, kemakmuran dan kewujudan bersama secara aman berdasarkan kedaulatan undang-undang di wilayah Indo-Pasifik yang merentasi di kedua-dua bahagian Selat Melaka meliputi Laut China Selatan dan Lautan Hindi.

Atas alasan itu, Dr Mahathir menegaskan keperluan mempertahankan keselamatan pengemudian di Selat Melaka dan mendapatkan bantuan Jepun.

Beliau turut menyuarakan minat Malaysia untuk mempelajari selok-belok aspek pengurusan dan respon membabitkan bencana tumpahan minyak dari Jepun.

Perdana Menteri yang ditemani isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, telah menaiki pesawat yang berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada jam 3.20 petang tadi waktu tempatan selepas melakukan lawatan kerja selama tiga hari ke Jepun. -BERNAMA

Categories
GLOBAL NASIONAL

Bon Samurai banyak faedah untuk negara

TOKYO, 7 NOV: Tawaran jaminan penerbitan bon Samurai Kerajaan Jepun kepada Malaysia akan memberi banyak faedah kepada negara terutama dalam mengurangkan beban kewangan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, bon termurah dengan kadar faedah 0.65 peratus lebih baik berbanding hutang lama yang terpaksa ditanggung dengan faedah sehingga tujuh peratus.

“Jika kita dapat tukar daripada faedah tinggi kepada rendah, kita akan dapat kurangkan beban negara untuk membayar balik pinjaman.

“Bon itu boleh digunakan untuk apa-apa projek yang kita ada,” katanya sempena lawatan kerja tiga harinya ke Jepun, lapor BERNAMA.

Mengulas lanjut, katanya, terdapat dua jenis pinjaman oleh Jepun termasuk bon Samurai yang akan diberikan institusi perbankan negara itu.

“Mereka juga ada ODA (Bantuan Pembangunan Rasmi) yang boleh bantu jika kita ada projek tertentu.
“Jika dapat bantuan ODA, faedah pinjaman dikenakan rendah, mungkin satu hingga 1.5 peratus atau kurang,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Jepun menawarkan jaminan penerbitan bon Samurai sehingga 200 bilion yen (RM7.4 bilion) dalam tempoh 10 tahun.

TOKYO, 7 Nov — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sidang akhbar kepada wartawan Malaysia selepas menamatkan lawatan kerja selama tiga hari ke Jepun hari ini.
–fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA
TOKYO, Nov 7 — Prime Minister Tun Dr Mahathir Mohamad during a press conference with Malaysian journalists after ending of his three-day working visit to Japan, today.
— fotoBERNAMA (2018) COPYRIGHT RESERVED?

Penerbitan bon dalam denominasi yen itu akan dijamin Japan Bank of International Cooperation, pada kadar kupon indikatif 0.65 peratus dan dijangka diterbitkan sebelum Mac tahun depan.

Malaysia menyuarakan hasrat mendapatkan pinjaman yen itu sewaktu pertemuan pertama Tun Dr Mahathir dengan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, pada Jun lalu dalam usaha menangani hutang kerajaan.