Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan cuba sebaik mungkin elak laksana PKP penuh

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Kerajaan akan mencuba sebaik mungkin untuk mengelakkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya yang menghalang sebarang aktiviti ekonomi dengan penutupan semua perniagaan dan kilang.

Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Kementerian Kewangan, Zakiah Jaafar berkata negara tidak mampu untuk menangani krisis ekonomi yang lebih serius dan berpanjangan.

“Secara dasarnya, dengan pendekatan PKP kedua yang dilaksanakan sekarang, dianggarkan kita mungkin memerlukan antara empat hingga enam minggu untuk meratakan lengkungan keluk Covid-19 bagi mencapai satu tahap yang boleh ditampung oleh sistem perkhidmatan kesihatan negara yang ada pada masa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Ruang Bicara mengenai Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) terbitan Bernama TV malam tadi.

Menurutnya, pelaksanaan PKP kali kedua ini adalah berbeza berbanding PKP pada tahun lepas memandangkan lebih 90 peratus sektor dan perniagaan dibenarkan beroperasi mengikut tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan majikan, pekerja dan usahawan supaya mematuhi SOP yang ditetapkan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej bantuan Permai bernilai RM15 bilion baru-baru ini, merangkumi 22 inisiatif bagi memerangi pandemik Covid-19 serta mengurangkan kesannya kepada masyarakat dan ekonomi.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Harga RON95, RON 97 naik lima sen, diesel naik tiga sen

KUALA LUMPUR, 15 JAN: Harga runcit petrol RON95 dan RON 97 masing-masing naik lima sen seliter manakala harga diesel naik tiga sen seliter bagi tempoh seminggu bermula tengah malam ini sehingga 22 Januari.

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan (MOF) harga runcit baharu petrol RON95 adalah RM1.89 seliter manakala harga baharu bagi petrol RON97 adalah RM2.19 seliter.

“Harga runcit diesel naik daripada RM2.02 seliter kepada RM2.05 seliter,” menurut kenyataan itu.

Menurut MOF harga baharu itu berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA EKONOMI NASIONAL

Sukuk Prihatin RM500 juta patuh syariah dilancar, pertama guna digital

PUTRAJAYA, 18 OGOS: Sukuk Prihatin patuh syariah bernilai RM500 juta di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) telah dilancarkan hari ini, yang merupakan sukuk digital pertama Malaysia.

Majlis perasmian Sukuk Prihatin di Kementerian Kewangan itu disaksikan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut hadir Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Muhyiddin dalam ucapannya berkata terbitan sukuk itu merupakan hasil permintaan pelbagai pihak untuk turut membantu dalam usaha pemulihan negara yang mana ia boleh dilanggan oleh orang awam dan sektor korporat secara dalam talian.

“Saya terharu kerana kerajaan telah menerima tawaran dari rakyat yang jujur dan ikhlas yang ingin membantu kerajaan untuk menyokong pemulihan ekonomi negara,” katanya pada majlis perasmian sukuk itu.

Beliau berkata hasil terbitan Sukuk Prihatin akan disalurkan kepada beberapa inisiatif yang telah dikenal pasti termasuk usaha meningkatkan kesalinghubungan kepada sekolah-sekolah luar bandar, menampung geran penyelidikan penyakit-penyakit berjangkit di samping membiayai perusahaan kecil dan sederhana serta mikro terutama usahawan wanita.

Pada majlis perasmian tersebut, Seri Paduka berkenan menjadi pelabur terawal untuk sukuk berkenaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MOF sedia bertindak jika bon Samurai terbitan kali kedua diteruskan

PUTRAJAYA, 8 SEPT: Kementerian Kewangan (MOF) bersedia untuk bertindak jika terbitan bon Samurai kali kedua diteruskan.

Kementerian itu dalam kenyataan berkata, pihaknya menunggu arahan lanjut daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kenyataannya pada sidang media di Kyoto, Jepun baru-baru ini bahawa Malaysia mahu terbitan bon Samurai kedua diteruskan.

Pada sidang media bersempena lawatan kerja ke negara itu, Dr Mahathir berkata Malaysia mendapat persetujuan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe bagi terbitan bon terbabit, bagaimanapun kini terpulang kepada Kementerian Kewangan untuk meneruskan rundingan berkenaan.

Pada Jun lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menerima arahan perdana menteri untuk mengadakan rundingan dengan pihak berkaitan setelah lawatan beliau ke Jepun pada akhir Mei, di mana Abe menawarkan bon Samurai siri kedua.

Menurut kenyataan itu, Mesyuarat Jemaah Menteri turut memutuskan untuk bersetuju secara prinsip dengan butiran lanjut bagi diperincikan Kementerian Kewangan.

“Setelah rundingan Menteri Kewangan dengan pihak kerajaan Jepun, khususnya Japan Bank for International Cooperation (JBIC) yang akan menjaminkan terbitan bon samurai itu, JBIC bersetuju untuk mengurangkan kadar faedah pinjaman kepada 0.5 peratus dengan tempoh matang 10 tahun.

“Ini berbanding dengan 0.63 peratus oleh JBIC dengan tempoh matang 10 tahun, bagi pinjaman bon Samurai yang pertama sebanyak 200 bilion yen pada Mac tahun ini,” menurut kementerian itu.

Bagaimanapun, Kementerian Kewangan berkata Dr Mahathir mengambil kira pandangan pelbagai pihak walaupun kadar bon Samurai siri kedua yang ditawarkan kali ini adalah lebih rendah.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Tiga persatuan wartawan diminta hubungi MOF pulangkan wang 1MDB

BUTTERWORTH, 29 JUN: Tiga persatuan wartawan dan jurugambar di Pulau Pinang diminta berhubung dengan Kementerian Kewangan (MOF) untuk memulangkan wang yang mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata ketiga-tiga persatuan wartawan ini telah mengakui menerima RM50,000 setiap satu persatuan dengan jumlah keseluruhan RM150,000 dari 1MDB.

“Saya rasa ketika itu mereka tidak tahu mana punca wang ini, tetapi selepas tahu saya rasa mereka tahu apa yang mereka sepatutnya buat la.

“Terdapat pelbagai saluran untuk mereka pulang wang 1MDB dan mereka harus menghubungi MOF untuk mengetahui prosesnya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambahnya, mereka harus kembalikan wang 1MDB kerana ini wang yang sedang dalam siasatan.

Selasa lepas, Lim mengumumkan Persatuan wartawan dan jurugambar di Pulau Pinang antara pihak dikenal pasti turut menerima dana yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Ketika ditanyakan sama ada ketiga-tiga persatuan wartawan ini akan dipanggil untuk membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lim berkata beliau tidak pasti kerana perkara itu diluar bidang kuasa beliau.

“Saya rasa perkara (siasatan) itu akan datang tetapi segala terpulang kepada SPRM namun dalam rekod kami memang jelas nama mereka ada,” katanya.

Sementara itu, Lim yang juga setiausaha agong DAP berkata saranan Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau untuk mendapatkan semula wang 1MDB dari bekas pemimpin-pemimpin UMNO dalam Pakatan Harapan (PH) disifatkan sebagai ‘tidak masuk akal’.

Katanya, mereka tidak menerima wang ini kerana wang 1MDB ini tidak masuk ke dalam akuan peribadi mereka.

“Jangan minta saya saya tuntut wang daripada mereka yang tidak menerima wang 1MDB. Jadi saya rasa pembangkang ini sudah hilang akal dan tidak tahu macam mana nak tangani 1MDB,” katanya.

Dominic rabu lepas, menggesa Lim memulakan dengan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dalam usaha mendapatkan semula wang-wang yang mengalir keluar daripada salah guna kes 1MDB.

Terdahulu, Lim yang juga Anggota Parlimen Bagan telah memberi bantuan kewangan dengan jumlah keseluruhan RM11,000 kepada lapan mangsa ribut di Bagan Jermal pada 22 Jun lepas.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

KPDNHEP, MOF bincang subsidi petrol bersasar

OLEH NORHAYATI UMOR

PUTRAJAYA, 19 JUN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengadakan mesyuarat bersama Kementerian Kewangan bagi memuktamadkan mekanisme pelaksanaan subsidi petrol bersasar.

Menterinya, Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ketika ini beliau sedang menunggu tarikh daripada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk mengadakan mesyuarat itu bulan ini.

Katanya, mesyuarat itu akan memperincikan implikasi kewangan, data, proses dan tarikh dilaksanakan serta harga.

“Pihak kementerian sebelum ini mengadakan pertemuan dengan pelbagai pihak berkepentingan seperti persatuan pengusaha stesen minyak dan Bank Negara Malaysia berhubung perkara itu,” katanya dalam sidang media di KPDNHEP, di sini.

Sebelum ini, subsidi petrol bersasar antara langkah digariskan dalam Belanjawan 2019 untuk mengurangkan kos sara hidup bagi isi rumah B40 yang menerima pendapatan bulanan bawah RM3,860.

Pada masa sama, Saifuddin Nasution turut memaklumkan pihaknya sedang merangka rang undang-undang berkaitan Food Bank atau Bank Makanan bagi memastikan pelaksanaannya lebih sistematik.

Katanya, draf berkenaan sudah dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk diteliti.

“Setakat ini kita tidak menerima sebarang aduan berhubung keracunan makanan kerana kita melaksanakan rejim kawalan keselamatan yang sangat ketat

“Dua uji kaji dijalankan bagi menentukan tahap keselamatan makanan itu yang dihantar kepada makmal.
Bagaimanapun, kita masih menunggu laporan penuh ujian daripada makmal Kementerian Kesihatan,” katanya.

Katanya, jika berjaya kajian itu mungkin boleh dikembangkan membabitkan mangsa banjir.

Categories
NASIONAL

MoF tuntut pembayaran penuh pinjaman RM250 juta daripada NFCorp

KUALA LUMPUR, 20 Mei: Kementerian Kewangan (MoF) sedang menuntut pembayaran penuh pinjaman RM250 juta, termasuk faedah dan caj faedah lewat, yang telah diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) pada 2008.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata tuntutan mahkamah akan dijalankan oleh Jabatan Peguam Negara terhadap syarikat itu yang masih berhutang RM253.6 juta kepada kerajaan.

Beliau berkata Notis Pengisytiharan Berlaku Keingkaran yang selaras dengan Klausa 14 Perjanjian Pinjaman di antara Kerajaan Persekutuan dan NFCorp telah dikeluarkan pada September 2014 dan perkara ini telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada 29 Ogos 2018 untuk tindakan lanjut.

“Jabatan Peguam Negara sedang meneliti perkara itu dan akan mengumumkan perkembangan terkini jika ada,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

MoF menekankan bahawa NFCorp telah menerima kemudahan pinjaman RM250 juta daripada kerajaan pada 9 Januari 2008 dengan kadar faedah sebanyak dua peratus serta tempoh pinjaman selama 20 tahun dan tempoh tangguh selama tiga tahun.

Pinjaman itu dijamin oleh debentur yang ditandatangani bersama-sama dalam perjanjian pinjaman pada 6 Disember 2007.

“Berdasarkan penyata lengkap pinjaman Kerajaan Persekutuan sehingga 30 April 2019 dari Jabatan Akauntan Negara, jumlah baki pinjaman (terhutang) oleh NFCorp kepada kerajaan adalah sebanyak RM253.62 juta, termasuk faedah dan caj faedah lewat sehingga 30 April 2019.

“Dari jumlah tersebut, RM110.84 juta adalah jumlah terhutang untuk pembayaran balik kepada Kerajaan Persekutuan dari 30 April 2019, terdiri daripada tunggakan pokok pinjaman RM81.99 juta, faedah pinjaman sebanyak RM22.97 juta dan caj faedah lewat berjumlah RM5.89 juta,” kata Lim. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

MOF bayar balik RM17.1 bilion GST, cukai pendapatan

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Kementerian Kewangan membuat pembayaran balik RM17.1 bilion cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan cukai pendapatan untuk tahun ini sehingga 30 April.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ia meliputi pembayaran balik RM5.2 bilion cukai pendapatan kepada 70,205 kes syarikat, dan RM2.4 billion pemulangan cukai pendapatan kepada 1,186,288 kes bukan syarikat oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Manakala RM9.5 bilion pemulangan balik GST oleh Kastam Diraja Malaysia kepada 76,002 yang berdaftar sehingga 30 April 2019.

“Pembayaran balik bayaran cukai ini dijangka menjana impak positif kepada perniagaan di Malaysia dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, RM16 bilion daripada bayaran balik itu adalah daripada dividen istimewa sekali oleh Petronas berjumlah RM30 bilion untuk digunakan bagi membayar balik GST dan bayaran balik cukai pendapatan sebanyak RM37 bilion tahun ini seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2019 tahun lalu.

“Dividen istimewa sekali dari Petronas ini mula dibayar kepada kerajaan secara berperingkat, dan bayaran balik kepada pembayar cukai bermula sejak Januari,” katanya.

Beliau berkata, tunggakan RM37 bilion dalam pembayaran cukai pendapatan enam tahun dan pembayaran balik GST selama tiga tahun membabitkan 121,429 pendaftar GST dan 1,653,786 syarikat, individu, masyarakat dan yayasan pembayar cukai, pada 31 Mei 2018.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Sasaran KDNK kekal 4.9 peratus bagi 2019

KUALA LUMPUR, 3 MEI: Kementerian Kewangan mengekalkan unjuran pertumbuhan semasa 4.9 peratus bagi negara untuk tahun ini, walaupun Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Nikkei menunjukkan kemungkinan peningkatan 5.2 peratus pada 2019.

Menteri, Lim Guan Eng berkata kementerian menyambut baik bacaan PMI terkini bagi Malaysia itu, yang meningkat kepada paras tertinggi dalam tempoh tujuh bulan, iaitu 49.4 mata pada April 2019 daripada 47.2 mata ketika bulan sebelumnya.

Prestasi PMI pada April itu didorong oleh, antara lain, pertambahan tempahan eksport, pertumbuhan pekerjaan, pelaburan bagi jentera dan kilang baharu, serta keyakinan perniagaan yang lebih baik susulan kepastian dan kejelasan dasar di bawah agenda pembaharuan kerajaan.

“Pertumbuhan mampan berterusan itu membuktikan langkah pemulihan semasa dan usaha pembangunan yang dilaksanakan oleh pentadbiran Pakatan Harapan mencapai hasil seperti dirancangkan.

“Kerajaan akan meneruskan usaha untuk menambah baik kebajikan rakyat melalui tumpuan mencapai pertumbuhan berkualiti tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Nikkei, keyakinan perniagaan pada April juga berada pada tahap tertinggi seperti yang pernah direkodkan pada Oktober 2013.

Pertambahan pelaburan baharu pula merupakan kesan langsung daripada keupayaan kerajaan dalam meningkatkan pelaburan langsung asing diluluskan, iaitu sebanyak 48 peratus kepada RM80.5 bilion pada 2018 daripada RM54.5 bilion pada 2017.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

121 projek diteruskan selepas rundingan semula

KUALA LUMPUR, 31 MAC: Sebanyak 121 projek infrastruktur bernilai RM13.93 bilion di seluruh negara yang ditawarkan secara rundingan terus dan tender terhad oleh Barisan Nasional (BN) akan diteruskan selepas rundingan semula harga oleh Kerajaan Persekutuan, dengan penjimatan kos RM805.99 juta.

Ini tidak termasuk projek mega seperti LRT3 dengan kos RM31.65 bilion dan MRT2, dengan kos RM39.35 bilion, yang masing-masing dikurangkan harga kepada RM16.63 bilion, dan RM30.53 bilion. Ini sekali gus menjimatkan kos keseluruhan RM23.84 bilion untuk kedua-dua projek ini.

Dalam kenyataan akhbar, Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) berkata, ini adalah susulan pegumuman pada 29 Jun, 2018 beberapa langkah awal untuk meningkatkan tadbir urus perolehan kerajaan dan pengurusan kewangan negara, termasuk kajian semula projek-projek yang ditawarkan secara tender terhad dan rundingan terus yang diputuskan oleh kerajaan terdahulu.

“Berdasarkan kajian semula tersebut, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan tender terbuka bagi projek-projek tender terhad dan rundingan terus yang belum dikeluarkan Surat Setuju Terima (SST). “

“Bagi 121 projek tender terhad dan rundingan terus yang telah dikeluarkan SST, perjanjian tambahan akan dimuktamadkan selewat-lewatnya pada penghujung Mac 2019 setelah harga dirundingkan semula sebagai usaha rasionalisasi kos projek tersebut, yang sekali gus mengurangkan tekanan ke atas kedudukan fiskal kerajaan,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.

Kini semua perkara terperinci akan diuruskan oleh kementerian masing-masing yang mengendalikan projek tersebut dan tidak lagi membabitkan Kementerian Kewangan.

Berdasarkan perkembangan semasa ini, MOF yakin bahawa pelaksanaan perolehan kerajaan secara tender terbuka pada masa akan datang akan memberi penjimatan kos dan nilai faedah terbaik kepada kerajaan dan rakyat.

Kaedah lama pemberian kontrak dikekalkan, dengan perbezaannya hanya tender terbuka dijalankan untuk menggantikan kelulusan secara rundingan terus atau tender terhad melainkan ada faktor-faktor kecemasan, kepakaran tertentu yang diperlukan ataupun sebab-sebab khas.

Contohnya, kaedah untuk tawaran kontrak kepada kontraktor Gred G1 (dahulunya dikenali sebagai Kontraktor Kelas F) masih sama, hanya ia dijalankan secara saingan terbuka dalam kalangan kontraktor Gred G1 dan bukan seperti dahulu, iaitu menerusi rundingan terus atau dengan keperluan mendapat tandatangan persetujuan daripada Ketua Bahagian parti politik.

“MOF akan sentiasa mengambil inisiatif komprehensif dalam memastikan pelaksanaan perolehan kerajaan selaras dengan prinsip cekap, akauntabiliti dan telus (CAT).” -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Waspada penipuan kaitkan menteri dan MOF

PUTRAJAYA, 10 MAC: Orang ramai diingatkan supaya berwaspada dengan kegiatan penipuan dalam talian yang mengaitkan Kementerian Kewangan (MOF) dan menterinya, Lim Guan Eng.

Setiausaha Akhbar kepada Menteri Kewangan, Lutifi Hakim berkata, pihak yang tidak bertanggungjawab itu dikesan menggunakan format dokumen dan alamat surat menyurat yang ‘kelihatan rasmi’ untuk mengelirukan orang ramai dan melakukan penipuan.

Katanya, perkara itu terdedah selepas seorang individu daripada Filipina mengirim e-mel ke alamat rasmi menteri kewangan, bagi mendapatkan pengesahan sama ada surat yang diterimanya adalah tulen dan dikeluarkan MOF.

“Individu itu menerima e-mel daripada alamat e-mel menteri kewangan bersama-sama sepucuk surat bertarikh 4 Mac yang mengandungi tandatangan menteri kewangan.

“E-mel dan surat itu mengandungi maklumat iaitu MOF mengesahkan bahawa seorang diplomat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bernama “Bleck Dildrop” diberi kuasa oleh kementerian untuk mengendalikan transaksi individu terbabit.

“Suatu kotak dihantar kepada individu terbabit, dan kotak itu hanya akan dihantar kepada beliau jika bayaran berjumlah USD30,520 dibayar kepada diplomat berkenaan,” katanya.

Lutfi berkata, sebaik sahaja individu berkenaan membuat bayaran seperti dinyatakan kepada diplomat terbabit, Bleck Dildrop akan menghantar kotak itu kepada alamatnya di Filipina.

Katanya surat itu mengandungi tandatangani Lim Guan Eng dalam kapasitinya sebagai Menteri Kewangan dan anggota “Government Secretariat Executive Council”.

“MOF dan Lim tidak pernah sama sekali mengeluarkan surat sedemikian dan tidak mempunyai sebarang pengetahuan berkenaan kotak serta bayaran berjumlah USD30,520 seperti dinyatakan dalam surat itu.

“Surat itu adalah surat palsu dan dikeluarkan untuk tujuan menipu,” katanya.

Satu laporan polis juga dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini berhubung perkara itu.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya mengesahkan sebarang maklumat berkaitan MOF melalui saluran rasmi seperti yang tertera di laman sesawang kementerian di http://www.treasury.gov.my/. –BERNAMA