SHAH ALAM, 2 JAN : Seramai 28 orang penduduk asal Bukit Bandaraya Shah Alam menerima sumbangan lima batang pokok limau kasturi setiap seorang untuk ditanam di halaman rumah masing-masing.
Majlis penyampaian sumbangan ini disempurnakan Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari bertempat di Dewan Bukit Bandaraya, Seksyen U11, Shah Alam.
Dr Yaakob dalam ucapannya berkata, program ini bertujuan bagi meningkatkan pendapatan penduduk dengan pengeluaran dan jualan limau kasturi untuk tempoh 10 hingga ke 15 tahun akan datang.
Katanya lagi, Kerajaan Negeri komited dalam usaha membantu rakyat di negeri ini supaya dapat menambahkan pendapatan melalui kaedah pertanian.
“Diharap pemberian pokok limau kasturi ini dapat dimanfaatkan dan dijaga dengan baik supaya ia dapat memberikan hasil kepada setiap penduduk di sini,” katanya yang merupakan Adun Kota Anggerik.
Turut hadir, Pemangku Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Selangor, Mohd Idros Hamid serta penduduk Bukit Bandaraya.
Sementara itu, Tok Batin di kawasan itu, Kamal Bapak, 51, mewakili keseluruhan penduduk mengucapkan terima kasih di atas sumbangan pokok yang diberikan itu.
Dalam majlis sama, turut diadakan sesi penerangan cara penanaman pokok yang betul oleh Pegawai Pusat Pertanian Gombak/Petaling, Emi Faizal Borhan dan penyampaian sumbangan beg sekolah kepada anak-anak penduduk asal Bukit Bandaraya sebagai persediaan pembukaan sesi sekolah 2013.