Categories
AGENDA NASIONAL

Kes buli MRSM: 10 pelajar dibuang sekolah

KUALA LUMPUR, 14 DIS: Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) menamatkan pengajian 10 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang dikenal pasti terlibat dalam kes buli seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Azhar Abdul Manaf dalam satu kenyataan berkata mesyuarat JDM telah mengkaji kes tersebut dengan teliti dan mengambil keputusan menamatkan pengajian pelajar terbabit berkuat kuasa hari ini.

“Pihak MARA mengambil serius kejadian buli yang berlaku minggu lalu itu dan hukuman yang diputuskan ini menunjukkan pihak kami tegas serta tidak berkompromi terhadap kesalahan buli dalam kalangan pelajar di bawah mana-mana Institusi Pendidikan Mara (IPMA) mahupun tajaan Mara,” katanya.

Azhar berkata ibu bapa pelajar terlibat telah dimaklumkan mengenai keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa berkenaan.

Menurutnya keputusan penamatan pengajian itu dibuat berdasarkan garis panduan dalam Panduan Pengurusan Disiplin Pelajar MRSM.

Beliau berharap tindakan JDM berkenaan bukan sahaja menjadi pengajaran kepada pelajar terlibat bahkan kepada pelajar lain agar perbuatan salah laku di mana-mana institusi pendidikan di bawah Mara tidak lagi berlaku pada masa hadapan.

“Kami di Mara tentunya hendak melahirkan modal insan yang bukan sahaja cemerlang dari segi ilmu pengetahuan malah mempunyai sahsiah diri dan tingkah laku peribadi yang baik serta diterima masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Azhar berkata pihaknya komited menangani kes buli dengan memperketatkan tatacara operasi piawai (SOP) melalui penguatkuasaan peraturan sekolah selain pemantauan berterusan terhadap segala aktiviti pelajar termasuk pembelajaran di dalam kelas.

Media pada Jumaat lalu melaporkan mengenai video berdurasi 10 saat tular dalam media sosial yang memaparkan seorang pelajar dikepung di dalam bilik asrama dan ditumbuk di bahagian perut oleh rakan-rakannya, tindakan yang mendapat kecaman hebat warganet.

Susulan kejadian itu, 10 pelajar lelaki dengan sembilan daripadanya berusia 13 tahun dan seorang lagi berusia 15 tahun ditahan ketika hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar bagi membantu siasatan.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

NUTP: Hukuman buang sekolah perlu dikekalkan

KUALA LUMPUR 9 DIS: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) membantah cadangan memansuhkan hukuman buang sekolah terhadap pelajar bermasalah di negara ini, seperti dicadangkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Setiausaha Agung NUTP Harry Tan Huat Hock berkata sekolah merupakan institusi untuk mendidik dan memerlukan peraturan berkesan dalam menyelamatkan pelajar daripada anasir negatif.

Beliau berkata kes murid atau pelajar yang mempunyai masalah disiplin berat sehingga dibuang sekolah seharusnya dilihat sebagai satu kes kebajikan dan diuruskan oleh Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

“KPWKM mempunyai kuasa dan akta untuk menguruskan pelajar bermasalah selain mempunyai pusat pemulihan akhlak termasuk Asrama Akhlak, Sekolah Tunas Bakti dan Taman Seri Puteri untuk menempatkan pelajar perempuan dan lelaki yang dibuang sekolah.

“Bagi murid yang dibuang sekolah, nama mereka akan dihantar ke Jabatan Kebajikan Masyarakat dan siasatan akan dilakukan dalam mencari punca dan jalan penyelesaiannya. Berdasarkan perkara itu masalah berkaitan pelajar dibuang sekolah perlu diuruskan KPWKM,” katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.

Rohani sebelum ini mencadangkan hukuman buang sekolah terhadap pelajar bermasalah dikaji semula dan digantikan dengan kaedah lain seperti kelas khas peralihan.

Beliau berkata pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan berhubung cadangan itu kerana hukuman buang sekolah tersebut tidak akan menyelesaikan masalah berhubung pelajar terbabit.

Mengulas lanjut, Huat Hock berkata Kementerian Pendidikan tidak mempunyai kemampuan mengawal dan memulihkan akhlak murid atau pelajar mempunyai masalah disiplin serius termasuk penyalahgunaan dadah dan gangsterisme kerana kebanyakan guru hanya terlatih dalam bidang akademik memfokuskan Pengajaran dan Pembelajaran.

NUTP berpendirian tindakan buang sekolah perlu dikekalkan dan masih relevan diguna pakai terhadap pelajar yang mempunyai masalah disiplin.

Beliau berkata NUTP turut berharap cadangan untuk mewujudkan satu pasukan petugas khas bagi menangani masalah sosial masyarakat diberi perhatian oleh pihak berkaitan, sebagaimana cadangan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

“Isu agenda sosial ini kian menular dan jika tidak ditangani mulai sekarang, risau aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) tidak akan tercapai.
NUTP berharap pihak berkaitan dapat memberi lebih fokus kepada masalah agenda sosial ini demi masa depan negara,” katanya.

SUMBER: BERNAMA