Categories
RENCANA WAWANCARA

Habis madu sepah dibuang, nasib haiwan pelihara semasa PKP

Oleh Shanika Abdullatib

KUALA LUMPUR, 13 JULAI: Tatkala seorang teman bertanya kepada penulis sama ada terdapat kucing untuk diambil sebagai haiwan peliharaan pada April lepas, penulis mengakui agak terkejut dan termanggu seketika dengan pertanyaan sedemikian.

Bukannya apa, teman penulis ini adalah seorang yang tidak pernah membela kucing, namun jawapan yang diberikan seterusnya ini membuatkan penulis berfikir lebih panjang.

“Sudahlah tak boleh ke mana-mana masa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Duduk pula seorang diri. Sekurang-kurangnya kalau ada kucing, boleh juga dijadikan teman, taklah sunyi sangat,” katanya berkongsi perasaan dengan penulis.

Alasan ‘kesunyian’ yang diluahkan oleh rakan penulis ini turut dikongsi bersama oleh ramai juga mereka menerusi laman sesawang Facebook yang berkaitan kucing, yang menyaksikan individu ‘kesunyian’ akibat terperuk sehari semalam dalam rumah sepanjang PKP juga bertindak ‘meminta’ haiwan itu untuk dipelihara.

Apabila disoal selidik oleh pemilik atau penyelamat haiwan jalanan (berdasarkan jawapan di ruangan komen laman sesawang itu), didapati rata-ratanya mempunyai persamaan jawapan iaitu tidak pernah atau sudah lama tidak memelihara kucing atau anjing.

Yang menjadi persoalan apabila berakhirnya PKPP pada Ogos ini dengan jangkaan semua sektor kembali beroperasi seperti sedia kala, bagaimana dengan nasib haiwan peliharaan ini?

Adakah haiwan ini akan kembali ke jalanan atau terus dibela memandangkan pemilik ‘sementaranya’ sudah kembali bekerja dan tentunya sebahagian besar masa dan tenaganya terikat dengan urusan di pejabat.

Budaya bermusim yang tidak sihat

Berpengalaman lebih 20 tahun menyelami dunia haiwan jalanan, Presiden Persatuan Haiwan Malaysia Arie Dwi Andika mengakui situasi membela sekadar melepaskan rasa sunyi ketika PKP adalah ‘budaya’ yang tidak sihat walaupun pada mata kasar, ​ia satu perilaku membela haiwan​ terutama haiwan​ jalanan.

Budaya habis sepah madu dibuang ini tidak sepatutnya berlaku apatah lagi Malaysia bukanlah negara ketiga atau mundur dari segi pendidikan​ serta tahap keterbukaan terhadap haiwan yang sebelum ini dibela dengan penuh kasih sayang. ​

“Lebih membimbangkan adalah jumlah haiwan yang diambil untuk dipelihara​ lebih rendah berbanding yang dibuang sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.

“Tiada masa, komitmen tinggi apabila perlu kembali bekerja dan aduan dari jiran tetangga antara alasan popular ‘menghalalkan’ pembuangan haiwan ini ke jalanan,” katanya kepada Bernama.

Arie juga tidak menolak​ nasib haiwan​ yang ​berakhir​ di jalanan ​itu menjadi lebih buruk memandangkan ‘kemahiran survival’ haiwan berkenaan hilang akibat dibela dalam rumah sepenuhnya.

“Ini semua menyebabkan haiwan yang dibuang ke jalanan mati kerana kebuluran, penyakit, kemalangan atau ‘dikerjakan’ oleh haiwan pemangsa yang lain,” jelasnya.

Mengakui memelihara haiwan, tidak kira berasal dari jalanan atau baka baik yang dibeli dengan nilai ribuan ringgit adalah perkara yang mulia dan dialu-alukan oleh persatuan haiwan namun perlu diingat dan difahami, ia satu komitmen yang berterusan.

Justeru, jika seseorang itu berminat untuk membela haiwan peliharaan, pemilik perlu bertanya kepada diri sendiri sama ada sanggup dan mampu menjaganya selama-lamanya.

“Malah kaedah penjagaan yang betul perlu dilaksanakan​ seperti pemberian vaksin dan dimandulkan oleh vaterinar bertauliah sebagai langkah mengelak penyakit dan pembiakan tidak terkawal pada masa akan datang.

‘Hantar’ ke shelter bukan penyelesaian

Kesesakan di pusat atau rumah pelindungan haiwan (shelter) selain berlaku lambakan semula haiwan di jalanan adalah sesuatu yang dijangkakan sebagai antara kesan utama budaya membela secara bermusim​. ​

Ini sedikit sebanyak akan memburukkan keadaan di rumah pelindungan haiwan kerana pemiliknya tidak akan mampu untuk menampung kekangan kewangan yang bertambah.

“Masalah bertambah runcing apabila masyarakat Malaysia menjadikan shelter sebagai tempat pembuangan haiwan peliharaan yang sudah tidak mahu dibela lagi. Inilah punca di Malaysia, shelter tidak berjaya dilaksanakan dengan berkualiti.

“Sedangkan fungsi sebenarnya sebagai tempat menyelamatkan haiwan jalanan​ yang​ cedera​, ​ditempatkan sementara bagi proses rawatan lalu dibebaskan semula​,” kata Arie menjelaskan fitrah haiwan yang hidup bebas, bukannya hidup berasak-asak dalam kurungan yang sempit.

Pemilik shelter juga perlu mempunyai pemikiran yang objektif tanpa melibatkan emosi ketika menyelamatkan haiwan jalanan bagi memastikan shelter tidak berdepan dengan masalah kewangan​,” katanya.

Penguatkuasaan masih lemah

Meskipun sudah memadai dengan Akta Kebajikan Haiwan (AWA) 2015 dalam melindungi haiwan domestik daripada kekejaman dan penganiayaan, ironinya AWA masih lemah apabila melibatkan kes pembuangan dan pengabaian haiwan ke jalanan.

Ini memandangkan penguatkuasaan tidak dapat dilakukan kerana pembuktian pemilikan yang lemah.

“Contoh terbaik adalah bagaimana mahu mengesan pemilik sekiranya seekor haiwan peliharaan ditemui di jalanan sedangkan tidak ada identiti – sama ada ‘collar tags’ atau mikrocip di pasang pada badan haiwan.

“Ia sesuatu yang tidak mengejutkan kerana di dalam akta tidak mewajibkan perbuatan ini. Ia sesuatu yang kita kesal kerana secara tidak langsung, penguatkuasaan masih dianggap gagal menangani pengabaian pembuangan haiwan ke jalanan,” katanya.

​Bukan itu saja, memasang mikrocip pada haiwan peliharaan juga gagal menjadi budaya di Malaysia kerana faktor kos yang dikatakan agak tinggi.

“Tapi ingin saya menyelar budaya yang sayangkan haiwan tetapi enggan berbelanja. Ini satu mentaliti yang perlu segera diperbetulkan,” katanya.

Antara PBT dan pencinta kucing

Realitinya di Malaysia, walaupun ada di antara haiwan itu sudah divaksin malah dimandulkan sebelum dilepaskan semula ke jalanan, nasib haiwan ini juga tidak bertambah baik memandangkan wujudnya peraturan dan tindakan tangkap dan lupus oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Secara jujur, di Malaysia tidak wujud persefahaman dalam pengurusan haiwan jalanan. Tiada konsep ‘berkaedah kebersamaan’.

“Contoh terbaik, kita ada program ‘Trap-Neuter-Release’ atau Tangkap-Kasi-Lepas (TNR) dan ia satu tindakan yang bagus dan terpuji dalam mengawal populasi haiwan jalanan,” katanya.

Malangnya menurut Arie, keberkesanan program itu seolah-olah tidak memberi makna sementelah di pihak PBT, wujudnya peraturan atau tindakan tangkap dan lupus haiwan yang didakwa mewujudkan masalah kacau-ganggu dalam kalangan masyarakat.

“Jadi, kerja-kerja TNR akan menjadi sia-sia sekiranya haiwan yang sudah ditandakan (dengan memotong sedikit pada telinga) turut ditangkap dan dihapuskan,” katanya.

Tegas Arie, situasi ini perlu diubah oleh pihak berkuasa kerana tidak mahu mentaliti kacau-ganggu dalam kalangan masyarakat ke atas haiwan jalanan berterusan, yang secara tidak langsung mengundang kepada kezaliman ke atas haiwan itu seperti mencurah air atau minyak panas, dipanah serta dipijak hingga mati.

Ikhlaskan hati

Bagi Tan Sri Lee Lam Thye, sekiranya pemilik merasa sukar untuk melepaskan haiwan yang dipelihara apabila kembali bekerja selepas PKPP, mereka disaran membuat pengaturan yang betul agar haiwan itu dijaga dengan sebaiknya ketika keluar bekerja.

“Jangan sesekali cuba untuk membuang haiwan peliharaan di jalanan malah di pasar. Kerana ini suatu perkara yang sangat tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau, yang juga Penaung Persatuan Mencegah Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA) Selangor, tidak menolak bahawa memelihara haiwan adalah tanggungjawab tambahan.

“Namun sekiranya pemilik haiwan mengambil keputusan untuk pelihara, adalah wajar bagi mereka untuk menjaga kesejahteraan haiwan itu hingga akhir hayatnya.

“Haiwan peliharaan bukan barang mainan. Apabila mahu-bela, sudah bosan dibuang sesuka hati. Haiwan yang dipelihara di dalam rumah terutamanya, bergantung sepenuhnya kepada anda. Bukan sekadar dari segi makanan, air dan tempat tinggal, malah penjagaan dan kasih sayang,” katanya.

Beliau turut menasihati pemilik yang ‘berkemampuan sementara’ ini mencari penyelesaian alternatif dengan memberi haiwan kesayangan itu kepada orang lain jika terpaksa melepaskannya.

Mengulas mengenai AWA yang mula dikuatkuasakan pada Julai 2017, Lee menjelaskan ia sesuatu yang perlu diberi perhatian memandangkan terdapat peningkatan sehingga 30 peratus dalam kes penderaan haiwan pada tahun 2018.

“Terdapat dua faktor penyumbang kepada peratusan kes penderaan iaitu sama ada orang ramai sudah mula melaporkan lebih banyak kes atau pelaku salah tidak peduli dan tidak menyedari akan hukuman sedemikian dan terus melakukan tindakan terkutuk ini,” jelas Lee.

Justeru, beliau ‘mendesak’ pihak penguatkuasa bertindak dengan kadar segera apabila sesuatu kes dilaporkan, termasuk mewujudkan talian khas dalam usaha menangkap dan memastikan pelaku mendapat hukuman dengan segera.

“Hukuman juga hendaklah lebih berat. Sementara pihak berkuasa yang terlibat dalam melindungi haiwan pula harus melaksanakan tanggungjawab mereka dan menjadi contoh kepada orang ramai,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Buang haiwan peliharaan meningkat semasa PKP – persatuan haiwan

KUALA LUMPUR, 20 APRIL: Pembuangan haiwan peliharaan seperti anjing dan kucing meningkat tiga kali ganda di sekitar Kuala Lumpur ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menurut Persatuan Haiwan Malaysia.

Presidennya Arie Dwi Andika berkata perkara itu dikesan berdasarkan maklumat terdapat kucing dan anjing baharu dalam satu-satu kawasan yang dijaga Pemberi Makan Haiwan Jalanan.

“Misalnya, sesuatu kawasan itu selalu ada lima ekor anjing, tetapi semalam jumlah itu meningkat kepada 18 hingga 20 ekor, kira-kira tiga kali ganda. Kesemua anjing yang dibuang itu berada dalam keadaan sihat dan sangat bersih,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Ditanya mengenai kelakuan anjing-anjing baharu itu, Arie berkata ia amat jinak dan tidak agresif.

Beliau menambah, hasil tinjauan pihaknya juga mendapati kebanyakan haiwan itu dibuang di kawasan perindustrian yang sunyi dan bukannya di kawasan perumahan.

“Pemilik haiwan memilih kawasan itu bagi mengaburi mata orang awam. Mereka langsung tidak mempedulikan keselamatan dan makan minum haiwan berkenaan,” katanya.

Arie berkata persatuan tidak menolak kemungkinan pemilik haiwan bertindak sedemikian kerana khuatir jangkitan penyakit dan tidak mampu meneruskan memelihara haiwan peliharaan kerana kehilangan sumber pendapatan ketika musim PKP ini.

“Ke manakah kasih sayang sebelum ini telah pergi? Apakah nasib anjing dan kucing peliharaan yang selama ini menganggap pemilik sebagai keluarga sendiri dan sebagai tempat berteduh selepas dibuang,” soal beliau.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa supaya mewajibkan pemasangan ‘mikrocip identiti’ di badan haiwan berkenaan kerana ia akan membantu mengesan pemilik haiwan jika mereka membuang haiwan itu.

Sementara itu, peguam Nor Zabetha Muhammad Nor berkata pemilik haiwan yang meninggalkan haiwan yang menyebabkan ia terabai, sakit, lapar dan dahaga, boleh didakwa di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015.

“Mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 29 (1)(p) yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun,” tegasnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Haiwan peliharaan individu positif Covid-19 perlu dikuarantin

KUALA LUMPUR, 9 APRIL: Haiwan peliharaan milik individu yang disahkan positif Covid-19 perlu diasingkan dan dikuarantin selama 14 hari, bagi tujuan pemantauan kesihatan.

Pensyarah Kanan (Imunologi Veterinar) dan penyelidik penyakit haiwan kesayangan, Fakulti Perubatan Veterinar Universiti Putra Malaysia, Dr Farina Mustaffa Kamal berkata sekiranya haiwan tersebut menunjukkan sebarang masalah kesihatan dalam tempoh itu, penjaga perlu merujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Daerah untuk tindakan susulan.

Katanya, biarpun tiada bukti haiwan peliharaan boleh menyebarkan jangkitan Covid-19, namun ia boleh dijangkiti penyakit itu, seperti dilaporkan Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE).

“Dua kes jangkitan Covid-19 melibatkan haiwan peliharaan, iaitu kucing dan anjing dilaporkan di Belgium dan Hong Kong dengan berpunca daripada pemiliknya positif wabak itu.

“Jadi, haiwan peliharaan ini disyaki terjangkit daripada kontak rapat individu positif COVID-19, melalui ciuman, pelukan atau pengendalian haiwan, tanpa membasuh tangan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Bagaimanapun Dr Farina berkata, setakat ini kes jangkitan ke atas haiwan peliharaan adalah amat terpencil dan tiada maklumat jelas mengenai simptom haiwan dijangkiti Covid-19, malah kebanyakannya tidak menunjukkan sebarang tanda.

“Hanya kes seekor kucing di Belgium yang menunjukkan simptom masalah pernafasan, cirit-birit dan muntah. Namun perlu diingatkan, terdapat agen virus atau bakteria lain yang boleh menyebabkan simptom yang sama pada haiwan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan lebih baik jika langkah kuarantin dan pengasingan diri daripada haiwan peliharaan dilakukan lebih awal, sebaik pemilik menyedari diri mereka mempunyai simptom dijangkiti Covid-19.

“Jika waktu itu tiada orang lain yang boleh mengendalikan haiwan milik anda, anda perlu memakai penutup muka serta sarung tangan ketika memberi makanan dan minum, membersihkan sangkar dan najis haiwan peliharaan terbabit,” katanya.

Tambah Dr Farina, tiada bukti jelas ada spesis haiwan tertentu yang lebih mudah dijangkiti secara semula jadi, namun menegaskan dalam situasi negara dilanda pandemik Covid-19 ini, pemilik amat digalakkan mengurung haiwan peliharaan di dalam rumah.

“Setakat ini, kajian menunjukkan virus ini boleh menjangkiti kucing, feret dan monyet, namun feret dan monyet merupakan haiwan makmal yang digunakan dalam kajian berkaitan koronavirus,” jelasnya.

Mengulas mengenai nasib haiwan jalanan pula, Dr Farina berkata kebanyakan kucing jalanan selalunya lebih sukar didekati, kerana ia tidak biasa berinteraksi dengan manusia.

“Jadi secara logiknya, kurang kontak rapat seperti ciuman, pelukan antara manusia dan kucing jalanan, namun saranan daripada OIE dan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) perlu diguna pakai, jika mengendalikan haiwan peliharaan, mahupun jalanan,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai koronavirus, jangkitan kuman dan virus terhadap haiwan, Dr Farina berkata secara amnya, koronavirus adalah kumpulan keluarga virus yang besar dan menjangkiti spesis haiwan yang berlainan.

Katanya, kebanyakan virus terbabit bukan zoonotik, atau bermaksud jangkitan itu terhad di dalam haiwan sahaja.

“Contoh virus yang boleh menjangkiti haiwan domestik ialah seperti anjing (canine coronavirus), kucing (feline coronavirus), ayam (infectious bronchitis virus), babi (porcine epidemic diarrhea virus dan transmissible gastroenteritis virus).

“Hanya SARS-CoV, MERS-CoV yang dikenal pasti berpunca daripada haiwan, iaitu kelawar dan boleh menjangkiti manusia,” katanya.

Sementara itu, katanya bagi SARS-CoV2 iaitu virus penyebab Covid-19, analisis jujukan virus mendapati terdapat 96 peratus persamaan dengan virus yang dijumpai di dalam kelawar, namun kajian lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KP Kesihatan: Amal kebersihan ketika kendali haiwan peliharaan

SHAH ALAM, 6 APRIL: Amalan kebersihan baik sepanjang masa perlu dilakukan ketika mengendali haiwan peliharaan bagi mencegah penularan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata langkah itu perlu jika pemilik tidak dapat menjarakkan diri daripada haiwan peliharaan mereka.

“Ramai yang tanya mengenai jangkitan Covid-19 pada haiwan. Bagi pencinta haiwan, haiwan peliharaan dianggap sebahagian daripada keluarga, justeru cuci tangan sebelum dan selepas mengendalikan mereka,” katanya melalui Facebook hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan Malaysia akan bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk mendapatkan nasihat berhubung perkara tersebut.

Sebelum ini, media melaporkan mengenai seekor harimau Malaya di Zoo Bronx, Amerika Syarikat disahkan positif Covid-19, dipercayai tersebar melalui penjaga zoo berkenaan.