Categories
AGENDA NASIONAL

Buang haiwan peliharaan meningkat semasa PKP – persatuan haiwan

KUALA LUMPUR, 20 APRIL: Pembuangan haiwan peliharaan seperti anjing dan kucing meningkat tiga kali ganda di sekitar Kuala Lumpur ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menurut Persatuan Haiwan Malaysia.

Presidennya Arie Dwi Andika berkata perkara itu dikesan berdasarkan maklumat terdapat kucing dan anjing baharu dalam satu-satu kawasan yang dijaga Pemberi Makan Haiwan Jalanan.

“Misalnya, sesuatu kawasan itu selalu ada lima ekor anjing, tetapi semalam jumlah itu meningkat kepada 18 hingga 20 ekor, kira-kira tiga kali ganda. Kesemua anjing yang dibuang itu berada dalam keadaan sihat dan sangat bersih,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Ditanya mengenai kelakuan anjing-anjing baharu itu, Arie berkata ia amat jinak dan tidak agresif.

Beliau menambah, hasil tinjauan pihaknya juga mendapati kebanyakan haiwan itu dibuang di kawasan perindustrian yang sunyi dan bukannya di kawasan perumahan.

“Pemilik haiwan memilih kawasan itu bagi mengaburi mata orang awam. Mereka langsung tidak mempedulikan keselamatan dan makan minum haiwan berkenaan,” katanya.

Arie berkata persatuan tidak menolak kemungkinan pemilik haiwan bertindak sedemikian kerana khuatir jangkitan penyakit dan tidak mampu meneruskan memelihara haiwan peliharaan kerana kehilangan sumber pendapatan ketika musim PKP ini.

“Ke manakah kasih sayang sebelum ini telah pergi? Apakah nasib anjing dan kucing peliharaan yang selama ini menganggap pemilik sebagai keluarga sendiri dan sebagai tempat berteduh selepas dibuang,” soal beliau.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa supaya mewajibkan pemasangan ‘mikrocip identiti’ di badan haiwan berkenaan kerana ia akan membantu mengesan pemilik haiwan jika mereka membuang haiwan itu.

Sementara itu, peguam Nor Zabetha Muhammad Nor berkata pemilik haiwan yang meninggalkan haiwan yang menyebabkan ia terabai, sakit, lapar dan dahaga, boleh didakwa di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015.

“Mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 29 (1)(p) yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun,” tegasnya.

-BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

Tindakan kompaun bakal dikenakan penjaja cuci sayur dalam lopak air

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 23 MAC: Video viral seorang penjaja pasar malam di Rawang mencuci sayur menggunakan lopak air bertakung mengundang kemarahan netizen.

Video berdurasi lebih seminit itu tersebar luar di laman sosial sejak Isnin lalu menunjukkan seorang lelaki warga Bangladesh mencelup beberapa ikat sayur di air bertakung berdekatan khemahnya.

Lebih mengundang kemarahan netizen apabila sayur tadi dicampak ke rumput sebelum kemudiannya air yang sama digunakan kasut dipakainya.

Perlakuan itu disifatkan sebagai menganaiya serta menggugat kesihatan pelanggan.

Timbalan Pengarah Hal Ehwal Korporat Majlis Perbandaran Selayang, Ahmad Fauzi Ishak berkata, perlakuan itu jelas melanggar syarat perlesenan dalam aspek kebersihan dan pelaku boleh dikenakan tindakan kompaun atau lesen perniagaan ditarik.

“Kita sudah mengenal pasti individu yang bertanggungjawab ke atas kejadian terbabit dan tindakan penahan lesen akan dibuat.

“Bagaimanapun, beberapa pegawai perlesenan dan penguatkuasaan akan menjalankan pemeriksaaan dan siasatan Isnin ini (26 Mac) kerana pasar malam itu hanya berlangsung, setiap hari berkenaan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Selain itu, Fauzi berkata, penjaja akan dikenakan tindakan kompaun kerana melanggar syarat lesen jika disabitkan kesalahan.

Tindakan penguatkuasaan adalah dibawah akta Undang-Undang Kecil (UUK) 2007 Seksyen 11 (1).